Pertama, bulan purnama Julai yang akan melalui bayang bumi semasa gerhana bulan dan muncul semula sebagai bulan bercahaya merah.

Kedua, Planet Marikh atau juga dikenali sebagai planet merah akan berada paling dekat dengan bumi dan kelihatan terang di langit .

Fenomena planet Marikh berada paling dekat dengan bumi hanya berlaku sekali atau dua kali setiap 15 atau 17 tahun.

Kali terakhir Marikh berada sebegitu dekat dengan Bumi ialah pada tahun 2003 iaitu 55,758,006 juta kilometer (km) sekali gus, menjadikannya jarak paling dekat dalam tempoh hampir 60,000 tahun.

“Planet Marikh akan dapat dilihat menggunakan mata kasar pada 31 Julai depan. Ia kelihatan seperti cahaya jingga yang bersinar dan muncul dari arah tenggara selepas matahari terbenam.

“Pada ketika itu, Marikh akan berada di orbit paling dekat dengan Bumi iaitu 57. 59 juta km,” kata ahli astronomi di Balai Cerap Cincinatti, Dean Regas.

Ujarnya, fenomena tersebut akan berlanjutan selama beberapa minggu dan Marikh akan kelihatan pudar menjelang pertengahan Ogos depan apabila ia bergerak jauh dari Bumi dalam orbit mengelilingi Matahari.

Marikh akan kelihatan hampir di semua sudut Bumi pada Julai ini selepas matahari terbenam tetapi hanya orang yang berada di sebelah utara seperti Alaska, utara Kanada, Greenland dan Iceland tidak dapat melihatnya kerana ia kurang jelas di bahagian horizon selatan.

Pun begitu, kebanyakan orang di Amerika Tengah serta Selatan, Kanada, Eropah, Asia, Afrika, Australia dan Antartika dapat melihat Marikh pada Julai ini.

Sementara itu, Pegawai Sains Planetarium Negara, Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Mohd. Zamri Shah Mastor berkata, planet Marikh dan Bumi mempunyai orbit masing-masing tetapi terletak secara bersebelahan.

Kelajuan pergerakan setiap planet di dalam orbit masing-masing adalah juga berbeza. Keadaan ini menyebabkan ada ketikanya kedua-dua planet akan berada berdekatan dan berjauhan.

“Keadaan ini boleh dibayangkan umpama dua orang atlet bersebelahan yang sedang berlari di lorong larian yang membelok.

“Sekiranya atlit di lorong sebelah dalam berlari lebih pantas, ia akan semakin mendekati atlet di lorong sebelah luarnya.

“Kemudian ia akan berada di kedudukan berdekatan serta bersebelahan dengan atlet di lorong luar dan akhirnya meninggalkan atlet di lorong luar tesebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Begitu juga dengan planet Marikh dan Bumi. Setiap 26 bulan atau setiap dua tahun dan dua bulan, Bumi akan memintas planet Marikh seperti atlet di lorong sebelah dalam memintas atlet di lorong sebelah luarnya.

Semasa memintas planet Marikh, kedua-dua planet akan saling berdekatan seketika sebelum Bumi meninggalkan Marikh.

Orbit kedua-dua planet sebenarnya tidak sentiasa sama kerana faktor gangguan tarikan graviti daripada planet-planet lain di dalam sistem suria.

Terutamanya daripada Musytari yang merupakan planet terbesar di dalam sistem suria dan faktor kecondongan orbit planet masing-masing yang berbeza-beza menyebabkan jarak kedudukan paling hampir antara planet Marikh dengan Bumi pada setiap 26 bulan sentiasa berbeza-beza.

Struktur planet

Tambahnya, berdasarkan kiraan oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) jarak paling dekat antara planet Marikh dengan Bumi boleh sehampir 54.6 juta kilometer iaitu kira-kira satu pertiga daripada jarak Bumi ke Matahari.

Walau bagaimanapun, jarak terdekat ini tidak mudah dicapai oleh kedua-dua planet tersebut.

Pada 27 Ogos 2003 pukul 9.51 pagi waktu Greenwich, planet Marikh dan Bumi berada berdekatan pada jarak 55,758,006km. Hasil pemeriksaan pihak NASA, jarak terdekat antara planet Marikh dengan Bumi tersebut sebenarnya tidak pernah dicapai sejak 60,000 tahun lalu iaitu ketika Bumi dikuasai oleh manusia primitif yang digelar sebagai Neanderthals.

Menurut NASA, jarak terdekat antara planet Marikh dengan Bumi pada tahun 2003 akan dicapai semula pada 28 Ogos tahun 2287 iaitu 269 tahun dari sekarang.

Mengulas mengenai kesan fenomena tersebut, Mohd. Zamri berkata, Fenomena jarak terdekat antara planet Marikh dan Bumi tidak memberi apa-apa kesan terhadap Bumi dan planet-planet lain.

Bagaimanapun, fenomena tersebut akan menyebabkan planet Marikh kelihatan lebih jelas dari Bumi dan boleh dilihat dengan mata kasar ataupun menggunakan teleskop.

Menggunakan teleskop, pemerhati planet Marikh di langit berkemungkinan dapat melihat stuktur permukaan planet Marikh dengan lebih jelas. Ada berkemungkinan juga kita melihat struktur litupan ais berwarna putih di kutub planet tersebut.

Sehubungan itu, Planetarium Negara akan mengadakan Program Pencerapan Planet Marikh pada Sabtu 28 Julai 2018 bermula pada pukul 9 malam hingga pukul 11.30 malam di Planetarium Negara.

Program Pencerapan Gerhana Bulan Penuh kemudiannya akan menyusul dari pukul 1 pagi sehingga 7 pagi di lokasi yang sama.

Planetarium Negara akan menyediakan beberapa buah teleskop untuk orang awam melihat planet Marikh dengan lebih jelas selain menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh.

Sesi taklimat berkaitan gerhana bulan penuh dan pencerapan planet Marikh akan turut diadakan semasa program dijalankan.

Orang awam dijemput untuk menyaksikan kedua-dua fenomena tersebut pada 28 dan 31 Julai merupakan jarak planet Marikh paling dekat ini dengan bumi iaitu 57.59 juta km

Seluruh penduduk Malaysia tidak kira di kawasan atau di negeri mana boleh melihat planet Marikh sepanjang malam iaitu ketika matahari terbenam sehingga menjelang subuh keesokan harinya.

Planet Marikh akan terbit dari arah timur pada awal malam dan akan kelihatan sebagai bintang yang sangat cerah berwarna jingga tetapi tidak berkelip.

Ia akan semakin tinggi dan berada tegak di atas kepala dan kemudiannya akan bergerak ke arah langit sebelah barat pada sepanjang malam sehingga menjelang pagi.

Pemerhatian ke atas planet Marikh sebenarnya amat bergantung kepada keadaan cuaca dan kejernihan langit pada masa pemerhatian.

Sekiranya cuaca hujan atau langit diliputi awan berkemungkinan kita tidak dapat melihat planet Marikh pada waktu tersebut.

Marikh akan berada paling dekat dengan bumi pada 28 hingga 31 Julai ini pada jarak 57.59 juta kilometer