Ditawarkan pada harga RM999, telefon pintar ini ternyata berbaloi untuk dimiliki apabila ia dilengkapi dengan pelbagai fungsi serta ciri menarik seperti kamera berkembar, kerangka logam, pengimbas cap jari dan pengecas pantas.

Dari segi luaran, reka bentuk Moto G5S Plus menonjolkan ciri-ciri telefon pintar premium dengan binaan kerangka tunggal diperbuat daripada logam yang kelihatan elegan serta teguh.

Kamera belakang berkembarnya yang mempunyai resolusi 13MP berkemampuan merakam gambar dengan kesan latarbelakang pudar serta monokrom bagi memberikan hasil gambar memuaskan.

Selain itu, penggunaan aplikasi suntingan depth editor yang disediakan mampu menambahkan kesan khas pada gambar seperti memilih fokus, menukar latarbelakang atau mengubah warna sesuatu kawasan kepada hitam putih.

Sementara itu, kamera hadapannya pula yang beresolusi 8MP turut memberikan kualiti gambar memuaskan dan jelas pada cahaya terang.

Menampilkan skrin sesentuh kapasitif IPS LCD bersaiz 5.5 inci, Moto G5S Plus tidak terlalu besar apabila dipegang dan paparan warnanya juga jelas serta terang.

Bagaimanapun, rekaan kerangkanya yang diperbuat daripada logam agak licin ketika dipegang, namun ia dapat diatasi dengan mengenakan aksesori tambahan seperti penutup belakang.

Pengimbas cap jari yang didatangkan pada telefon pintar kelas pertengahan ini bukan sahaja berfungsi untuk membuka dan mengunci peranti, malah ia boleh membantu pengguna memudahkan navigasi peranti dengan fungsi one-button nav.

Kedudukan pengimbas tersebut yang terletak di bahagian hadapan turut memberi kemudahan kepada pengguna untuk membuka dan mengunci peranti tanpa perlu mengangkatnya selain ia turut mengimbas dengan pantas.

Nilai tambah lain yang terdapat pada Moto G5S Plus terletak pada fungsi pengecasannya iaitu menggunakan pengecas pantas TurboPower yang mampu mengecas 50 peratus kapasiti bateri dalam masa kurang 30 minit.

Dikuasakan dengan bateri 3,000mAh, Moto G5S Plus mampu bertahan selama lebih kurang satu hari untuk penggunaan sederhana seperti melayari internet dan penggunaan aplikasi sosial.

Secara keseluruhannya, peranti keluaran Kumpulan Perniagaan Mudah Alih Lenovo dan Motorola Mobility ini amat berbaloi untuk dimiliki kerana dilengkapi dengan ciri-ciri dan fungsi menarik yang terdapat pada telefon pintar kelas premium pada harga yang rendah. – K! ONLINE

 

Spesifikasi:

Sistem operasi - Android 7.1 (Nougat)

Pemprosesan - Lapan teras 2.0 GHz

Paparan - 5.5 inci, definisi tinggi penuh 1080p (1920×1080)

Kamera - 13 MP berkembar (belakang), 8 MP (hadapan)

Memori - 4 GB

Storan - 32 GB (menyokong sehinggga 128GB kad microSD)

Ukuran - 76.2 x 153.5 x 8.0 milimeter

Berat - 168 gram

Bateri - 3,000 mAh, pengecas TurboPower