Mereka menyaksikan asap berwarna kelabu tersebut tanpa memakai sebarang penutup hidung dan mulut.

Ada dalam kalangan kumpulan itu mengambil kesempatan merakam gambar berlatarbelakang awan abu yang dilihat menjulang tinggi setinggi 3,600 meter ke udara.

Ada juga beberapa orang pemain golf memukul bola golf tanpa mempedulikan keadaan sekeliling.

Kilauea merupakan antara gunung berapi paling aktif di dunia dan salah satu daripada lima gunung berapi yang terdapat di pulau tersebut.

Gunung berapi yang meletus pada 3 Mei lalu itu telah menghamburkan asap tebal mengandungi abu volkanik dan menyebabkan rekahan tanah.

Fenomena alam itu telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk.

Menurut Fox News, letusan gunung berapi itu telah menyebabkan 20 lubang volkanik bawah tanah dan lava yang mengalir telah memusnahkan lebih 40 struktur bangunan termasuk berpuluh-puluh buah rumah.

Beberapa orang penduduk di kawasan kejiranan Kau di Pulau Besar memberitahu program televisyen Hawaii News Now bahawa mereka mengalami sakit kepala, sakit tekak dan mata berair selepas terdedah kepada debu volkanik.

“Saya mempunyai jiran, rakan dan keluarga. Letusan gunung berapi tersebut mengundang banyak masalah kepada mereka.

“Kini mereka terpaksa tinggal di dalam rumah kerana cenderung untuk mengalami masalah pernafasan,” kata Jessie Marques, salah seorang penduduk di Pahala, Hawaii kepada program televisyen tersebut.

Marques yang menghidap asma memberitahu, zarah-zarah baharu di udara itu telah menyebabkan dirinya sukar bernafas.

“Lapisan habuk sangat tebal melitupi bahagian atas kereta dan seperti yang anda dapat lihat dan rasai, ia kelihatan seperti jelaga hitam dan kotor,” tambah wanita tersebut.

Bukan itu sahaja, Agensi Pertahanan Hawaii juga melaporkan pelepasan gas volkanik turut menyebabkan penduduk di Pulau Besar mengalami gejala seperti alergi akibat debu.

Keadaan tersebut mendorong pihak berkuasa mengeluarkan amaran kualiti udara dan kemungkinan berlaku letusan besar.

Jabatan Pertahanan Awam Daerah Hawaii berkata, gunung berapi yang terletak di tenggara kejiranan Lanipuna Gardens membebaskan paras gas sulfur dioksida yang tinggi dan mencetuskan amaran peringkat merah.

“Keadaan yang lebih teruk mungkin berlaku seperti merasa tercekik dan sukar bernafas.

“Keadaan ini sangat serius dan menjejaskan penduduk yang terdedah kepada asap tersebut,” kata agensi itu.

 

Letusan freatik

Paras gas sulfur dioksida yang tinggi sangat bahaya kepada warga tua, kanak-kanak dan mereka yang mengalami masalah pernafasan, demikian menurut Jabatan Kesihatan Hawaii.

Mengulas lanjut, jabatan itu berkata, sulfur dioksida boleh dibawa oleh angin atau merebak ke kawasan tanpa ada angin.

Pihak berkuasa berkata, amaran turut dikeluarkan bagi kawasan ladang di sekeliling gunung berapi itu. Mereka yang berada di kawasan tersebut harus berpindah serta perlu mendapatkan rawatan perubatan sekiranya terjejas teruk.

Pihak berkuasa juga telah mengarahkan kira-kira 2,000 penduduk berpindah sejak Kilauea mula menghamburkan lava ke kawasan kejiranan.

Agensi Pertahanan Awam turut meminta orang ramai supaya tidak mendekati lokasi tersebut.

Selain daripada lava dan toksik mengandungi gas, terdapat juga kebimbangan letusan freatik.

Letusan tersebut yang didorong letupan wap yang berlaku apabila air di bawah tanah atau di permukaan dipanaskan oleh magma, lava, batu panas atau mendapan gunung berapi baharu, demikian menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Menurut agensi itu, haba yang panas boleh membuatkan air mendidih dan menyebabkan letusan.

 

Kimia

Dalam pada itu, menurut Pensyarah Geologi, Pusat Pengajian Sains Sekitaran & Sumber Alam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Mohd. Rozi Umor, magma gunung berapi secara kimia terdiri daripada dua jenis iaitu magma asid dan magma bes.

“Bagi gunung berapi jenis magma asid, kelikatan magma adalah tinggi kerana kandungan silika yang tinggi dan mempunyai suhu rendah iaitu antara 700 hingga 800 darjah Celsius.

“Gunung berapi bes pula mempunyai kelikatan magma yang rendah kerana kandungan silika rendah namun mempunyai suhu tinggi iaitu antara 1,300 hingga 1,500 darjah Celsius,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Menurut beliau, gunung berapi yang terletak di Hawaii dikategorikan sebagai gunung berapi bes susulan kelikatan magmanya adalah rendah dan suhu yang tinggi.

Apabila gunung tersebut meletus, lahar yang dihasilkan akan mengalir lebih jauh dari lohong gunung berapi berbanding lahar magma asid. Letusan gunung berapi biasanya mengandungi debu dan bahan kimia beracun seperti gas sulfur dioksida.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sulfur dioksida adalah gas beracun berwarna kuning dan berbau busuk seperti telur tembelang namun boleh menyebabkan kawasan sekitar gunung berapi menjadi subur.

“Apabila gas sulfur dioksida keluar ke atmosfera, ia bergabung dengan air membentuk asid sulfurik lemah dan diturunkan sebagai hujan asid, tetapi apabila berlaku proses pengoksidaan iaitu pertambahan oksigen, asid tersebut akan berubah menjadi sulfat.

“Sulfat ini akan bertindak sebagai baja yang boleh menyuburkan tanah,” jelasnya.

Fenomena gunung berapi berlaku secara semula jadi dan rayapan lava tidak boleh dihalang. Justeru, Mohd. Rozi berkata, apa yang penting adalah masyarakat perlu memahami kejadian ini dan mengambil langkah berhati-hati serta peka dengan keadaan semasa dan mematuhi arahan berpindah sekiranya berada dalam radius bahaya.