Predator merupakan rangkaian peranti permainan video yang dihasilkan bermula dengan komputer meja, komputer riba dan beberapa aksesori lain.

Predator Orion 9000 merupakan salah satu komputer yang direka khas bagi membolehkan pemain permainan video membawa bakat mereka ke tahap yang lebih tinggi.

Peranti itu direka dengan menggunakan pemproses Intel Core i9 Extreme 18-core sebagai nadi utama yang menawarkan kuasa dan maklum balas terbaik yang sememangnya penting dalam dunia permainan video yang pantas berkembang pada masa kini.

Pemain juga mempunyai dua pilihan sama ada mahu menggunakan grafik Radeon RX Vega dua hala atau GeForce GTX 1080 Ti yang mampu menyokong realiti maya serta 4k2k UHD dengan mudah.

Selain itu, ciri overclocking (memaksimumkan kelajuan CPU) yang terdapat pada peranti itu membolehkan pemain boleh memilih prestasi turbo dengan hanya perlu menekan satu butang.

Tidak dapat dinafikan, permainan video kadangkala mengambil masa yang begitu lama dan komputer akan menjadi semakin hangat.

Namun, melalui sistem IceTunnel 2.0 Acer, suhu Predator Orion 9000 dapat dikekalkan.

Haba panas

Sistem itu, memberi penyelesaian pengurusan aliran udara yang berfungsi untuk mengasingkan zon suhu berbeza secara pintar.

Setiap satunya mempunyai saluran aliran udara tersendiri untuk mengeluarkan haba panas.

Dengan menggunakan hukum fizik, Predator Orion 9000 menyedut lebih udara sejuk dan mengeluarkan haba panas daripada CPU melalui rekaan panel besi yang besar di bahagian hadapan serta atasnya.

Sebanyak lima buah kipas bersaiz 120 milimeter (mm) yang ada pada bahagian hadapan, atas dan belakang menyalurkan udara sejuk ke dalam peranti itu.

Sebahagian daripada udara itu kemudiannya disalurkan ke belakang papan induk untuk menyejukkan peranti storan.

Predator Orion 9000 disasarkan untuk pemain tegar permainan video dan ia boleh dikembangkan untuk apa jua bentuk keperluan permainan video.

Ia hadir bersama satu kerangka fleksibel yang membolehkan pemain menaik taraf CPU, GPU, RAM, storan dan suhu dengan hanya mengalihkan tingkap pada bahagian sisinya.

Lebih menarik lagi, ia juga mampu untuk menyokong pemproses Intel Core X-Series baharu yang menawarkan sehingga 18 core dan 36 thread, memori 128 GB Quad-channel DDR4 serta empat unit Radeon RX Vega.

Dalam pada itu, Acer turut melancarkan komputer riba Predator Triton 700 untuk memberi pilihan kepada pemain permainan video.

Komputer riba itu dikuasakan oleh pemproses Intel Core generasi ketujuh dan NVIDIA GeForce GTX 1080 terkini dengan reka bentuk Max-Q, sekali gus menawarkan prestasi permainan video yang ekstrem.

Predator Triton 700 dibina dengan dua konfigurasi NVMe PCle SSD dalam RAID 0 dan memori DDR4 2400 MHz sehingga 32GB untuk kelajuan maksimum serta ruang storan yang besar.