Berfungsi seakan-akan studio mudah alih peribadi, TR-M11 memberikan kesan pencahayaan yang membolehkan penggunanya merakam potret diri yang cantik lagi menawan untuk dikongsi di laman media sosial.

Kamera mini ini dilengkapi dengan sembilan diod pancaran cahaya (LED), satu di bawah paparan hablur cecair (LCD) dan lapan di sekeliling lensa kamera. Kesemua LED berkenaan apabila digandingkan dengan teknologi pemprosesan imej Casio, memberikan kesan pencahayaan yang maksimum.

Satu lagi ciri unik kamera ini ialah bentuknya yang kelihatan seperti bekas mekap kompak. Untuk merakamkan gambar, pengguna hanya perlu membukanya, sama seperti yang biasa dilakukan ketika melihat cermin mekap.

Kamera ini mudah untuk dibawa ke mana-mana kerana saiznya yang kecil, hanya sebesar tapak tangan.

Ia boleh didapati dalam lima warna yang menarik iaitu putih, merah jambu, merah jambu vivid, hijau dan ungu.

TR-M11 mewarisi ciri-ciri berinovasi yang dibangunkan oleh Casio untuk barisan jenama TR dan kamera digitalnya yang lain.

Beberapa penambahbaikan telah dilakukan pada Make-Up Mode. Kini, pengguna boleh menambah kilauan pada anak mata, bibir dan mengesan cela serta jerawat agar tidak jelas kelihatan.

Selain daripada fungsi-fungsi berkenaan, Casio turut memperkenalkan dua tetapan terbaharu iaitu Tone yang boleh mengubah rona warna keseluruhan imej dan Mole Remover bagi membuang cela seperti tahi lalat.