Suasana hutan mendamaikan, apabila digabungkan dengan aktiviti survival hidup mencetuskan sesuatu yang bermanfaat kerana memaksa seseorang untuk berfikir di luar daripada kebiasaan kerana sumber asas yang sangat terhad.

Sekumpulan 20 orang mahasiswa Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah, Universiti Malaya (UM) telah menganjurkan sebuah program Royal Green Initiative (RGI) di kawasan perkhemahan Kem Lolo Gunung Nuang, Hulu Langat, Selangor baru-baru ini.

Sokongan

Menariknya, program ini turut menekankan tanggungjawab sebagai seorang pendaki dengan membawa tema #pickitup. Pendaki digalakkan mengutip sampah sarap yang ditemui sepanjang program pendakian.

Inisiatif ini bermula sejak tahun 2016 dalam kalangan kumpulan-kumpulan pendaki tempatan.

Ia telah dijalankan di pelbagai lokasi pendakian dengan sokongan sebuah syarikat pembekal barangan pendakian tempatan.

Menurut pelajar tahun tiga Pusat Sukan UM yang juga Pengarah Program RGI, Mohamad Shafiq Md. Salleh, 21, selain belajar mengenai kemahiran ikhtiar hidup dengan kekangan kemudahan moden, para peserta turut didedahkan dengan kemahiran memasak.

Ia penting dalam mengubah persepsi mahasiswa mengenai penyediaan makanan semasa perkhemahan yang lazimnya dikaitkan dengan makanan dalam tin dan makanan segera.

“Pada program RGI, kami telah bersama-sama menyediakan menu yang mungkin tidak terlintas dalam fikiran. Misalnya, kami menyediakan nasi putih lauk ayam masak kicap dan paprik, sayur kailan ikan masin, papadom dan sambal belacan.

“Peserta juga turut dijamu dengan juadah minuman petang dan malam seperti bihun goreng, cekodok dan martabak maggi,” katanya.

Program dua hari satu malam itu turut mendapat kerjasama Core Adventures iaitu syarikat perunding dan pembekal barangan aktiviti luar, pendakian dan perkhemahan.

Syarikat itu turut menyediakan beg yang digunakan untuk mengutip sampah. Para peserta telah berjaya mengumpulkan 20 buah beg sampah di sekitar kawasan perkhemahan dan di sepanjang perjalanan menuruni gunung.

Pendedahan

Menurut Mohamad Shafiq lagi, para peserta telah didedahkan mengenai cara-cara pemasangan khemah yang betul, ciri-ciri keselamatan yang perlu dititik beratkan semasa pemasangan khemah, pengurusan kawasan perkhemahan dan senarai barangan yang diperlukan semasa pendakian serta aktiviti perkhemahan.

Sementara itu, seorang lagi peserta iaitu pelajar tahun kedua Fakulti Kejuruteraan UM, Afzan Fatiha Mohd. Khairi, 20, tidak menyangka bahawa tempat riadah sebegitu sebenarnya dipenuhi dengan sampah sarap.

“Sebagai seorang pendaki dan penggemar aktiviti lasak, saya pasti akan meneruskan inisiatif #pickitup ini walau di mana saja saya berada. Saya percaya keindahan alam sekitar ini perlu ada usaha untuk menjaganya dan dilakukan bersama,” ujarnya.

Program seumpamanya bakal diteruskan dalam masa terdekat di Gunung Rajah di Bentong, Pahang.

Bagaimanapun, ia melibatkan kumpulan mahasiswa yang lebih besar dengan kerjasama daripada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.