Justeru, kehadiran raja buah itu sangat dinanti-nantikan terutamanya apabila tiba musim durian.

Terdapat pelbagai jenis buah durian di pasaran yang memberi pilihan kepada pencinta buah tersebut untuk menikmatinya.

Sebagai pengguna, terdapat keperluan untuk mengenal pasti jenis durian kerana keadaan fizikal luarannya yang kelihatan hampir sama menyebabkan ramai orang terkeliru.

Menyedari kesukaran itu, sekumpulan penyelidik daripada Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur telah membangunkan sebuah laman web dan aplikasi bagi mengenal pasti jenis durian berdasarkan gambar luaran buah itu.

Pengguna boleh melayari laman web durianrecognition.com atau aplikasi DurianCam secara percuma untuk tujuan tersebut.

Menurut Ketua Penyelidiknya, Ir. Dr. Chuah Joon Huang, pembangunan laman web dan aplikasi itu merupakan projek seorang pelajar di bawah seliaannya iaitu Marcus Lim Guozong, 23, yang dibantu oleh dua orang pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dengan ideanya dicetuskan oleh Joon Huang.

“Saya mendapat idea untuk membangunkan program tersebut ketika membeli durian di Bentong, Pahang apabila sukar mengenal pasti jenis durian kerana ia kelihatan sama sahaja.

“Sebagai contoh, secara fizikal D197 tidak jauh berbeza dengan durian D24 walaupun isinya mempunyai kualiti berbeza,” katanya ketika ditemui Infiniti di Fakulti Kejuruteraan Elektrik UM baru-baru ini.

Beliau kemudian mencadangkan kepada Marcus agar menjalankan kajian ini bagi projek tahun akhir pengajian ijazah sarjana mudanya kira-kira dua tahun lalu.

Tambahnya, mekanisme seperti itu sangat penting memandangkan Malaysia merupakan antara negara pengeluar terbesar durian.

Justeru, ia memudahkan penjual dan pembeli mengenal pasti jenis-jenis durian dengan menggunakan kecanggihan teknologi.

Jelasnya yang juga merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Elektrik, buat masa ini pihaknya memberi fokus kepada empat jenis durian untuk dikenal pasti menggunakan platform tersebut.

Empat jenis durian itu ialah D13, D24, D175 (udang merah) dan D197 (musang king).

Latihan

Ia juga sangat pintar untuk mengenal pasti apa sahaja objek yang bukan buah durian.

Pada masa akan datang, kumpulan penyelidik itu akan menambah beberapa jenis durian serta buah-buahan lain untuk dikenal pasti menggunakan kaedah tersebut.

Pengguna hanya perlu merakam gambar kemudian dimasukkan ke dalam laman web atau aplikasi tersebut dan maklumat mengenai jenis buah itu akan dipaparkan.

Joon Huang memberitahu, aplikasi DurianCam boleh dimuat turun secara percuma bermula Januari ini dan buat masa ini hanya untuk pengguna Android.

Sementara itu, Marcus memberitahu, dia mengambil masa setahun iaitu bermula tahun 2017 untuk membangunkan laman web dan aplikasi tersebut.

“Saya menggunakan teknik pemprosesan imej untuk membangunkan aplikasi ini iaitu rangkaian neural yang membolehkan ia menjadi lebih ‘pintar’.

“Proses latihan pengenalan jenis durian untuk aplikasi ini menggunakan lapisan rangkaian pintar yang akan mengenal pasti ciri-ciri visual imej kulit durian untuk dijadikan input,” terangnya yang kini sudah memegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik.

Selepas proses latihan itu selesai, aplikasi akan berupaya untuk mengenal pasti jenis durian berdasarkan kebarangkalian tertinggi ditunjukkan oleh imej yang diproses.

Bercerita lanjut mengenai cabaran dalam melaksanakan kajian itu, Marcus berkata, dia perlu pergi ke ladang durian dan gerai-gerai yang menjual buah tersebut untuk merakam gambar.

“Bagi setiap satu jenis durian itu saya merakam ratusan gambar untuk dimasukkan ke dalam sistem bagi memastikan keputusannya benar-benar tepat.

“Sehubungan itu, ia mampu memberi ketepatan sebanyak 80 peratus ketika membuat penilaian jenis buah tersebut,” ujar anak bongsu daripada dua beradik itu.

Salah seorang pelajar PhD yang membantu penyelidikan tersebut, Khaw Hui Ying, 27, pula berkata, penggunaan laman web dan aplikasi itu bukan sahaja memudahkan penggemar durian malah mampu menjadi platform kepada agensi yang terlibat.

Ia amat bermanfaat terutamanya dalam usaha membangunkan aplikasi serupa bagi memberi penyelesaian kepada sistem pengurusan kualiti hasil pertanian untuk penentuan kualiti produk bagi pasaran import.

“Menariknya, aplikasi ini juga mampu membezakan buah tempatan yang menyerupai durian seperti cempedak.

“Potensi aplikasi ini amat luas. Dengan penggunaan lebih banyak imej sebagai input kepada rangkaian neural yang digunakan akan menghasilkan ketepatan yang lebih tinggi,” ulasnya yang berasal dari George Town, Pulau Pinang.

Inovasi tersebut bakal memberi manfaat kepada masyarakat keseluruhannya termasuklah semua komponen industri buah-buahan tempatan.