“Kesan daripada bencana ini juga sejumlah 70,000 orang hilang tempat tinggal dan hujan lebat yang berterusan menyukarkan usaha mencari mangsa yang masih hidup,” jelas pengurus operasi Persekutuan Palang Merah Antarabangsa (IFRC), Patrick Elliot.

Elliot berkata demikian dalam satu kenyataan media setelah Ribut Tropika Tembin membadai Mindanao yang merupakan pulau kedua terbesar di Filipina.

Dilaporkan sejumlah 200 orang terbunuh akibat bencana banjir dan tanah runtuh yang berlaku selepas dilanda Ribut Tropika Tembin.

Pulau tersebut yang didiami sekitar 20 juta penduduk dilanda Ribut Tropika Tembin yang membawa hujan lebat dan angin selaju 125 kilometer sejam.

Polis tempatan berkata, penduduk terpaksa berlindung di pusat-pusat pemindahan ketika Ribut Tropika Tembin menghala ke Laut China Selatan.

Seramai 135 orang terkorban dan 72 lagi hilang di bahagian utara Mindanao, manakala 47 maut dan 72 hilang di Semenanjung Zamboaga di bahagian barat pulau itu.

Dalam pada itu, seramai 18 orang lagi terbunuh di wilayah Lanao del Sur, tengah pulau yang sama.

Salah satu tempat yang paling teruk terjejas ialah Kampung Dalama di kawasan pergunungan di utara Mindanao. Kampung itu lenyap daripada peta dunia selepas dibadai Tembin.

Sementara itu, anggota polis, tentera dan sukarelawan bertungkus-lumus menggunakan penyodok dan tangan untuk menggali lumpur bagi mencari mang­sa.

“Ada mangsa yang tidak sempat meninggalkan kediaman kerana air naik de­ngan terlalu cepat,” kata se­orang mangsa yang terselamat di Dalama, Armando Sangcopan.

Anggota penyelamat menyatakan bahawa sejumlah 103 buah rumah dihanyutkan air banjir yang deras di kampung itu.

Filipina dilanda 20 ribut besar secara purata setiap tahun yang kebanyakannya melibatkan kematian, namun jarang berlaku di Mindanao yang menjadi penempatan kira-kira 20 juta penduduk.

Miskin

Penyelamat telah mengeluarkan 36 mayat dari Sungai Saloq di Mindanao dan pihak berkuasa melaporkan lebih banyak kematian dilaporkan di kawasan miskin di Semenanjung Zamboanga.

Mayat-mayat itu dihanyutkan banjir yang berlaku di bandar Salvador, Rando Salvacion yang terletak di hulu sungai, kata Ketua Polis bandar Sapad kepada agensi berita AFP.

Pihak berkuasa di Salvador berkata, mereka turut menemui 17 mayat lagi di hulu sungai.

Salvador dan Sapad yang terletak di Lanao del Norte, antara wilayah yang paling teruk dilanda Ribut Tropika Tembin.

Jumlah kematian di Semenanjung Zamboanga turut meningkat kepada 28 orang dan polis berkata, 81 lagi masih hilang selepas runtuhan batu dan lumpur melanda penempatan komuniti pesisiran Sibuco dan lain-lain bandar nelayan.

Tembin tiba tidak sampai seminggu selepas Ribut Tropika Kai-Tak mengorbankan 54 orang dan menyebabkan 24 yang lain hilang di tengah Filipina.

Taufan Haiyan yang paling kuat melanda negara itu mengakibatkan ribuan terbunuh dan memusnahkan keseluruhan bandar-bandar yang padat dengan penduduk di tengah Filipina pada November 2013.