Dia yang tinggal di Taman Lembayung, Sri Muda, Shah Alam, Selangor akan berulang-alik ke tempat kerjanya di pusat bandar Shah Alam pada setiap hari.

Nasib tidak menyebelahinya pada pagi itu apabila kereta yang dipandunya tiba-tiba terhenti di tengah-tengah jalan ketika melalui Lebuh Raya Kemuning–Shah Alam (LKSA).

Kejadian yang tidak terduga itu membuatkan Mohd. Ibrahim sedikit panik tetapi dia bertindak cepat apabila menolak kenderaan tersebut ke bahu jalan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Tangannya pantas mencapai telefon pintar dan mencari aplikasi Prolintas lalu menekan butang makluman dalam kesusahan (SOS) untuk mendapatkan bantuan.

“Selepas beberapa minit, petugas peronda menghubungi saya untuk mengetahui keadaan kerosakan dan mengesahkan masalah tersebut.

“Sepuluh minit kemudian pasukan peronda datang untuk menyemak kerosakan pada kereta dan mendapati masalah tersebut berpunca daripada bateri,” ceritanya ketika ditemui Kosmo! di Pejabat Operasi LKSA, Shah Alam baru-baru ini.

Ujar bapa kepada dua orang cahaya mata itu, dia berasa sangat gembira dengan adanya aplikasi tersebut kerana ia membantu pengguna di jalan raya jika berlaku kerosakan atau kecemasan.

Sebelum ini, sekiranya kereta rosak, Mohd. Ibrahim akan menghubungi rakan ataupun saudara-mara untuk mendapatkan bantuan.

Kini, dia tidak perlu risau lagi kerana boleh mendapatkan bantuan pasukan peronda pada bila-bila masa hanya menekan butang SOS.

Di samping itu, tiada caj dikenakan kepada mereka yang menggunakan khidmat pasukan peronda dan aplikasi tersebut.

Mohd. Ibrahim yang bertugas sebagai kontraktor berkata, dia memuat naik aplikasi itu dua bulan lalu apabila terbaca mengenai aplikasi Prolintas ketika berhenti solat di surau berhampiran LKSA.

Tambahnya, aplikasi ini sangat mudah digunakan dan semua pengguna wajib memuat naik Prolintas sekiranya berlaku kecemasan pada masa akan datang.

Sementara itu, seorang lagi pengguna aplikasi Prolintas, Megat Mazlan Abu Bakar, 34, berkata, dia mengetahui mengenai aplikasi tersebut ketika melayari laman Facebook Rasmi Kumpulan Syarikat Prolintas.

“Sebagai pengguna LKSA setiap hari, saya merasakan adalah penting untuk memuat turun aplikasi ini sebagai persiapan sekiranya mengalami kerosakan kenderaan.

“Selain itu, aplikasi ini juga memberi maklumat trafik dan ia memudahkan saya untuk merancang perjalanan,” tuturnya yang bekerja sebagai peniaga pakaian.

Aplikasi tersebut telah diperkenalkan oleh Kumpulan Syarikat Prolintas (Prolintas), pengendali empat lebuh raya utama di Lembah Klang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, dengan satu sentuhan di telefon pintar, pengguna lebuh raya di bawah Prolintas boleh menghantar isyarat kecemasan dan lokasi mereka untuk meminta bantuan daripada pasukan peronda.

Jenis kecemasan

Kaedah ini lebih mudah, cepat dan tepat berbanding cuba menjelaskan di mana anda berada.

Aplikasi mudah alih Prolintas boleh dimuat turun secara percuma melalui AppStore untuk pengguna iPhone serta iPad atau GooglePlay untuk pengguna peranti Android.

“Aplikasi ini merupakan sebahagian daripada langkah proaktif Prolintas dalam mewujudkan komunikasi dua hala dengan pengguna.

“Ia juga akan memastikan pengguna lebuh raya menerima maklumat trafik dan perkhidmatan lain di Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuh Raya Koridor Guthrie (GCE), Lebuh Raya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuh Raya Kajang SILK (SILK),” jelasnya.

Aplikasi ini bakal diperluas ke lebuh raya kendalian Prolintas yang kini dalam pembinaan termasuk Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dan Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH).

Terangnya lagi, sekiranya berlaku kecemasan, pengguna hanya perlu memilih jenis kecemasan di aplikasi tersebut dan lokasi pemandu yang berada dalam kesulitan akan dapat dikesan secara automatik oleh peronda lebuh raya dengan syarat pengguna menghidupkan ciri teknologi sistem kedudukan global (GPS) di telefon pintar.

Pasukan ronda akan sentiasa memantau dan bertindak dengan segera apabila menerima isyarat SOS di aplikasi mudah alih Prolintas.

Menerusi aplikasi berkenaan juga, pasukan peronda akan mendapat maklumat yang betul ketika hendak memberi bantuan kepada pengguna lebuh raya yang berada dalam kesulitan.

“Sebagai contoh, apabila isyarat SOS diterima menerusi aplikasi Prolintas, pusat operasi atau pasukan peronda akan menghubungi pengguna dengan serta-merta.

“Pasukan peronda kami akan memberikan bantuan secepat mungkin tetapi ia bergantung pada keadaan lalu lintas semasa,” katanya lagi.

Sokongan tambahan

Aplikasi terbaharu ini juga merupakan sokongan tambahan kepada pelbagai saluran komunikasi lalu lintas Prolintas yang lain termasuk papan elektronik pelbagai pesanan, saluran media sosial seperti Twitter dan Facebook serta bantuan telefon kecemasan di lebuh raya kendalian Prolintas.

Penggunaan aplikasi ini juga bakal diperluaskan ke lebuh raya yang kini sedang dalam pembinaan termasuk Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dan Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH).

Mohammad Azlan juga memberitahu, aplikasi tersebut akan memudahkan Prolintas memaklumkan kepada para pengguna mengenai promosi, pengumuman, kempen dan berita korporat syarikat tersebut.

“Pengguna turut diberi akses untuk memberikan maklum balas yang berharga kepada kami mengenai pengalaman mereka menggunakan lebuh raya Prolintas

“Ia juga boleh dijadikan sebagai asas untuk merangka program kesetiaan pelanggan pada masa hadapan,” ulasnya.

Sebagai tanda penghargaan kepada sokongan pengguna, Prolintas akan memberikan baucar RM10 yang boleh ditebus di LKSA Port Food Truck kepada 1,000 pengguna pertama yang memuat turun aplikasi ini.