Daripada jumlah tersebut, sebanyak 7,152 kematian dicatatkan dengan 60 peratus melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Tambah malang, hampir 2,000 kanak-kanak meninggal dunia setiap tahun akibat kecelakaan motosikal.

Mungkin bagi sesetengah orang, kematian kanak-kanak akibat kemalangan adalah perkara biasa yang berlaku di seluruh dunia.

Hakikatnya, isu itu menimbulkan rasa bimbang kepada pensyarah Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Prof. Madya Dr. Kulanthayan K.C Mani.

Berita kematian melibatkan kanak-kanak menjadikan tidurnya tidak lena. Bimbang dan takut kehilangan seolah-olah menghantui hidup pensyarah berusia 47 tahun ini.

Perasaan itu bukan hanya untuk kedua-dua anak lelaki kesayangannya sahaja, malah untuk semua anak-anak yang terdedah kepada kemalangan setiap hari.

Enggan menyaksikan lebih banyak nyawa melayang, dia yang mesra disapa Dr. Kulan membuat penyelidikan mengenai faktor kematian kanak-kanak akibat kemalangan di negara ini.

Kajian yang bermula pada Februari hingga Mac 2016 itu mendapati, hampir 87 peratus kemalangan maut disebabkan kecederaan di kepala.

Rumusannya, lebih banyak nyawa akan terselamat jika keselamatan kepala dipertingkatkan.

Justeru, topi keledar dilihat sebagai penawar untuk mencegah kecederaan kepala dalam kalangan pembonceng motosikal kanak-kanak.

Dua bulan selepas itu, bermulalah program Putra Bakti Inisiatif Penggunaan Topi Keledar Motosikal Kanak-Kanak yang mengambil masa hampir dua tahun.

Topi keledar percuma

Sejak itu sehingga November 2017 Kulan dan kumpulannya dari Safe Kids Malaysia Universiti Putra Malaysia (Safe Kids UPM) mula mengerah tenaga demi menyelamatkan nyawa pewaris negara.

Melibatkan 27 buah sekolah rendah di Selangor, lelaki yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan ini meluangkan masa sehingga empat hari bagi setiap sekolah.

Dia bersama seorang lagi pensyarah, Dr. Noor Afiah dan 10 orang pelajar dari Jabatan Kesihatan Komuniti akan tiba lebih awal daripada pelajar-pelajar dan menjadi yang paling lewat pulang ke rumah setiap hari.

Semuanya demi memantau dan merekodkan data bagi melihat trend penggunaan topi keledar dalam kalangan kanak-kanak di Selangor.

Menurut Kulan, dia tidak terkejut apabila mendapati hanya tiga peratus kanak-kanak menggunakan topi keledar yang mengikut piawaian. Katanya, sikap sambil lewa mengenai penggunaan topi keledar yang baik merupakan barah dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Saya melihat kanak-kanak ada yang memakai topi keledar basikal dan ada pula yang memakai topi dewasa.

“Paling sedih, ada yang langsung tidak memakai topi keledar. Bayangkan apa yang akan terjadi sekiranya dalam perjalanan pulang, motosikal mereka terbabas. Saya tidak sanggup memikirkannya,” katanya ketika ditemui di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM baru-baru ini.

Beliau yang juga Pengarah Eksekutif Safe Kids UPM iaitu sebuah badan sukarelawan keselamatan kanak-kanak yang berpangkalan di Amerika Syarikat berinisiatif untuk memberikan topi keledar secara percuma kepada kanak-kanak terlibat.

“Menerusi dana yang disalurkan oleh Safe Kids Worldwide Amerika Syarikat bersama Yayasan Kebajikan Halliburton, kita berjaya mengedarkan lebih 1,500 buah topi keledar kepada anak-anak ini.

Lulus

“Topi keledar tersebut diluluskan oleh SIRIM, serta bersaiz kecil khusus untuk kanak-kanak. Kita mahu anak-anak memiliki satu topi keledar yang baik dan menggantikan topi yang tidak melindungi mereka secara total,” katanya sambil menunjukkan label SIRIM yang terdapat pada topi keledar di sebelahnya.

Cukup memahami sikap rakyat Malaysia yang hangat-hangat tahi ayam, Kulan tidak hanya memberikan topi keledar semata-mata.

Menurutnya, topi percuma tidak mencukupi jika penerima tidak mengetahui kepentingan pemakaian topi keledar yang betul. Bagi memberi impak, Safe Kids UPM menganjurkan Hari Intervensi di setiap sekolah yang mereka kunjungi.

Menariknya, program tersebut melibatkan anak-anak dan waris. Pada majlis sama, anak-anak dan ibu bapa diminta mengangkat ikrar memakai topi keledar yang diberikan.

“Bayangkan, lebih 36 peratus anak-anak menggunakan topi keledar plastik dan sebanyak 37 peratus menggunakan topi keledar saiz dewasa.

“Kita mahu memberi kesedaran kepada waris agar tidak kerana kecuaian kita, anak-anak menjadi mangsa,” tegasnya.

Bagi melihat keberkesanan program, kunjungan semula dibuat ke setiap sekolah selepas sebulan.

Tiada apa yang lebih menggembirakan suami kepada seorang doktor gigi ini apabila terdapat peningkatan sehingga 35 peratus pemakaian topi keledar dalam kalangan kanak-kanak.

Lebih menggembirakan, 87 peratus ibu bapa di 27 buah sekolah tersebut sudah mula memakai topi keledar yang mampu menyelamatkan nyawa.

Kempen keselamatan jalan raya yang sering dianggap membosankan mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Bermula dengan Anugerah Fedex Road Safety pada April 2017, kemudian disusuli dengan Anugerah Komunikasi Cemerlang oleh Safe Kids World Wide di Baltimore, Amerika Syarikat.

Diiktiraf

Terbaharu, Safe Kids UPM turut menewaskan 30 buah negara lain bagi melayakkan mereka menerima Anugerah Antarabangsa Keselamatan Jalan Raya Putera Michael di London pada 12 Disember lalu.

Sementara itu, Pengarah JKJR Selangor, Mohd. Fakri Mansor ketika diminta mengulas mengenai program tersebut berkata, demonstrasi menghentam dua buah topi keledar berciri baik dengan tidak mengikut piawaian berjaya menyentap perasaan ibu bapa.

Dalam demonstrasi tersebut, pegawai JKJR telah menghayun kedua-dua topi keledar ke depan menggunakan tangan.

Ibu bapa berasa agak terkejut apabila melihat topi yang diperbuat daripada plastik pecah dengan hanya sekali hayunan.

Menurutnya, kebanyakan ibu bapa membeli topi keledar kepada anak hanya untuk mengelak disaman pihak polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan.

“Oleh kerana itu mereka cenderung memilih topi keledar plastik, topi keledar dewasa malah topi separuh yang banyak dijual di pasaran sekarang.

“Demonstrasi ini menunjukkan impak kepada ibu bapa tentang akibatnya yang mungkin mendorong kepada kejayaan meningkatkan peratusan penggunaan topi keledar.

Komunikasi berkesan melalui program tersebut turut diakui seorang bapa, Sundra Lingam, 58, dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Kajang, Selangor.

Dia yang sering menghantar anaknya dengan motosikal setiap hari bersyukur kerana terpilih menyertai program tersebut.

“Saya akan memastikan saya dan anak menggunakan topi keledar setiap kali menaiki motosikal.

“Saya juga tidak akan membenarkan anak memakai topi keledar dewasa yang tidak mengikut saiz kepalanya,” ikrar bapa kepada S. Phavenash yang merupakan anak tunggal dalam keluarga.

Statistik kematian yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak di jalan raya mendorong Prof. Madya Dr. Kulanthayan tampil dengan satu penyelesaian yang akhirnya mendapat pengiktirafan dunia.