Filem Jaws arahan Steve Spielberg itu cukup hebat hinggakan berkesan menanam rasa ngeri dan takut dalam diri penonton khususnya penggemar aktiviti rekreasi air terhadap hidupan laut itu.

Maka tidak hairanlah, sehingga kini masih ramai lagi individu yang trauma dengan ikan jerung.

Sedangkan realitinya, tidak semestinya jerung itu akan memakan manusia setiap kali anda berenang di laut.

Kepada individu yang berdepan dilema terbabit, usah gusar kerana baru-baru ini teknologi penghalau jerung dalam versi boleh dipegang telah diperkenalkan di Sydney, Australia.

Ia direka khusus buat penggemar aktiviti rekreasi air seperti selam skuba, snorkel dan tempuling.

Alat diberi nama eSpear itu dibangunkan oleh syarikat dari Australia, Ocean Guardian yang memberi tekanan kepada biologi jerung itu sendiri sekali gus melindungi penyelam.

Ketua Pegawai Eksekutif, Ocean Guardian, Lindsay Lyon berkata, alat berbentuk seakan-akan pistol itu berupaya menjana medan elektromagnetik berkuasa tinggi sehingga diameter satu meter dan sejauh 2.5 meter apabila dihidupkan.

Halau

Ia dapat menghalau mana-mana spesies jerung berdekatan dengan keberkesanan serta-merta.

Jelas Lyon, eSpear merupakan medium terbaik untuk menyingkirkan rasa takut manusia kepada spesies jerung.

“Ia secara tidak langsung memberi peluang kepada manusia untuk menjalani sebarang aktiviti rekreasi air tanpa kerisauan.

“Selain itu, ia juga dapat melindungi hidupan marin terbabit daripada diancam oleh kekerasan manusia.

“Malah, teknologi ini juga dilihat berpotensi menggantikan jaring dan dram jerung komersial yang digunakan untuk menyekat hidupan marin tersebut,” ujarnya kepada media Australia ketika dilancarkan di negara itu baru-baru ini.

Kongsi Lyon, medan elektromagnetik yang dihasilkan eSpear itu akan mengganggu bahagian pengesan pada hidung jerung ataupun ampullae Lorenzini yang digunakan untuk menjejak mangsa pada jarak dekat.

Alat itu dilengkapi dua elektrod yang akan menghalau jerung dan meninggalkan rasa termangu kepada spesies tersebut buat seketika waktu apabila ia datang menghampiri eSpear.

Syarikat tersebut sedang giat menjalankan kempen IndieGoGo untuk menjual peranti berkenaan yang dianggarkan pada Mei nanti dengan harga AS$299 (RM1,216).

Tambah Lyon, alat penghalau jerung menggunakan medan elektromagnetik yang diperkenalkan itu bukanlah sesuatu yang baharu.

Pihaknya telah menjalankan penyelidikan terperinci tentang kesan medan elektromagnetik itu sejak lebih dua dekad lalu.

Alat eSpear itu hadir dengan berat 250 gram dan boleh beroperasi sehingga kedalaman 100 meter.

Bateri litium yang terbina di dalam alat tersebut membolehkan eSpear digunakan sehingga dua jam secara terus-menerus dengan hanya sekali pengecasan.

Sementara itu, saintis jerung, Amanda Elizabeth berpendapat, alat penghalau jerung itu memberi jaminan keselamatan kepada golongan pencinta aktiviti air menjalani kegiatan yang diinginkan di pantai terbuka.

Dana

“Kita perlu yakin untuk berkongsi nikmat alam semula jadi seperti laut ini bersama hidupan marin lain.

“Pada masa sama, kita bermain di laman haiwan tersebut, jadi aspek keselamatan perlu dititikberatkan.

“Menariknya mengenai eSpear ini, ia tidak sedikit pun memberi ancaman kepada ikan jerung mahupun hidupan marin lain,” ujarnya.

Ocean Guardian kini sedang giat mengumpul dana untuk mengembangkan lagi pembangunan produknya pada skala yang lebih besar.

Demi menjadikan usaha itu suatu kenyataan, mereka bersama salah sebuah universiti di Australia akan membangunkan teknologi itu dalam masa terdekat.

Teknologi dengan konsep sama akan digunakan sebagai sempadan pantai di seluruh dunia sambil melindungi laut sekali gus mengurangkan risiko serangan jerung.

Projek tersebut memerlukan dana sebanyak AS$60,000 (RM244,000) dan setakat ini, sebanyak AS$1,200 (RM4,880) telah berjaya dikumpulkan.

Teknologi itu berkesan menyingkirkan banyak spesies jerung termasuk jerung putih tanpa sedikit pun keraguan dari segi keberkesanannya.