Tiga daripada lima spesies badak telah disenaraikan sebagai haiwan amat terancam. Kegiatan pemburuan haram untuk sumbunya memburukkan lagi populasi mamalia itu.

Sumbu badak juga diburu untuk digunakan dalam perubatan tradisional Cina atau sebagai afrodisiak iaitu bahan perangsang seks.

Dua spesies yang terdapat di Afrika adalah badak hitam dan badak putih yang lebih besar dengan subspesies utara dan selatan yang berbeza secara genetik.

Kini jumlah badak di benua tersebut antara 25,000 dan 30,000 ekor.

Kenya adalah lokasi kepada salah satu populasi badak terbesar di Afrika selepas Afrika Selatan. Ia juga mempunyai hanya dua ekor badak putih utara betina yang spesiesnya berada di ambang kepupusan selepas jantan terakhir mati pada Mac lalu.

Pada tahun 1970, Kenya mempunyai 20,000 ekor badak hitam sebelum merosot 98 peratus kepada hanya 350 ekor pada tahun 1983 tetapi telah meningkat sehingga lebih 700 ekor selepas usaha pemuliharaan.

Kenya menjadi perintis pendekatan tempat perlindungan badak dengan menempatkan haiwan tersebut di kawasan berpagar di bawah pengawasan penjaga bersenjata yang dilengkapi dengan kamera pengimejan termal serta dron.

Bagaimanapun, kejayaan tersebut datang dengan masalah tersendiri iaitu ruang terhad.

Akibat populasi manusia yang berkembang, mamalia itu tidak boleh berkeliaran dan mengembangkan gen mereka.

Dengan populasi badak hitam berkembang di taman-taman di Nairobi dan Nakuru, Perkhidmatan Hidupan Liar Kenya (KWS) tahun ini memutuskan untuk memindahkan 14 ekor badak ke tempat perlindungan baharu di Tsavo Timur di tenggara Kenya melalui operasi yang dibiayai oleh Dana Hidupan Liar Dunia (WWF).

KWS telah berjaya menjalankan banyak pemindahan sedemikian.

Namun dalam kes ini, kesemua 11 ekor haiwan yang dipindahkan itu mati dan menyebabkan bakinya tidak dipindahkan.

Angka tersebut mewakili lebih daripada sembilan badak yang diburu di negara itu pada tahun 2017.

Di sebalik tragedi tersebut, para pegawai mencatatkan kejayaan dalam mematahkan usaha pemburuan haram dalam tahun-tahun kebelakangan ini selepas 59 ekor badak terbunuh pada tahun 2013.

Afrika Selatan yang memiliki populasi terbesar badak telah kehilangan lebih dari 1,000 ekor haiwan setiap tahun dalam tempoh lima tahun yang lalu, demikian menurut badan amal Simpan The Rhino yang beribu pejabat di Britain.– AFP