Pigmen warna tersebut ditemui selepas penyelidik memecahkan batu-bata berusia 1.1 juta tahun yang ditemui di dasar lautan di bawah padang pasir Sahara di Lembah Taodeni di Mauritania, Afrika Barat.

“Sudah pasti anda akan katakan semua benda mempunyai warna yang sama.

“Tetapi apa yang kami temui ialah warna biologi tertua dunia,” kata Ketua Penyelidik Kanan Universiti Kebangsaan Australia, Prof. Madya Jochen Brocks.

Warna tersebut dijumpai oleh seorang mahasiswa doktor falsafah (PhD), Nur Gueneli yang telah menghancurkan batu itu menjadi serbuk. Beliau kemudian menganalisis molikul organisma purba daripada bahan tersebut.

Menurut Nur, pigmen tersebut berusia lebih separuh bilion tahun lebih tua daripada penemuan sebelum ini.

“Pigmen merah jambu terang itu adalah molekul fosil klorofil yang dihasilkan oleh organisme fotosintesis purba dan telah mendiami lautan purba,” katanya dalam satu kenyataan.

Penyelidikan yang disokong oleh agensi Geoscience Australia itu diketuai oleh Universiti Kebangsaan Australia dan dijalankan bersama saintis dari AS dan Jepun.

“Batu-batu itu dihantar ke universiti tersebut oleh sebuah syarikat yang sedang mencari minyak di bawah batu dan pasir padang pasir Sahara kira-kira sedekad,” kata Brocks.