Namun dalam mengejar arus pembangunan, terdapat pihak yang sanggup mengenepikan tentang aspek alam sekitar.

Hutan bakau antara salah satu lokasi yang sering menjadi mangsa kepada projek pembangunan.

Hutan bakau adalah sumber pantai yang sangat penting untuk pembangunan sosial dan ekonomi negara.

Masih ramai penduduk di negara ini menetap berhampiran kawasan pantai dan kebanyakan mereka bergantung kepada sumber semula jadi untuk kelangsungan hidup.

Pokok bakau merupakan sumber komersial dan perikanan yang sangat berharga. Malah, hutan bakau berpotensi sebagai tapak pembangunan pelancongan berasaskan ekologi.

Menyedari kepentingan pemuliharaan hutan bakau seramai 32 pemimpin belia telah terlibat dalam menjayakan program Kem #Mangrove4U di Pulau Bait di Semporna, Sabah baru-baru ini.

Ekologi

“Ini merupakan satu-satunya aktiviti yang memberikan kesedaran tentang pemuliharaan bakau di pulau kami. Walaupun membesar dan tinggal di kawasan simpan hutan bakau, namun kami tidak tahu bahawa pokok bakau ini dilindungi dan memberikan banyak kepentingan ekologi kepada komuniti pesisir,” jelas Mohd. Absyah Abdul Wahab, 31.

Hampir 60 peratus bakau boleh didapati di Sabah dan Semporna merupakan salah satu kawasan yang mempunyai kawasan hutan simpan bakau.

Bakau memainkan peranan yang sangat penting sebagai kawasan nurseri, habitat, dan tempat sumber makanan kepada ekosistem sekelilingnya termasuk manusia.

Selain menjadi benteng penahan pesisir, bakau juga membantu dalam menjaga kualiti air dengan menapis bahan buangan daripada kawasan daratan.

Dalam pada itu, Pengarah Perhutanan Semporna, Norahmad Jumain berkata, hutan bakau di daerah Semporna juga mengalami ancaman daripada pelbagai aspek yang turut menyukarkan pihak penguatkuasaan bertindak.

“Hampir keseluruhan kawasan bakau di daerah ini dilindungi dan pihaknya pada masa sama masih meneruskan pencarian untuk kawasan hutan bakau baharu yang boleh diwartakan lagi.

Antara ancaman yang sedang dihadapi oleh kawasan hutan bakau di daerah ini termasuklah aktiviti pembalakan haram, perumahan pesisir bakau dan pembuangan sampah sarap. Pembukaan kawasan bakau untuk pembangunan juga antara ancaman yang dihadapi,” jelasnya.

Daerah Semporna sangat beruntung kerana mempunyai kawasan hutan bakau yang menjadikan lautannya unik dan cantik.

Malah bakau juga turut menjadi sumber perusahaan yang semakin membangun dalam sektor pelancongan.

Oleh itu, hutan bakau juga perlu diberikan perhatian kerana kepentingannya dalam alam sekitar dan ekonomi tempatan.

Pemuliharaan

Sementara itu, Pembantu Ketua Projek Kem #Mangrove4U, Herminatalia Tabar menjelaskan, dalam mendepani cabaran perubahan iklim, bakau juga perlu penekanan pemuliharaan yang kukuh.

“Pokok bakau juga dikenali sebagai blue carbon storage kerana kelebihannya dalam menyerap karbon yang kita lepaskan setiap hari.

“Bakau dan ekosistemnya telah memberikan banyak servis percuma kepada kita dan itulah sebabnya kita perlu melindunginya,” jelasnya.

Program kem #Mangrove4U merupakan aktiviti yang dianjurkan bersama Green Semporna atau Kelab Pencinta Alam Semporna.

Program ini ditaja oleh 1Malaysia For Youth dan Young Southeast Asian Leaders Initiative bersempena sambutan YOUnified yang diadakan di seluruh negara ASEAN dengan lebih 100 aktiviti dijalankan manakala 16 daripadanya di Malaysia.

Program ini turut dianjurkan dengan kerjasama dan sokongan daripada Pejabat Perhutanan Daerah Semporna, JKKK Pulau Bait, WWF-Malaysia Semporna Marine Program dan Project RAW: Protect Mangroves, Protect Us.