Hanya China mengambil sebahagian besar daripada jumlah itu selepas mengimport 45 peratus sisa plastik dunia.

Sampah plastik seperti botol soda, pembungkus makanan dan beg plastik dihantar ke China untuk dikitar semula bagi menghasilkan barangan plastik.

Bagaimanapun, pada awal tahun ini, negara tembok besar itu berhenti mengimport sampah plastik atas faktor kebimbangan terhadap alam sekitar di negara tersebut.

Larangan yang dilakukan China itu berkuat kuasa pada 31 Disember 2017, sekali gus menyebabkan jumlahnya menjadi semakin buruk.

Polisi baharu itu juga akan menyebabkan kira-kira 111 juta tan metrik sisa plastik dipindahkan ke lokasi pelupusan sampah lain menjelang tahun 2030.

Statistik itu diperoleh hasil kajian satu penyelidikan bertajuk Larangan Import China dan Kesannya Terhadap Perdagangan Sisa Plastik Global yang diterbitkan dalam jurnal Science Advances.

Ia mengkaji kesan sampah plastik di dunia dan tindakan yang perlu diambil untuk mengurangkan kuantiti bahan tidak boleh dikitar semula.

Laporan itu juga berkaitan dengan pengurusan yang diperlukan oleh negara-negara terlibat bagi memikirkan semula cara untuk menghapuskan sisa plastik.

“Saya fikir, ia akan menjadi lebih sukar sebelum ia bertukar mudah.

“Ia memerlukan masa. Ia perlu masa untuk membangun dan mengembangkan sistem domestik, pasaran serta mengubah rekaan produk,” kata seorang profesor jurutera Universiti Georgia, Jenna Jambeck.

Negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Jerman telah lama menghantar plastik kitar semula mereka ke China dan negara-negara Asia, sekali gus menjadikan industri import-eksport sampah plastik meningkat 800 peratus, demikian menurut laporan rangkaian televisyen National Geographic.

Jambeck juga berkata, sistem kitar semula di AS semakin mencabar dan secara umumnya kurang berdaya maju.

Hanya sembilan peratus daripada plastik yang dihasilkan di seluruh dunia dikitar semula.

Selebihnya berakhir di tapak pelupusan sampah, dibakar atau dibiarkan mencemari alam sekitar.

Kajian itu juga mendapati China telah mengambil lebih daripada 106 juta tan metrik plastik sejak tahun 1992, satu jumlah yang sama dengan lebih 300 buah Empire State Building di Midtown Manhattan, New York, AS.

Untuk tahun 2016 sahaja, separuh daripada sisa plastik yang mahu dikitar semula itu dieksport oleh 123 negara dan China menjadi pengimport utama bahan tersebut.

Sejak tahun 1992, China telah mengimport 106 juta tan metrik sisa plastik atau 45 peratus daripada semua sisa plastik.

Pengeksport

Daripada plastik yang dieksport, 89 peratus daripadanya terdiri daripada pembungkus makanan, menurut kajian tersebut.

AS adalah pengeksport utama polivinil klorida (PVC), Jerman pula pengeksport utama polietilena (PE) manakala Jepun ialah pengeksport utama polistirena.

PVC merupakan polimer plastik sintetik ketiga paling kerap digunakan di dunia dan biasanya digunakan dalam sektor pembinaan.

Ia juga digunakan untuk membuat botol, pembungkusan bukan makanan dan kad seperti kad bank.

PE pula merupakan satu komoditi termoplastik yang dibuat oleh industri kimia dan digunakan secara meluas dalam produk pembungkusan makanan sementara polistirena ialah polimer termoplastik yang jernih serta tegar, mudah dibentuk dengan dicairkan dan digunakan sebagai bahan rangka sesuatu sebagai penebat elektrik.

“Susulan daripada itu, import sampah plastik di Vietnam, Indonesia, Malaysia dan Thailand semakin meningkat, namun tidak ada negara yang mempunyai kapasiti pembelian seperti China.

Tekanan

“Sampah tidak akan menimbun di jalan-jalan tetapi sektor kitar semula akan berkurang dan ia memberi tekanan kepada syarikat AS untuk membeli lebih banyak plastik kitar semula bagi produk mereka,” kata ahli ekonomi Vermont, Ted Siegler yang pakar dalam membantu negara membangun membina sistem pengumpulan sampah tetapi tidak terlibat dengan kajian tersebut.

Sementara itu, seorang lagi penulis kajian dari Universiti Georgia, Amy Brooks berkata, lebih banyak plastik akan dibakar atau dihantar ke kawasan daratan.

“Perubahan itu memaksa negara-negara untuk memikirkan semula bagaimana mereka mahu menguruskan sisa plastik.

Mereka perlu lebih selektif tentang apa yang dipilih untuk kitar semula dan lebih bijak menggunakan semula plastik,” kata Brooks.

“Kajian itu menggambarkan bahawa plastik yang mempunyai pelbagai kegunaan dan formulasi lebih sukar untuk dikitar semula berbanding bahan lain seperti kaca dan aluminium,” kata Sherri Mason yang tidak terlibat dalam kajian itu dan merupakan ketua geologi serta jabatan sains alam sekitar di Universiti Negeri New York di Fredonia.

Menurutnya, ramai pengguna cuba mengitar semula produk plastik yang tidak boleh dikitar.

Salah satu penyelesaiannya ialah untuk menukar plastik menjadi produk.

“Kita perlu berdepan dengan bahan ini dan cara kita menggunakannya kerana kebanyakan daripada bahan ini ialah plastik sekali pakai dan ia tidak hilang.

“Ia tidak lupus dan kembali ke planet seperti bahan-bahan lain,” jelas Mason.

Susulan daripada itu, negara-negara seperti AS, Britain dan Jerman perlu mencari solusi baharu untuk berdepan dengan pertambahan sisa plastik di negara mereka.

Menghantar ia ke tempat pelupusan sampah tempatan atau membakarnya adalah salah satu cara, namun kedua-duanya mempunyai kesan sampingan.

Perubahan

Tindakan itu akan menyebabkan pencemaran udara dan meningkatkan isu kesihatan seperti kegatalan mata atau masalah pernafasan.

Dalam pada itu, Brooks juga berkata, salah satu langkah terbaik menguruskan sisa plastik ialah mengelak menggunakan barangan sekali guna seperti penyedut minuman dan cawan plastik.

Menggunakan semula botol juga boleh mengurangkan jumlah plastik yang dihasilkan pada setiap tahun.

“Ini adalah tindakan mudah yang boleh anda cuba.

“Saya tahu ramai orang beranggapan bahawa mereka tidak melakukan perubahan besar, namun jika berjuta-juta orang mula mengambil langkah tersebut, ia pasti akan memberi satu perubahan,” tambah Brooks.

Larangan import plastik juga telah menarik perhatian industri kitar semula AS.

Gabungan Kitar Semula Kebangsaan AS dalam satu kenyataan pada pertengahan Mei lalu mendedahkan, ia adalah cara bagaimana kita memberitahu orang awam dan bagaimana kita mengumpul serta memproses bahan tersebut.

“Kita perlu melihat kegunaan baharu untuk bahan-bahan ini dan mencari pengeluar yang boleh mereka produk yang mudah dikitar semula,” kata pengarah eksekutif gabungan itu, Marjorie Griek.

Keputusan China menghentikan import sisa barangan plastik akan menyebabkan berjuta-juta tan bahan itu dibakar atau dibiarkan mencemari alam sekitar.