Kita bersama-sama makhluk lain seperti haiwan, tumbuh-tumbuhan termasuk mikroorganisma berkongsi nikmat alam semula jadi setelah sekian lama.

Meskipun begitu, manusia dilihat lebih dominan dan bertindak tidak ubah lagak seorang tuan kepada planet tersebut.

Maka tidak hairanlah, aktiviti yang dilakukan oleh manusia dilihat menjejaskan sistem semula jadi planet yang menghimpunkan sekalian hidupan yang selama ini hidup secara harmoni.

Begitulah konklusi laporan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) menerusi WWF’s Living Planet Report 2018 yang diterbitkan baru-baru ini.

Laporan itu mempersembahkan gambaran menyedihkan impak negatif aktiviti manusia terhadap hidupan alam semula jadi, hutan, laut, sungai dan klimat.

Menurut Pengarah Pemuliharaan WWF Malaysia, Dr. Henry Chan, komuniti peringkat global perlu bertindak segera bagi mengubah realiti itu dengan memikirkan dan menjelaskan secara kolektif cara menghargai, melindungi serta memulihkan alam.

Katanya, manusia menghabiskan akaun simpanan sumber alam semula jadi sekali gus menjadikan generasi akan datang kekurangan sumber untuk hidup.

Simptom kemusnahan

“Simptom kemusnahan alam semula jadi akibat kerakusan manusia ditunjukkan menerusi kemerosotan ikan di laut, perubahan cuaca dan hutan yang semakin merosot.

“Untuk hidup secara lestari, jejak ekologi setiap individu terhadap seluruh dunia adalah kira-kira 1.7 hektar (1,700 meter persegi).

“Justeru, dengan populasi kira-kira 31 juta manusia, ia bersamaan dengan 51 juta hektar (0.51 kilometer persegi) tanah dan laut,” jelasnya ketika dihubungi Infiniti baru-baru ini.

Tambah Henry, untuk mencapai jejak ekologi itu, pengurangan penggunaan sumber alam sehingga 61 peratus perlu dilakukan.

Ia bersamaan dengan empat kali ganda saiz negara Malaysia.

Indeks Kehidupan Planet dalam laporan itu menunjukkan populasi global haiwan seperti ikan, burung, mamalia, amfibia dan reptilia semakin menurun pada kadar purata 60 peratus antara tahun 1970 dan 2014.

Ancaman utama terhadap spesies itu dikenal pasti berkait rapat dengan aktiviti manusia termasuk kehilangan habitat, degradasi dan eksploitasi alam yang berlebihan.

Di Malaysia, penyu marin berhadapan survival kepupusan, badak Sumatera telah pun pupus daripada hidupan liar dan spesies seperti harimau Malaya, seladang dan rusa Sambar semakin terancam.

Laporan itu turut menekankan kepentingan pendebungaan dan bagaimana perubahan cuaca, amalan pertanian intensif, spesies invasif dan penyakit baharu menjejaskan kelebatan, diversiti dan kesihatan tumbuhan.

Impak

Di kawasan-kawasan tropika, kebergantungan manusia terhadap pendebungaan adalah sehingga 98 peratus untuk penghasilan buah-buahan.

Justeru, Malaysia sebagai salah sebuah negara tropika perlu risau sekiranya kawasan hutan terus merosot.

Pada hemat Henry, komoditi sesebuah negara itu wajar dipertahankan dengan mengambil sikap bertanggungjawab.

Tambahnya, semua kawasan hutan yang telah ditetapkan sebagai hutan keluaran perlu diuruskan mengikut piawaian standard yang seimbang dari segi ekologi, sosial dan ekonomi.

Di Malaysia, keperluan piawaian mandatori untuk pengeluaran kelapa sawit merupakan langkah yang baik.

Pun begitu, Henry berharap ia dapat diamalkan dalam pengeluaran makanan laut, ikan, udang termasuk hidupan marin lain yang semakin merosot.

Sementara itu, Pengarah WWF Antarabangsa, Marco Lambertini berkata, impak manusia terhadap planet sangat mencemaskan, namun di sebalik realiti menakutkan itu, WWF melihat suatu harapan terbuka luas.

“Sedang seluruh dunia bergerak ke arah pembangunan dan alam sekitar yang mapan menjelang 2020, kita memiliki peluang untuk menebus semula kemusnahan alam yang berlaku.

“Akan tetapi, usaha itu harus dilakukan segera. Sudah tiba masanya inisiatif skala global yang menekankan alam sekitar dan manusia dilaksanakan.

“Ia sebagai satu pengiktirafan terhadap hubungan nilai intrinsik terhadap kesihatan alam, kesejahteraan manusia dan masa depan planet ini,” jelasnya lagi.

Tambah Lambertini, manusia setelah sekian lama mengambil kesempatan terhadap alam sekitar dari segi budaya, ekonomi dan politik.

Namun, amalan lama iu perlu dihentikan sekarang kerana bagi Lambertini, tidak akan ada sosial atau ekonomi sejahtera pada planet yang dijatuhkan martabatnya.

“Kita boleh menjayakannya, tetapi ia perlu dilaksanakan segera,” tegas Lambertini.