Tiga perkara ini dilihat mengalami peningkatan amat signifikan dalam memberi nafas baharu kepada Note9 serta lebih pilihan kepada pengguna.

Note9 masih mengekalkan beberapa ciri sedia ada pada Note8 seperti rintang air dan habuk (IP68), binaan menggunakan kaca Gorilla Glass 5 berserta bingkai aluminium, ruang kad sim jenis hibrid, pengecasan pantas dan wayarles serta bicu audio 3.5mm.

Note9
PUBG Mobile boleh dimain dengan lancar dibantu sistem penyejukan khas Note9

 

Bateri

Buat pertama kali Samsung Electronics Co. Ltd. (Samsung) membekalkan kuasa bateri jauh lebih besar untuk Galaxy Note9 dengan kapasiti 4,000 mAh dan ia menjadi satu-satunya peranti premium keluaran syarikat elektronik dari Korea Selatan itu setakat ini memilikinya. 

Tindakan tersebut mungkin bagi meraih kembali keyakinan peminat siri Note yang sebelum ini pernah dikecewakan oleh masalah bateri Note7, malah Note8 yang dilancarkan pada tahun lepas sekadar memiliki 3,300 mAh sahaja.

Apa jua alasan Samsung, kuasa bateri sedemikian rupa sedikit sebanyak ia bakal mempengaruhi keputusan pengguna terutama buat mereka yang mencari telefon pintar premium bagi pengunaan melebihi satu hari. 

Kuasa bateri yang dicanang Samsung mampu bertahan seharian itu bagaimanapun bergantung kepada penggunaan para pengguna itu sendiri dan jangan nanti selepas membeli timbul perasaan tidak puas hati.

Pengalaman menggunakan unit Note9 yang dibekal selama dua minggu, kuasa bateri sememangnya mampu bertahan sebagaimana yang didakwa Samsung.

Tiada isu bateri secara tiba-tiba susut mendadak atau terlampau panas walaupun ketika bermain permainan seperti PUBG Mobile dalam tempoh panjang dan ia dibantu oleh satu sistem penyejukan khas dibina dalam telefon tersebut.

Pengguna boleh merasai sedikit kesan haba di unit Note9 pada sisi bawah sebelah kiri telefon terlebih dahulu kerana ia merupakan tempat terletaknya sistem penyejukan tersebut.

Secara keseluruhan kuasa bateri berfungsi secara optimum dan memberikan kepuasan terutama dari segi kekerapan pengecasan.

Tidak dilupakan Note9 masih dilengkapi fungsi pengecasan pantas serta wayarles.

Note9
Kuasa bateri tahan lebih dari satu hari dan Note9 turut dilengkapi storan minimum 128 gigabait

 

Ruang Storan

Galaxy Note9 kali ini membolehkan ruang storan sehingga 1 terabait digunakan dengan 512 gigabait (GB) terbina serta 512GB lagi menggunakan kad mikroSD.

Tiada lagi ruang storan 64GB untuk keluaran kali ini kerana Samsung hanya menggeluarkan dua jenis model dengan storan 128Gb serta 512GB.

Kedua-dua model itu didatangkan dengan tanda harga RM3,699 untuk storan 128GB manakala pengguna perlu membayar tambahan RM900 untuk versi 512GB (sebelum SST).

Jumlah storan 128GB terbina yang dibekalkan sudah cukup sebenarnya, namun buat mereka yang inginkan ruang lebih besar dan tidak berkira untuk berbelanja bolehlah memilih model 512GB.

Harus diingat Note9 dilengkapi ruang storan luar menggunakan kad mikroSD, akan tetapi pengguna perlu memilih sama ada untuk menggunakan dua kad sim ataupun memberi ruang kepada kad memori kerana ia bersifat hibrid pada ruang sim.

Apa jua pilihan di ruang tersebut, kemurahan Samsung memberi storan 128GB pada harga munasabah adalah tindakan yang betul dan membolehkan pengguna menikmatinya tanpa perlu berbelanja lebih.

Note9
SPen kini diberi lebih tugas untuk meningkatkan pengalaman pengguna

 

SPen

Spen dan Note cukup sinonim dan kedua-duanya saling melengkapi antara satu sama lain sejak telefon pintar ini diperkenalkan pada tahun 2011.

Sejak dari itu, SPen mengalami pelbagai perubahan bagi membolehkan fungsinya digunakan secara total serta memberikan pengguna pengalaman yang menakjubkan.

Tahun demi tahun ia tidak pernah gagal memberikan impak kepada pengguna dan pada kali ini ia kembali dengan pelbagai fungsi dan paling menarik ia kini dilengkapi fungsi bluetooth yang bertindak sebagai alat kawalan.

Menggambil gambar kini lebih mudah dengan sekali picit butang pada SPen, mengawal persembahan slaid dan juga ketika menonton video.

Fungsi paling pratikal terutama kepada mereka yang gemar berswafoto ialah sebagai alat bantu merakam foto dengan sekali picit pada butang SPen.

Ia amat praktikal dan tidak lagi perlu bergantung kepada fungsi masa ataupun menggunakan sambungan bluetooth alat lain ketika merakam saat indah.

Note9
Butiran imej yang dirakam dwi-kamera Note9 berjaya mengekalkan butiran pada objek dengan baik

 

Kamera

Segmen ini tidak pernah mengecewakan dan Note9 tampil dengan dwi-kamera 12 megapiksel dengan 2X zum optik dan dwi-apertur (F1.5 dan F2.4) serta dwi-OIS (penstabil imej optik).

Ia turut dilengkapi kecerdasan buatan (AI) yang mampu mengenal pasti lebih 20 objek berbeza ketika merakam foto.

Hasil foto yang dihasilkan Note9 cukup menarik dari segi warna dan butiran serta pengalaman pengguna dipertingkatkan terutama ketika merakam swafoto menggunakan SPen sebagai alat kawalan jauh.

Kesan bokeh yang sememangnya menjadi kegilaan ramai terhasil dengan baik tanpa menganggu butiran pada objek asal terutamanya garisan-garisan halus yang membuatkan imej nampak lebih hidup.

Fokus auto kamera mampu mengenal pasti objek dengan pantas dan paling penting kamera Note9 cemerlang apabila merakam foto ketika cahaya rendah mahupun terang.

Tidak dilupakan Note9 berkeupayaan merakam video Super Slow-mo pada kadar 960 bingkai sesaat.

Note9
Note9 menggunakan USB Jenis-C dan turut dibekalkan sistem audio stereo talaan AKG

 


Tambah

  •  Note9 diakui lebih sedap ketika digenggam berbanding model terdahulu dengan rekaan bingkai menarik  serta nampak segar.
  •  Bateri lebih besar 4,000 mAh
  •  Ruang storan sehingga 1 terabait
  •  SPen dengan fungsi bluetooth
  •  Dwi-kamera hebat 12 megapiksel dengan dwi-apertur serta Dwi-OIS
  •  Sistem penyejukan ketika bermain permainan

 
Tolak

  •  Rekaan dan saiz skrin Note9 yang hanya 0.1 inci lebih besar tidak menampakkan perbezaan langsung   dengan Note8 dan sekali pandang ia sama sahaja.
  •  Sistem pengecaman kekunci wajah ambil masa lama untuk dibuka dalam keadaan gelap