Akibat daripada kesan pembakaran itu, beberapa negeri di negara ini telah mengalami jerebu dalam tempoh tujuh hari berikutan tiupan angin Monsun Barat Daya.

Bagaimanapun, kualiti udara di Sarawak terutamanya di Miri pada masa ini berada dalam paras berbahaya apabila setakat 22 Ogos lalu, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 233.

Keadaan itu pasti bertambah teruk jika kebakaran hutan di Kalimantan dan Sumatera, Indonesia gagal dikawal dengan baik serta aktiviti pembakaran terbuka tidak ditangani dengan segera.

Jerebu boleh membataskan jarak penglihatan akibat kewujudan zarah-zarah atau habuk-habuk terampai di udara.

Zarah-zarah terampai itu biasanya datang dari pelbagai sumber pencemaran udara terutama akibat pembakaran hutan seperti yang dialami negara ini.

Namun, sampai bila Malaysia terus dibelenggu dengan fenomena tidak sihat ini? Apakah rakyat sudah lali dengan fenomena yang saban tahun melanda Malaysia?

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Jailan Simon berkata, fenomena jerebu kebiasaannya berlaku disebabkan oleh angin Monsun Barat Daya dan negara ini akan menerima tempias sekiranya terdapat kebakaran hutan di Indonesia.

Tambah Jailan, jerebu yang dihadapi Malaysia akan menjadi lebih teruk sekiranya terdapat pembakaran tempatan di sesuatu kawasan tersebut.

“Sekiranya, terdapat pembakaran terbuka, ia akan menyumbang kepada terjadinya fenomena jerebu. Kita tidak seharusnya meletakkan sepenuhnya kesalahan terhadap negara Indonesia kerana aktiviti pembakaran dalam negara juga antara penyumbang fenomena ini.

“Aktiviti pembakaran di kawasan tanah gambut akan menyukarkan lagi sesi pemadaman api yang mana ia turut menambahkan lagi perbelanjaan kerajaan untuk aktiviti pemadaman. Justeru, saya menggesa rakyat bersikap lebih prihatin dan bertimbang rasa sebelum melakukan aktiviti pembakaran,” katanya ketika dihubungi Infiniti baru-baru ini.

Kaedah

Jailan berkata, pihaknya akan melakukan cerapan menerusi jarak ketampakan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) pula melakukan cerapan dengan menggunakan bacaan IPU semasa jerebu melanda negara ini.

“Kami akan melakukan cerapan menerusi jarak ketampakan manakala JAS melakukan cerapan menggunakan kaedah bacaan IPU bagi mengetahui kualiti udara.

“Untuk fenomena jerebu kali ini, banyak kawasan di negara ini masih mencatatkan bacaan di bawah 100. Namun, bagi negeri Sarawak terutamanya di Institut Latihan Perindustrian Miri, IPU adalah melebihi bacaan 200 (tahap tidak sihat),” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Pusat Sains Bumi dan Alam Sekitar, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Fredolin Tangang memberitahu, fenomena jerebu di Malaysia berlaku akibat daripada sumber pencemaran tempatan seperti kebakaran hutan dan tanah gambut serta pembebasan asap daripada kenderaan terutamanya di kawasan bandar.

Menurutnya, jerebu akan menjadi lebih teruk apabila berlaku kebakaran hutan serta tanah gambut seperti di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia semasa musim angin Monsun Barat Daya.

Katanya, fenomena itu juga bertambah teruk ketika berlakunya fenomena El Nino yang menyebabkan keadaan kemarau yang berlarutan di kawasan berkenaan. 

“El Nino ialah fenomena semula jadi yang berlaku sekali dalam tempoh tiga hingga lima tahun sebagai sebahagian keragaman antara tahunan iklim dunia disebabkan interaksi skala besar ayunan atmosfera.

“Seperti yang berlaku di Indonesia sekarang ini, dari bulan Jun hingga September, kadar hujan di kawasan tersebut adalah rendah dengan corak tiupan angin dari barat daya menjadikan kawasan ini lebih kering serta kemarau berlarutan.

“Jerebu (juga) adalah disebabkan kegiatan dan kaedah guna tanah serta aktiviti pertanian mahupun perladangan yang tidak mampan menyebabkan kebakaran hutan sukar dikawal dalam keadaan kemarau berlarutan di wilayah Sumatera dan Kalimantan,” katanya yang juga pakar klimatologi dan oseanografi.

Ujarnya, pemanasan global dan perubahan iklim turut menjadi antara faktor menyumbang kepada fenomena jerebu.

“Kajian terbaru yang dilakukan mendapati, jika dunia gagal mengekang peningkatan suhu purata dunia di bawah dua darjah Celsius berbanding suhu sebelum zaman perindustrian Eropah seperti yang disasarkan dalam perjanjian Paris, kawasan seperti Indonesia terutama Sumatera dan Kalimantan akan menjadi lebih kering serta mengalami kemarau yang teruk pada Jun hingga Oktober setiap tahun,” ujarnya.

Fredolin berpendapat, cara yang paling berkesan bagi mengelakkan fenomena jerebu berlaku adalah mengelak berlakunya kebakaran di kawasan tanah gambut.

Bicaranya, jika berlaku kebakaran, ia harus dipadamkan segera kerana sekiranya pembakaran itu merebak, ia sukar dipadamkan.

“Ini kerana kebakaran tanah gambut boleh meresap ke dalam (tanah) dan hanya boleh dipadamkan sekiranya hujan lebat berlaku. Dalam keadaan kemarau, ia mendatangkan masalah seperti yang berlaku di Sumatera, Kalimantan dan Miri.

“Masalah jerebu ini dijangka semakin kerap pada tahun-tahun mendatang seiring dengan keadaan perubahan iklim.

“Kaedah guna tanah yang mampan adalah pendekatan terbaik untuk mengelak masalah jerebu daripada berlaku pada masa akan datang,” katanya.