Dalam salah satu adegannya, ia menunjukkan sebuah kereta yang lengkap bersayap mampu untuk terbang di udara.

Selain filem tersebut, terdapat juga beberapa naskhah lain yang memaparkan beberapa adegan kereta berterbangan.

Bukan lagi fantasi, kini ia dijangka berubah kepada realiti. Sekumpulan pakar bahkan percaya bahawa kereta terbang bakal menjadi pengangkutan peribadi dalam tempoh sedikit masa lagi.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini sudah terdapat syarikat-syarikat yang mengorak langkah untuk menghasilkan kereta terbang.

Pemaju kereta terbang dari Belanda iaitu PAL-V antara syarikat yang telah berusaha untuk merealisasikan penciptaan kereta terbang.

PAL-V juga menyasarkan untuk menjadi syarikat pertama yang mengkomersialkan kereta terbang di pasaran.

Ini berikutan syarikat itu telah melepasi semua ujian kenderaan dan undang-undang penerbangan Eropah dan Amerika Syarikat. Ia sekali gus membolehkannya dijual di pasaran awam.

Ketua Pegawai Eksekutif PAL-V, Robert Dingemanse berkata, selepas bertahun-tahun bekerja keras mengatasi cabaran teknikal, pasukannya berjaya mewujudkan sebuah kereta terbang inovatif yang mematuhi piawaian keselamatan dunia.

Kipas

Dikenali sebagai PAL-V Liberty, kereta terbang itu secara teknikalnya dipasang dengan dua enjin Rotax iaitu satu untuk tujuan penerbangan dan satu lagi untuk pemanduan darat.

Ia direka dengan bentuk dan saiz yang sama seperti kereta biasa namun mempunyai kipas yang tersembunyi di dalam badan kenderaan. Bilah-bilah kipasnya hanya muncul dari peti simpanan di atas bumbung kereta ketika hendak diterbangkan.

Untuk pemanduan di darat, PAL-V Liberty pula dijana dengan enjin talaan 100 kuasa kuda berkelajuan tertinggi 160 kilometer sejam (kmj) dan mampu mencatat jarak perjalanan sejauh 1,315 kilometer (km).

Apabila pengguna memilih untuk terbang, ia akan berfungsi secara automatik.

Pemandu bagaimanapun perlu melakukan pemeriksaan prapenerbangan singkat sebelum boleh terbang ke udara sehingga ketinggian maksimum 3,500 meter (m).

Di udara, enjin kereta udara tersebut dijana dengan enjin talaan 200 kuasa kuda dan boleh terbang pada kelajuan maksimum 180kmj.

Penerbangan pada satu-satu masa pula boleh mencapai jarak sejauh 500km.

Dengan adanya kereta terbang, ia bakal menjadi satu solusi kepada masalah kesesakan lalu lintas selain mempercepatkan pergerakan dari satu lokasi ke satu lokasi yang lain.

Walaupun kereta terbang sering muncul dalam filem-filem fiksyen sains, ia dilihat bakal menjadi kenyataan berikutan beberapa syarikat telah mengambil inisiatif melakukan inovasi dalam penciptaannya.

Selain PAL-V, AeroMobil yang berpangkalan di Slovakia merupakan satu lagi syarikat yang sedang berusaha mencipta kereta terbang untuk kegunaan masa hadapan.

Dengan kerjasama pakar kejuruteraan Britain, Prodrive, sebuah prototaip kereta terbang yang boleh berfungsi di jalan raya dan udara telah dicipta.

Pada tahun 2015, akhbar Daily Mirror telah melaporkan, Ketua Pegawai Eksekutif AeroMobil, Jurac Vaculik meluahkan keyakinan bahawa kereta terbang akan tercipta pada waktu terdekat.

“Anda tidak perlu menggunakan lapangan terbang untuk memandu kereta ini. Saya yakin pengguna akan menggemari keberkesanan kenderaan ini,” katanya.

Kereta yang digelar AeroMobil itu mampu mencecah kelajuan sehingga 160kmj di jalan raya dan boleh terbang dengan kelajuan sehingga 199kmj.

Kenderaan yang mempunyai sayap boleh ‘dilipat’ itu hanya memerlukan jalan raya yang lengang sepanjang 228.6 meter untuk melancarkan penerbangan.

Menggunakan petrol sebagai bahan api, prototaip kereta terbang tersebut telah dibangunkan sejak tahun 1990-an.

Vaculik bagaimanapun mengakui, terdapat beberapa cabaran yang perlu dihadapi pihaknya sebelum kereta itu boleh dijual.

“Antara cabarannya ialah undang-undang melibatkan jalan raya dan ruang udara,” katanya.

Baru-baru ini, AeroMobil telah mempamerkan model terbaharunya di Pameran Motor Frankfurt, Jerman.

Aerodinamik

AeroMobil direka dengan bentuk air mata. Ia sungguh cantik dan sempurna dari segi aerodinamik.

Dalam perkembangan sama, sekumpulan pencipta dari Jepun pula sedang merancang untuk menghasilkan sebuah kereta terbang iaitu Sky Drive sempena Sukan Olimpik Tokyo yang akan berlangsung pada 2020.

Diusahakan oleh syarikat Cartivator yang berpangkalan di Tokyo, Jepun, kereta terbang yang bercirikan futuristik itu sedang dalam pembikinan.

“SkyDrive ialah kereta terbang yang direka semata-mata untuk mengangkut orang yang akan bertanggungjawab menyalakan api obor Sukan Olimpik,” kata Pengarah Perniagaan Cartivator, Ryutaro Mori.

Sekiranya berjaya dihasilkan kelak, SkyDrive akan mempunyai tiga roda dan empat buah kipas pemutar berasaskan teknologi dron.

SkyDrive mampu terbang pada ketinggian lebih 10m dengan kelajuan 100kmj dengan jarak sejauh 150km.

Kereta terbang itu bersaiz 2.9m panjang dan 1.3m lebar serta mempunyai satu tempat duduk. Cartivator menyatakan ia akan menjadi kereta terbang terkecil di dunia.

Cartivator telah ditubuhkan pada 2012 oleh Tsubasa Nakamura, 32, selepas dia memenangi hadiah pertama anugerah perniagaan, KoreaRata bagi reka bentuk kereta terbang.

Pada tahun 2014, konsep kereta terbang SkyDrive telah diuji menerusi binaan model berskala satu perlima daripada saiz kereta terbang sebenar.

Kemudian, pasukan itu telah melakukan ujian lanjutan menerusi model eksperimen dalam binaan skala yang lebih besar dan berat.

Hari ini, pelaksanaan projek itu telah disertai oleh 30 sukarelawan dari pelbagai latar belakang seperti industri automobil, penerbangan dan teknologi maklumat.

Mereka merancang untuk menghasilkan sebuah prototaip mirip SkyDrive sebenar yang boleh terbang sebelum musim panas tahun 2018.

Sekumpulan 
pakar percaya bahawa kereta terbang bakal menjadi pengangkutan peribadi dalam tempoh sedikit masa lagi.