Program sebegini menjadi pelengkap kepada inisiatif yang dilaksanakan di pusat-pusat rawatan dan pemulihan di seluruh negara.

Sehubungan itu, sekumpulan penyelidik Universiti Malaya dari Pusat Asasi Sains dan Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM) telah bekerjasama dengan AADK dalam penganjuran sebuah bengkel pertanian bandar bersama sekumpulan 60 Orang Kena Pengawasan (OKP) di Klang, baru-baru ini.

“Program ini bertujuan memberi pendedahan asas mengenai pertanian bandar kepada golongan yang sering dipinggirkan dalam masyarakat kerana stigma negatif masyarakat terhadap mereka.

“Secara tidak langsung, mereka boleh menggunakan ilmu ini bagi mengurangkan kos sara hidup yang semakin meningkat sekarang,” kata Pensyarah Pusat Asasi Sains UM yang juga penyelaras program. Dr. Mahanom Jalil.

Para peserta yang berusia antara 18 dan 60 tahun itu telah didedahkan dengan kemahiran menanam anak pokok pisang dan cili menggunakan kaedah fertigasi.

Menurut Pensyarah Institut Sains Biologi UM, Dr. Rosazlin Abdullah, kaedah penanaman sebegini amat sesuai untuk pertanian bandar kerana kurang bergantungan pada tanah.

“Selain itu, ia juga mempunyai peratus tumbesaran yang tinggi kerana bekalan nutrien dan galian yang mencukupi untuk setiap tanaman,” ujarnya yang bertanggungjawab sebagai tenaga pengajar program tersebut.

Sisa pertanian

Menariknya, para peserta turut didedahkan dengan kaedah penghasilan bioarang daripada bahan-bahan buangan organik termasuklah sisa pertanian.

Bioarang yang terhasil boleh dijadikan baja bagi membantu tumbesaran tanaman yang ditanam oleh para peserta kelak.

“Saya amat tertarik dengan komponen penghasilan bioarang dalam program ini kerana secara tidak langsung ia telah mendedahkan para peserta mengenai kepentingan pemeliharaan alam sekitar oleh setiap ahli masyarakat.

“Komponen sebegini memberi peluang kepada OKP yang mengambil bahagian untuk terus menimba ilmu walaupun telah menghabiskan zaman persekolahan,” ujar Ketua Daerah AADK Klang, Selangor, Baharudin Ahmad@Nasiman yang turut mengikuti program.

Mahanom berkata, bimbingan ilmu keusahawanan kepada para peserta yang berminat juga boleh menjadikan mereka sebagai usahawan tani pada masa akan datang dan mengubah kehidupan mereka.

“Justeru, ia juga boleh dijadikan sebagai jalan bagi membina persepsi positif kepada OKP di mata ahli masyarakat yang lain,” ulasnya. Program ini telah menerima dana geran penyelidikan komuniti dari Pusat Komuniti dan Kelestarian UM (UMCares) dan turut bekerjasama dengan Pusat Penyelidikan Bioteknologi Pertanian (Cebar) UM.

Anak pokok pisang yang dibekalkan untuk pertanian Bandar bersama OKP itu telah dihasilkan menerusi penyelidikan kultur tisu di Cebar.