Azira Shafinaz Ramlan menyedari, impian tersebut bergantung kepada jenis kamera yang digunakan sewaktu mengambil gambar, video atau secara langsung.

Menyedari hakikat itu, anggota kumpulan De Fam tersebut memilih untuk menggunakan telefon pintar Huawei Nova 5T (Nova 5T) yang dilengkapi lima buah kamera AI (kecerdasan buatan).

Jelas Azira, telefon pintar terbaharu daripada syarikat berpangkalan di China itu memiliki ciri-ciri kamera unggul bagi menghasilkan gambar kelihatan semula jadi dan sempurna.

“Nova 5T didatangkan dengan lima kamera AI termasuk kamera Quad AI pada bahagian belakang. Ciri ini membolehkan gambar yang dirakam kelihatan lebih menawan.

“Kamera utamanya adalah 48 megapixsel (MP), kamera ultra-wide (16MP), kamera makro (2MP) dan kamera dalam (2MP),” katanya pada majlis pelancaran Nova 5T di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagi penggemar swafoto, telefon pintar berkenaan dilengkapi dengan kamera depan 32MP.

Menariknya, kamera tersebut dikuasakan oleh All-View Display bagi menghasilkan kualiti gambar lebih semula jadi dan sempurna.

Menurut Azira, dia juga tidak lagi bimbang untuk merakam gambar pada waktu malam atau ruang gelap apabila menggunakan Nova 5T.

“Telefon ini mempunyai kamera berteknologi AIS Super Night Mode bagi memudahkan pengguna merakam gambar dalam gelap,” jelasnya.

Huawei Nova dan Huawei Nova Plus adalah telefon pintar dalam kategori pertengahan. Ia pertama kali diperkenalkan pada Internationale Funkausstellung Berlin (IFA) pada 1 September 2016.

Timbalan Pengarah Serantau Huawei Malaysia, Matthew Ng berkata, Nova 5T adalah telefon pintar pertama di dunia yang menggunakan 7nm mobile AI, Kirin 980.

Jelasnya, Kirin 980 dilengkapi memori dalaman 8 gigabyte (GB) dan memori luaran (128GB) dengan bercirikan teknologi ultra-fast bagi penyimpanan.

“Telefon ini menyokong dua kad sim dan mempunyai paparan skrin 6.25 inci sokongan penuh definisi tinggi yang mampu memberi paparan sebesar 2,340x1,080 piksel,” katanya.

Telefon seberat 174 gram itu dikuasakan dengan bateri sebesar 3,750mAH bagi membolehkannya bertahan lebih lama apabila diguna secara terus.

Pengecasnya pula dilengkapi dengan teknologi 22.5W Super Charge bagi membolehkan bateri dicas sehingga 50 peratus dalam tempoh 30 minit.

Katanya, telefon berkenaan memiliki sensor cap jari pada sebelah tepi bagi memudahkannya beroperasi meskipun dengan sebelah tangan.

Jari kotor

“Pengguna telefon ini tidak lagi bimbang untuk membuka skrin paparan telefon pintar apabila jari kotor.

“Ini kerana sensor cap jari tidak lagi diletakkan pada bahagian skrin sebaliknya di sebelah kanan telefon,” jelasnya.

Nova 5T menggunakan sistem operasi Emui 9.1 yang dipertingkatkan bagi menaik taraf kualiti penggunaan si pemakai.

Sistem operasi terbaharu itu memberi fokus kepada hiburan dengan pengguna boleh mendengar muzik, menonton video, bermain permainan di mana-mana sahaja.

Pemain e-sukan terkemuka, Pinda Rika Dorji, 23, berkata, Nova 5T memberi pengalaman berbeza kepada penggemar permainan seperti Mobile Lagend, PUBG Mobile dan Call of Duty.

Jelas gadis kelahiran Thimphu, Bhutan itu, paparan skrin telefon tersebut lebih jelas serta lebih peka dengan sentuhan.

“Saya lebih selesa bermain permainan kegemaran mengguna telefon ini. Saya tidak perlu bimbang masalah skrin tidak sensitif apabila butang ditekan,” katanya.

Rika Dorji yang juga pengacara televisyen menambah, pengguna Nova 5T juga tidak perlu bimbang dengan gangguan panggilan ketika bermain permainan video.

Katanya, telefon pintar tersebut mempunyai sistem yang membolehkan pengguna menjawab panggilan penting sambil bermain permainan video kegemaran mereka.

“Saya sedar, ramai penggemar permainan video mengalami dilema apabila sering terganggu ketika panggilan.

“Menerusi Nova 5T, pengguna boleh menjawab panggilan tanpa perlu rasa bimbang mengalami kekalahan,” katanya.

Nova 5T didatangkan dalam tiga pilihan warna iaitu ungu, biru dan hitam. Menariknya, warna-warna tersebut direka khas dengan tiga dimensi holografik.

Pembeli yang membuat pembelian sebelum 30 September ini akan mendapat satu tahun jaminan daripada Huawei.