Ancaman aliran lumpur berbahaya yang turun melalui lereng-lereng bukit di gunung itu mendatangkan bahaya kepada penduduk sekitar.

Dalam masa kurang tiga minggu, Gunung Mayon telah menghembuskan berjuta-juta tan abu, batu, lahar dan serpihan lain.

Pakar gunung berapi berkata, kebanyakan bahan-bahan itu menimbun di lereng-lereng bukit dan timbunan tersebut boleh mengalir turun sebagai banjir lumpur sekiranya hujan lebat berlaku.

Dalam pada itu, kenyataan yang dikeluarkan oleh Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina mendedahkan, gunung berapi yang paling aktif di Asia Tenggara tersebut telah memuntahkan lava dan abu sejak dua minggu lalu. Letusan besar dijangka berlaku pada bila-bila masa.

“Kejadian ini memberi ancaman, jadi kami mendesak semua orang berpindah apabila diarahkan oleh pihak berkuasa.

“Letusan itu sangat berbahaya untuk penduduk sekitar,” kata ketua ramalan pemantauan dan letusan di institusi itu, Mariton Bornas.

Ingkar arahan

Bornas menambah, lahar dari Gunung Mayon boleh membawa batu besar dan mampu memusnahkan sesuatu yang berhampiran dengannya.

“Batu-batu besar ini boleh meluncur turun melalui lereng bukit Mayon dalam masa beberapa minit sahaja,” jelasnya.

Sementara itu, ramai petani dan pekerja kuari berhampiran gunung itu mengingkari arahan pihak berkuasa untuk berpindah ke kawasan yang lebih selamat.

Di kampung Salvacion, ramai petani menyelinap masuk ke dalam zon bahaya untuk bercucuk tanam dan menjaga haiwan dengan alasan mereka perlu terus mencari rezeki.

“Saya tidak fikir gunung berapi ini akan meletus.

“Apinya sudah padam dan ia akan menjadi tenang dalam masa terdekat,” kata Istong Jayvee.

Bagi Edna Medina yang merupakan seorang pekerja ladang, dia dan rakan-rakan yang lain sentiasa bersedia untuk melarikan diri jika gunung berapi meletus.

“Apabila gunung berapi meletus, kami akan keluar dari sini dengan menunggang motosikal dan kemudiannya menuju ke jalan utama,” katanya.

Dalam pada itu, seorang jurugambar agensi berita AFP yang berada berdekatan gunung berapi itu berkata, bunyi dentuman kuat seperti guruh mengiring letusan Gunung Mayon.

“Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dan tidak memasuki zon berbahaya dalam radius 8 kilometer dari Gunung Mayon.

“Mereka juga perlu lebih berhati-hati terhadap arus piroklas, lahar dan aliran sungai yang dipenuhi serpihan,” jelasnya

Arus piroklas merupakan awan gas panas, abu dan serpihan gunung berapi lain yang membakar apa sahaja di laluannya ketika ia bergerak menuruni lereng gunung setinggi 2,460 meter dari aras laut itu.

Gunung Mayon terletak sekitar 330 kilometer ke tenggara Manila.

Letusan Gunung Mayon pada tahun 2006 berakhir tanpa kemalangan jiwa, namun ribut taufan yang melanda empat bulan kemudian mengakibatkan timbunan lumpur di lereng-lereng gunung berapi itu mengalir turun dengan deras, sekali gus mengorbankan kira-kira 1,000 orang.