Sesekali riak gembira terpacul pada wajah pelajar dari Sekolah Menengah Agam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (SMA MAIWP) itu apabila robotnya berjaya menyelesaikan tugasan tertentu pada laluan berkenaan.

Antara tugasan yang perlu dilakukan termasuk membuat imbasan dan kemudian menyusun objek mengikut warna di tempat yang telah ditetapkan.

Bagaimanapun, berkerut juga dahinya apabila melihat robotnya itu tidak bergerak mengikut atur cara yang telah diprogramkan.

Setelah membelek robot bersaiz sebesar kira-kira kertas A4 itu dan mengamati atur cara perisian komputernya, Ahmad Arrasyid meletakkan semula robot berkenaan untuk menilai kemampuannya.

Kongsi Ahmad Arrasyid, persiapan yang dilakukan itu tidak lain tidak bukan, untuk menguji kemampuan robotnya pada pertandingan robotik Make X peringkat kebangsaan bertempat di Dewan Puteri Perdana, Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya, Selangor.

“Saya memang minat dengan robotik ini dan setelah pihak Telaga Biru Education datang ke sekolah dan berbincang bersama pengetua, kami nekad menyertai pertandingan robotik itu.

“Kami dapat menyiapkan struktur robot ini dalam masa sehari namun dari segi pengaturcaraan, ia mengambil masa sehingga sebulan.

“Hal ini kerana kami perlu memeriksa setiap kod arahan yang ditetapkan dalam perisian serta memastikan ia dapat berfungsi dalam keadaan sempurna,” ujarnya yang teruja bersaing bersama pasukan lain.

Pertandingan Robotik Make X Malaysia 2018 merupakan pertandingan robotik peringkat kebangsaan yang berteraskan Sains, Teknolgi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Ia dianjurkan oleh Telaga Biru Education dengan kerjasama CRYsTaL Universiti Kebangsaan Malaysia dan pembekal peralatan pendidikan STEM bertaraf dunia dari Shenzhen China, Makeblock Co. Ltd.

Pertandingan itu seiring dengan agenda dan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan sumber tenaga mahir serta kepakaran dalam bidang ini selain kesedaran untuk menarik minat generasi muda.

Berdaya saing

Menurut Pengurus Pendidikan STEM Telaga Biru Education, M. Norsaiful Abd. Rahim, pertandingan bertaraf antarabangsa ini meletakkan pendidikan STEM sebagai asas dalam mempromosikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.

Pertandingan itu mensasarkan penyertaan murid-murid sekolah dari peringkat rendah, menengah dan universiti mengikut kategori.

Bagi murid-murid yang mempelajari atau terdedah kepada pengaturcaraan Scratch khususnya yang dipelajari menerusi mata pelajaran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK), Asas Sains Komputer (ASK), Reka Bentuk Teknologi (RBT) serta Sains Komputer, ia merupakan suatu kelebihan.

Hal ini disebabkan keseluruhan pertandingan ini merupakan asas kepada pengaturcaraan robot menggunakan pengaturcaraan Scratch (mBlock).

“Menerusi aktiviti pertandingan ini, Make X dilihat mampu melahirkan murid yang berdaya saing selain mencungkil bakat semula jadi mereka untuk memperbaiki dan menajamkan kemahiran demi mencapai kejayaan.

Pemangkin

“Berbeza dengan pertandingan robotik lain, Make X mementingkan kerjasama sepasukan.

“Ia menggalakkan murid berkongsi ilmu dan membentuk strategi dengan pesaing demi mencapai kejayaan bersama menerusi tugasan bersekutu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Cyberjaya, Selangor baru-baru ini.

M. Norsaiful berharap ia menjadi pemangkin kepada murid-murid untuk mendalami dan memahami kepentingan pendidikan STEM dan pelbagai disiplin ilmu.

Pendekatan pendidikan secara santai itu diharap dapat mendorong murid-murid berinteraksi sesama mereka.

Ia merupakan teknik pembelajaran yang merangsang minda untuk berfikir secara kritis dan kreatif.

Make X mensasarkan kejayaan menjadi jenama yang unggul dalam penganjuran pertandingan robotik bertaraf dunia, dengan berteraskan pendidikan STEM.

“Dengan penglibatan murid-murid, akhirnya Malaysia mampu melahirkan generasi yang berkebolehan dan kompetetif di peringkat dunia.

“Pertandingan bagi tujuan pendidikan itu dirancang untuk dijadikan acara tahunan selepas melihat sambutan yang diterima,” jelasnya lagi.

Kategori yang difokuskan ialah peringkat permulaan iaitu Make X Starter dengan penglibatan peserta dari umur 12 sehingga 16 tahun.

Pembelajaran amali

Menurut Pengurus Pemasaran Antarabangsa Makeblock Co. Ltd., Arya Xie, pertandingan robotik Make X itu membuktikan kesedaran STEM di peringkat nasional semakin bertambah baik.

Katanya, sambutan yang ditunjukkan cukup memberangsangkan sekali gus memberikan perspektif positif terhadap penerimaan STEM di Malaysia.

“Pendidikan STEM merupakan trend global yang menggalakkan generasi muda mendalami teknologi baharu.

“Melihat segelintir kumpulan yang dapat menyiapkan empat tugasan kurang satu minit cukup menakjubkan dan ia suatu pencapaian yang signifikan.

“Menariknya, pemenang akan diterbangkan ke China mewakili Malaysia pada Disember nanti untuk bertanding bersama negara lain seperti Singapura, Hong Kong, Thailand, Taiwan dan Mexico,” jelasnya.

Bagi Mentor Sekolah Menengah Jalan Arang, Sarawak, Wong Hee Ting, pertandingan Make X merupakan medium generasi muda menerapkan pembelajaran teori STEM dalam bentuk amali.

“Peserta akan berdepan dengan pelbagai kemungkinan masalah dari segi teknikal.

“Dari situ, mereka dapat mengasah nilai penyelesaian masalah dan lebih faham realiti dalam teknologi.

“Dalam pertandingan ini, mereka dapat memupuk semangat bekerja secara berkumpulan sekali gus membina suasana koperatif,” jelasnya.