Pam Yeek yang tinggal di kawasan Orang Asli Kampung Cunex, Gerik, Perak mendapati tanah adat mereka telah diceroboh dengan rakus oleh pihak luar.

Situasi ini membuatkan aktiviti harian Pam dan penduduk suku kaum Temiar di situ terjejas selepas sumber hutan untuk makanan, minuman dan ubat-ubatan mereka dimusnahkan.

Menyedari hakikat itu, Pam bersama penduduk kampungnya bekerjasama dengan Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS) dan Google Malaysia bagi memetakan kawasan tersebut.

Menariknya, mereka telah menggunakan teknologi Google Earth bagi persempadanan tanah adat, kawasan ekologi dan geografi yang penting dari segi sejarah, budaya dan mata pencarian.

“Peta ini sangat penting bagi membantu kami menegakkan hak terhadap tanah-tanah adat yang telah digunakan sejak turun-temurun.

“Peta ini bakal diguna dalam perbicaraan di mahkamah kelak bagi menyokong hujah kami.

“Ia merupakan sebahagian daripada usaha memastikan suku kaum kami tidak pupus,” ujar Pam ketika ditemu bual Infiniti di pejabat Google Malaysia, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pam merupakan salah seorang wakil Orang Asli yang dijemput bagi menceritakan cabaran suku kaumnya sempena Hari Antarabangsa Orang Asal Sedunia pada 9 Ogos lalu.

Google Malaysia juga bertanggungjawab membantu Orang Asli di negara ini bagi memantau aktiviti pembalakan haram, populasi dan migrasi hidupan liar.

Pakar Petaan daripada JOAS, Jef Yangman berkata, pihaknya sangat teruja mendapat tajaan dan kerjasama Google Malaysia dalam inisiatif pemetaan kawasan Orang Asli.

Jelasnya, proses pemetaan bermula menerusi perjumpaan bersama penduduk kampung bagi membincangkan kawasan-kawasan berkepentingan.

Dia menambah,pihaknya kemudian akan melatih penduduk kampung menggunakan sistem penentu kedudukan sejagat (GPS) dan Google Earth bagi menandakan kawasan mereka dalam peta.

“Peta yang siap dilakar itu akan diuar-uarkan dalam arkib pemetaan kebangsaan bagi komuniti berkenaan.

“Sejak inisiatif itu diperkenalkan pada tahun 2016, lebih kurang 50 buah kampung Orang Asli di seluruh negara telah berjaya dipetakan,” jelasnya.

Menurut Jed, beberapa kes yang melibatkan tuntutan tanah adat Orang Asli telah dibawa ke mahkamah.

Ujarnya, hasil bantuan pemetaan daripada Google Malaysia, terdapat beberapa tuntutan telah berjaya dimenangi oleh penduduk kampung Orang Asli.

Terpelihara

“Bantuan teknologi moden sangat penting dalam memastikan alam sekitar yang didiami oleh Orang Asli terus terpelihara daripada anasir luar,” terangnya.

Berdasarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, komuniti Orang Asli merupakan antara golongan manusia paling kurang bernasib baik dan terdedah di dunia.

Ketua Google Malaysia, Marc Woo berkata, pihaknya sangat teruja dapat membantu Orang Asal di negara ini menerusi teknologi Google Earth.

Ujarnya, Google Earth bukan sahaja membantu masyarakat memelihara Bumi, malah menyediakan platform bagi komuniti terpencil mengekalkan kelestarian budaya, bahasa dan cara hidup mereka.

“Akses teknologi ini tidak sepatutnya menjadi satu keistimewaan yang dinikmati oleh penduduk bandar sahaja.

“Ia harus dimanfaatkan oleh semua termasuk komuniti yang tinggal di kawasan pedalaman bagi memelihara cara hidup mereka,” ujarnya.

Sempena Hari Antarabangsa Orang Asal Sedunia, Google Malaysia telah memperkenalkan Voyoger Google Earth.

Menerusi teknologi berkenaan, orang ramai dapat meneroka dan mengenali dengan lebih dekat budaya dan kumpulan Orang Asli di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Ujar Marc, teknologi berkenaan memberi akses kepada orang ramai mengetahui kisah-kisah menarik Orang Asal yang dihidupkan menerusi video, gambaran 350 darjah serta imej satelit.

Penyelaras Pusat Keprihatinan Orang Asli, Dr. Colin Nicholas memaklumkan, Google Earth Voyager turut membawa pelayar mengikuti beberapa suku kaum di negara ini seperti Temiar, Semaq Beri dan Dayak.

Katanya, kisah yang diketengahkan menekankan realiti hidup komuniti itu dalam dunia serba moden ketika ini.