Program itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada sukarelawan terhadap peranan yang boleh dimainkan dalam aspek kelestarian alam terutamanya berkaitan pengurusan ekosistem dan biodiversiti pesisiran pantai.

Program anjuran Sekretariat Sukarelawan Universiti Malaya (Sekrum) itu turut bekerjasama dengan Pertubuhan Sukarelawan Siswa Universiti Sultan Zainal Abidin (PERSIS UnisZa) dan Kelab Penyayang Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Menurut Yang Dipertua Sekrum, Muhammad Irsyad Zaini, Kembara Sukarelawan 2018 merupakan program tahunan Sekrum.

Kali ini mereka memilih Terengganu bagi melihat secara lebih dekat aspek berkaitan pengurusan pantai dan pemuliharaan spesies penyu.

“Pantai Rantau Abang merupakan salah sebuah lokasi utama pendaratan penyu belimbing di dunia, namun populasinya semakin menurun sejak tahun 1960-an.

“Usaha pemuliharaan yang diuruskan oleh Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (TUMEC) memberikan pengalaman baharu kepada kami dalam aspek pengurusan serta pentadbiran tugas-tugas sukarelawan yang berkaitan kelestarian alam,” katanya yang juga merupakan mahasiswa tahun ketiga Fakulti Bahasa dan Linguistik UM.

Tambahnya, para peserta turut mengambil peluang melakukan pembersihan sepanjang kira-kira dua kilometer Pantai Rantau Abang dan berjaya mengutip hampir 10 beg sampah.

Habitat

Kebanyakan sampah yang dikutip ialah plastik daripada bekas dan pembalut makanan serta minuman sama ada yang dibuang di pantai atau dihanyutkan oleh ombak laut.

Jelas Muhammad Irsyad, bahan buangan seperti itu sangat berbahaya kepada kehidupan marin terutamanya penyu kerana mengganggu habitat dan pemakanan mereka.

“Masalah tersebut bertambah rumit kepada penyu kerana haiwan ini perlu mengambil masa selama berdekad-dekad untuk menjadi dewasa dengan sihat sebelum mampu untuk membiak,” ulasnya.

Sementara itu, salah seorang sukarelawan program tersebut, Nur Syazwani Ezzaty Azman berkata, di TUMEC, para peserta berpeluang mendengar taklimat mengenai usaha dijalankan proses memulihara populasi penyu belimbing dan membersihkan kawasan kolam yang digunakan bagi menjaga anak-anak penyu sebelum dilepaskan ke laut.

“Walaupun anak-anak penyu yang dilepaskan itu bakal menempuhi cabaran yang sama dalam usaha mereka untuk membesar di laut yang luas, sekurang-kurangnya usaha penetasan dan penjagaan anak penyu di TUMEC ini berjaya meningkatkan kebarangkalian mereka untuk hidup,” kata mahasiswa tahun kedua Fakulti Kejuruteraan UM itu.

Kongsinya, antara halangan utama kepada kelangsungan hidup populasi penyu adalah disebabkan oleh kerakusan manusia yang mencuri telur penyu dari sarangnya untuk dijual dan keadaan persekitaran pantai yang tidak kondusif untuk mereka bertelur.

TUMEC merupakan salah sebuah daripada enam pusat pemuliharaan penyu di bawah Jabatan Perikanan Malaysia, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Pusat itu juga bertanggungjawab melabel penyu yang berjaya ditetaskan, menjaga anak penyu sehingga cukup dewasa untuk dilepaskan dan melakukan penyelidikan-penyelidikan berkaitan kelangsungan kehidupan penyu termasuklah daripada aspek perikanan serta pemanasan global.

“Sekrum berhasrat membantu usaha universiti dalam melahirkan graduan holistik yang mampu menggalas beban tanggungjawab memainkan peranan mereka kepada masyarakat.

“Program seperti ini akan membekalkan mereka dengan pengalaman praktikal dalam urus tadbir sesebuah organisasi sukarelawan yang melaksanakan tugas berimpak besar,” tutur Penolong Pendaftar Kanan Bahagian Hal Ehwal Pelajar UM yang juga merupakan penasihat Sekrum, S. Ramlee Shamsuddin.

Ujarnya, program seumpama itu juga akan membiasakan mahasiswa agar terus berusaha bersungguh-sungguh dalam menjayakan kerja sukarelawan, biar sekecil mana pun usaha itu dinilai.