Ia bakal memberi manfaat kepada pengguna terowong bawah tanah itu untuk mengakses rangkaian 4G bagi membolehkan mereka membuat panggilan telefon, membaca e-mel dan membuka laman sosial bukan sahaja di stesen, malah dalam kereta api.

Sebelum ini, pengguna mengalami kesukaran untuk melakukannya dan hanya boleh bergantung kepada sistem wifi di stesen sahaja. Kawasan bawah tanah itu juga selama ini dianggap sebagai lokasi berprofil tinggi yang tidak mesra akses mudah alih.

Tambah sukar, landasan kereta api bawah tanah di London ialah yang tertua di dunia dengan binaannya sempit dan membengkok bagi mengikuti laluan seperti di permukaan jalan raya.

Pemasangan teknologi 4G itu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

Stesen Jubilee Line merupakan stesen pertama yang akan menerima manfaat tersebut diikuti separuh lagi di bahagian timur kota itu bermula Mac tahun depan.

Percubaan rangkaian 4G itu akan dilakukan dalam masa terdekat dari Westminster sehingga ke Canning Town yang meliputi ruang membeli tiket dan koridor.

Di samping itu, Stesen London Bridge dan Waterloo juga bakal menerima sambungan 4G sepenuhnya dan kini sedang menunggu kelulusan akhir.

Rumit

Menurut Datuk Bandar London, Sadiq Khan, langkah tersebut sangat penting untuk berjuta-juta orang yang menggunakan pengangkutan bawah tanah itu setiap tahun.

“Memperkenalkan 4G dan 5G pada masa akan datang dapat membantu penduduk London dan pengunjung untuk berhubung terus serta mendapatkan maklumat terkini sepanjang perjalanan tanpa sebarang gangguan.

“London merupakan tempat terbaik untuk hidup dan berkunjung. Oleh itu, projek ini akan menjadikan kehidupan masyarakat di sini menjadi lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan seperti yang dilaporkan oleh Intelligent Transport baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Teknologi TfL, Shashi Verma berkata, jaringan bawah tanah London adalah persekitaran yang sangat mencabar tetapi pihaknya kini berada di landasan tepat dalam menyediakan sambungan mudah alih di setiap stesen dalam terowong tersebut.

“Kami telah memulakan kerja yang rumit untuk membolehkan pengguna pengangkutan bawah tanah menerima panggilan telefon ketika berada di dalam terowong bermula pada Mac 2020 dan lebih banyak stesen akan dilengkapkan dengan rangkaian tersebut.

“Keseluruhan projek itu dijangka memerlukan pemasangan kabel sepanjang 2,000 kilometer dengan jurutera bekerja secara syif untuk meminimumkan gangguan talian kepada penumpang,” terangnya.

Tambah beliau, pihaknya belum ada sebarang perancangan untuk memasang rangkaian 5G dalam terowong kerana banyak peralatan yang diperlukan.

Pemasangan rangkaian 4G itu menjadi rumit apabila terowong tiub itu beroperasi 24 jam sehingga membataskan akses kakitangan jurutera ke terowong tersebut.

Bagaimanapun, usaha itu kelak membolehkan penumpang menerima panggilan walaupun berada di dalam kereta api bawah tanah.

Dalam pada itu, Ketua Transformasi Infrastruktur TfL, Mark Bulle berkata, penumpang bukan sahaja tidak akan terputus jaringan komunikasi tetapi juga membolehkan pengguna menonton penstriman video tanpa sebarang gangguan.

“Liputan telefon bimbit telah menjadi suatu standard kelaziman di banyak sistem kereta api bawah tanah di seluruh dunia sejak beberapa tahun lalu.

“Sebagai contoh, Moscow telah menawarkan sambungan wifi dan telefon bimbit kepada para penumpang yang menggunakan perkhidmatan kereta api bawah tanah,” tuturnya.

Sehingga kini, para penumpang di London terpaksa bergantung kepada sistem wifi yang terdapat di stesen dan tergesa-gesa log masuk sebelum kereta api tiba di platform.

Pun begitu, mengenai langkah terbaharu itu, ia mungkin memberi kesan negatif kepada penerbitan akhbar harian percuma di London seperti Evening Standard yang banyak bergantung kepada pembacaan pengguna pengangkutan kereta api itu.