Kesemua produk plastik tersebut banyak ditemui di pantai dan lautan di Eropah.

Langkah pengharaman plastik ini sejajar dengan usaha kerajaan Britain dan Amerika Syarikat (AS) untuk mengehadkan penggunaannya.

10 produk plastik itu hendaklah dihasilkan daripada bahan yang lebih lestari kepada alam.

Pun begitu, produk-produk plastik lain yang tidak disenaraikan akan turut mendapat perhatian untuk kesedaran dan pembersihan.

Di bawah undang-undang tersebut, pengeluar plastik perlu bertanggungjawab untuk menampung kos pengurusan sisa dan pembersihan serta menjalankan promosi alam sekitar.

Sebagai contoh, pengeluar peralatan menangkap ikan perlu membayar kos untuk pengumpulan dan rawatan sampah yang dikumpul oleh pihak berkuasa pelabuhan.

Usaha tersebut dilihat dapat menyedarkan industri untuk membangunkan produk yang kurang mencemarkan alam sekitar.

“Sisa plastik merupakan isu terbesar di Eropah dan ia memerlukan sokongan warganya untuk menyelesaikan masalah ini.

“Kami akan mengharamkan beberapa barangan plastik dan menggantikannya dengan alternatif lebih bersih supaya orang ramai boleh terus menggunakan produk kegemaran mereka.

“Eropah perlu bertindak bersama untuk menangani masalah ini kerana sisa plastik berakhir di udara, tanah, laut dan makanan kita,” ujar Timbalan Presiden EC, Frans Timmermans yang bertanggungjawab untuk alam sekitar yang lebih mapan.

EC menggesa agar undang-undang tersebut dilaksanakan pada Mei 2019.

Persatuan industri plastik terkemuka di Eropah iaitu PlasticsEurope membalas cadangan itu dengan berkata, tindakan pengharaman bukanlah jalan penyelesaiannya.

PlasticsEurope tidak mahu EC mengambil jalan pintas sebaliknya menyalahkan kelemahan pengurusan sisa dan tingkah laku manusia yang tidak bertanggungjawab.

Pelaksanaan undang-undang tersebut sangat dialu-alukan oleh organisasi alam sekitar termasuk Biro Alam Sekitar Eropah.

“Pengeluar bio plastik bakal mendapat manfaat daripada penguatkuasaan undang-undang ini kerana ia menawarkan alternatif plastik yang lebih mapan dan selamat,” jelas Ketua Bio Plastik Eropah, François de Bie.

 

Kitar semula

Langkah pengharaman plastik itu dibuat pada Januari lalu selepas Eropah telah membentangkan strategi pertama mereka untuk menguruskan pembuangan sisa plastik.

Justeru, pada tahun 2030 semua pembungkus makanan perlu dikitar semula apabila negara-negara di seluruh dunia mengumumkan untuk mengitar semula plastik dan melaksanakan undang-undang baharu.

Di AS, larangan penggunaan plastik itu telah dilancarkan di seluruh negeri dan California mengetuai program tersebut.

Ia berikutan pengharaman beg plastik membeli-belah pada tahun 2016.

Pihak berkuasa tempatan akan mengharamkan penggunaan penyedut minuman di restoran-restoran, memastikan penutup minuman diikat pada bekas itu dan meletakkan label pada pakaian yang dibuat daripada serat sintetik.

Beberapa bandar di AS telah mengambil langkah untuk mengurangkan sisa plastik

Menurut Persidangan Kebangsaan bagi Dewan Undangan Negeri, sekurang-kurangnya 73 bil berkaitan penggunaan beg plastik telah diperkenalkan oleh badan perundangan negeri di seluruh negara pada sesi 2017/2018.

 

Larangan bersyarat

Beberapa buah bandar termasuk Chicago, Los Angeles dan Bandar Raya New York mempunyai larangan bersyarat terhadap penggunaan beg plastik dengan mengenakan caj..

Satu lagi matlamat baharu untuk menyokong alam sekitar ialah dengan mengharamkan penggunaan penyedut minuman plastik di beberapa tempat seperti di Malibu, pantai Miami dan Fort Myers.

Terdapat 31 bil di sembilan negeri yang menggunakan penyedut minuman, bekas dan pembungkus plastik sepanjang tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri California, Ian Calderon mencadangkan undang-undang di seluruh negeri bahawa adalah menjadi satu jenayah sekiranya restoran itu menyediakan penyedut minuman tanpa diminta dan bil itu akan dikenakan.

Beliau menggelarkannya sebagai ‘langkah kecil yang betul’.

“Ramai orang memberikan maklum balas dan menyingkirkan isu ini sebagai tidak penting.

“Ahli-ahli juga menyatakan bahawa langkah ini tidak memberi kesan yang besar.

“Tetapi selepas mendengar penjelasan panjang daripada saya mereka akhirnya menyokong,” ujarnya.

Mengenai cadangan EC itu, Calderon berkata, isu plastik ini akhirnya berada di tempat yang betul kerana ia merupakan masalah global dan semua negara perlu mengambil tanggungjawab serta di AS, California mendahuluinya.

Tambahnya, adalah penting untuk California mengetuai program ini kerana mereka adalah pemegang ekonomi kelima terbesar di dunia dan apa yang dilakukan ini bakal memberi kesan global.

Parlimen Eropah akan menyemak cadangan itu sama ada ia boleh diluluskan atau tidak.

Aktivis Alam Sekitar dan penasihat Greenpeace, Kevin Stairs memuji cadangan itu

“Tindakan ini merupakan satu langkah yang baik untuk kesejahteraan alam sekitar pada masa hadapan.

“Walaupun ia bukanlah penyelesaian yang komprehensif tetapi cadangan ini menetapkan langkah-langkah yang penting untuk menangani pencemaran bahan plastik,” tuturnya.

Tambah Stair, walaupun beberapa sahaja bahan plastik yang diharamkan tetapi mesejnya sangat kuat.

Bandar Raya New York sekali lagi membuat percubaan untuk mengharamkan beg plastik dan bekas polistirena.

Bulan lalu, Majlis Bandaraya New York memperkenalkan undang-undang pengharaman terhadap penyedut dan pengacau minuman plastik.

Pengarah Dasar Kemapanan Polisi dan Hal Ehwal Kerajaan bagi Persatuan Restoran Kebangsaan, Laura Abshire berkata, larangan tersebut telah meresahkan pengusaha restoran yang sedang mengalami masalah kekurangan tenaga kerja.

“Di AS pengambilan pekerja merupakan isu utama yang dihadapi oleh industri restoran.

“Oleh itu, pengharaman penggunaan plastik akan menjejaskan industri restoran yang mengalami masalah kekurangan pekerja yang mengehadkan perkhidmatan mereka,” katanya.

Oleh itu, cadangan tersebut bakal memberi kesan kepada pengusaha restoran di Eropah.

Ulas Laura lagi, sekiranya pembungkus makanan diharamkan maka ini akan mengganggu pasaran yang lebih besar selain meningkatkan kos di restoran.