Lantaran itu, sejak 2013, syarikat kitar semula tekstil, Life Line Clothing Malaysia (LLCM) mengambil inisiatif mengumpul dan mengitar semula pakaian dan barangan lama yang tidak diperlukan lagi,

Eksekutif Jualan LLCM, Zaki Suratman berkata, syarikat itu berusaha ‘menyelamat’ dan memberi ‘nyawa kedua’ kepada pakaian serta barangan lama yang dikumpul untuk diguna semula atau dijual bagi tujuan amal.

“Sesetengah pihak mengitar tekstil sekadar mengumpul dan menjual apa yang mereka dapat, dan selebihnya dilupuskan, namun di LLCM, kami membawa barangan terkumpul ke peringkat seterusnya.

“Kami mengubah barang yang dikumpul menjadi sesuatu yang bernilai, boleh dikomersialkan dan berfungsi semula kerana di sini kami mengamalkan dasar sisa sifar iaitu meminimumkan bahan-bahan pelupusan demi kelestarian alam sekitar,” katanya ketika ditemui Bernama.

LLCM mengumpul dan memproses purata antara 50 hingga 60 tan pakaian hasil sumbangan orang ramai menerusi tong kitar semula LLCM setiap minggu.

“Ketika musim puncak iaitu menjelang musim perayaan, kira-kira 70 tan pakaian lama dapat dikumpul kerana ramai yang membuat kerja pembersihan di rumah pada masa itu,” kata Zaki.

Jumlah keseluruhan tong LLCM adalah sebanyak 948 unit yang diletakkan di sekitar Lembah Klang, Bentong (Pahang); Teluk Intan dan Tanjung Malim (Perak) serta Muar, Johor.

“Kami memperluaskan penyediaan tong kitar semula LLCM di kampus universiti dan sekolah dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk kegiatan amal,” tambahnya.

Kesedaran

Antara yang terlibat adalah Majlis Kanser Nasional (Makna), Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) dan Komuniti Lestari Pertubuhan Kitar Semula Malaysia (RCOMM) bagi penyediaan logistik serta infrastruktur untuk aktiviti kitar semula pakaian lama.

Zaki berkata, kesedaran terhadap penggunaan tong LLCM di seluruh negara masih perlu dipertingkat dalam kalangan orang ramai kerana mentaliti mereka masih menganggapnya sebagai lokasi pembuangan sampah dan sisa makanan.

Menurut Zaki, ketika proses pengutipan, terdapat barang elektrik yang rosak termasuk pelbagai sampah yang turut dibuang ke dalam tong itu menyebabkan bau busuk dan mengotorkan pakaian yang terkumpul.

“Meskipun begitu, kami tetap mengutip kesemua bahan di dalam tong dan kemudian mengasingkannya mengikut kategori kerana matlamat kami adalah mengamalkan pengurusan sisa sifar.

“Apabila bahan-bahan kutipan tiba di kilang, kami mengasingkannya terlebih dahulu mengikut kategori iaitu pakaian dan bukan pakaian. Pakaian yang dikumpul bukan sekadar baju dan seluar malah tudung, topi, kasut, beg tangan, tali pinggang, permainan lembut dan banyak lagi,” jelasnya yang memberitahu kilang itu terletak di Pelabuhan Klang, Selangor.

Barangan termasuk pakaian yang rosak akan cuba ‘diselamatkan’ dengan membaiki dan mengubah suai sebelum dijual menerusi bundle store (kedai bundle).

Memandangkan terdapat terlalu banyak kategori pakaian iaitu kira-kira 300 jenis, ramai pekerja diperlukan. Ia meliputi 320 orang di bahagian am, manakala 30 orang di bahagian pengurusan.

Tekstil yang masih elok diasingkan mengikut jenis serta dibungkuskan yang kemudiannya dilabel sebagai ‘kain bersih’.

“Kebiasaannya, kami membungkus tekstil dalam bentuk bundle 10 kilogram (kg) dan 25kg sebelum dijual semula kepada industri pakaian terpakai atau disumbangkan kepada golongan memerlukan.

“Banyak NGO membeli pakaian terpakai itu untuk disumbangkan kepada golongan memerlukan, selain ada juga permintaan daripada negara lain seperti Afrika dan India,” tambahnya.

Tekstil yang tidak boleh digunakan langsung seperti spandeks, poliester, likra, material berzip dan plastik pula dihantar ke kilang kitar semula lain untuk dijadikan bahan bakar industri.

Selain itu, pakaian-pakaian yang mudah menyerap air dijadikan kain lap dan dibekalkan kepada industri-industri perkilangan yang memerlukan.

“Setiap industri memerlukan kain pembersihan, kami menghargai setiap tekstil dan pakaian yang disumbangkan kerana percaya setiap daripadanya sangat berguna untuk golongan tertentu.

“Kami akan memastikan tiada tekstil yang akan dibuang sebagai sampah ke tapak pelupusan bagi memelihara dan memulihara alam sekitar,” katanya.

Jelasnya, pakaian yang rosak digunting kepada bahagian-bahagian kecil untuk dijadikan kain lap, seterusnya diasingkan mengikut warna dan dieksport ke luar negara kerana ada permintaan yang hanya mahukan warna putih,” katanya sambil memberitahu permintaan tinggi turut diterima daripada pihak kilang cuci kereta di Australia.

LLCM mengalu-alukan apa juga jenis pakaian dan kain yang tidak diperlukan lagi untuk dikitar semula.

“Anda boleh dermakan pakaian itu ke dalam tong LLCM yang disediakan. Selain mengurangkan penggunaan ruang di dalam almari, ia sekali gus dapat membantu mereka yang memerlukan,” tambahnya. – Bernama