Disenaraikan sebagai salah sebuah sekolah yang terlibat di dalam Program Eco-Schools (ESP), SM St. Michael terlibat dalam program melestarikan alam sekitar.

Menurut Presiden Kelab ESP, SM St. Michael, Nojuel Jc Soluku, 16, ESP menjadi titik permulaan untuknya memberi sumbangan kepada alam sekitar.

“Saya mula menyertai kelab ini sejak berada di tingkatan satu apabila diperkenalkan oleh pelajar senior.

“ESP memberi pendedahan serta berpeluang bekerjasama dengan pelbagai sekolah di bawah ESP lantas membuatkan saya berkeyakinan untuk bercakap di hadapan orang ramai,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sekolah tersebut baru-baru ini.

Sekolah tersebut yang dianugerahkan Bendera Hijau (Green Flag) pada tahun 2015 sangat aktif dalam melakukan pelbagai aktiviti alam sekitar seperti menanam semula pokok, membersihkan kawasan dan mengikuti persidangan.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah membuat bebola lumpur, baja kompos, menanam pokok bakau di Sulaman Lake Replanting Site, Tuaran, Sabah, membersihkan serta merapikan kawasan dan menghasilkan inovasi daripada barang terpakai.

Terang Nojuel, pada tahun 2015 dan 2016, sekolah tersebut tersenarai dalam Malaysia Book Of Records apabila berjaya menghasilkan magnet peti sejuk dan penanda buku daripada bahan terbuang paling banyak.

Berprestij

Jelas anak kedua daripada empat beradik itu, pengalaman mengikuti pertukaran sekolah ESP di Filipina merupakan momen terindah kerana ia merupakan pertama kali berjauhan dengan keluarga apatah lagi keluar negara.

ESP merupakan program pembangunan pendidikan alam sekitar yang diterapkan di sekolah-sekolah.

Di negara ini, Tabung Alam Malaysia (WFF-Malaysia) merupakan Pengendali Kebangsaan bagi program tersebut bagi lebih 200 buah sekolah.

Dalam pada itu, anugerah Green Flag adalah pengiktirafan berprestij di peringkat antarabangsa untuk sekolah yang menjalankan amalan pendidikan dan pengurusan alam sekitar terbaik.

Sementara itu, Guru Koordinator ESP, SM Aerene Gabril, 43, berkata, pelajar didedahkan dengan inovasi dan mereka perlu mencari permasalahan serta menyelesaikannya.

“Antara inovasi menarik yang dihasilkan oleh pelajar ialah Go Green Pot iaitu pasu yang diperbuat daripada bekas telur dan kanji bagi menggantikan polibeg.

“Inovasi pasu tersebut telah mendapat anugerah khas dan pingat emas di Romania pada tahun 2016,” tuturnya yang berpengalaman selama 21 tahun sebagai guru bahasa Inggeris.

Selain itu, pelajar juga menghasilkan palet makanan ayam daripada bahan organik dan sabun petai yang mempunyai khasiat kesihatan.

Beliau yang berasal dari Penampang, Sabah itu, memberitahu, aktiviti kelab ESP kebiasaannya dijalankan selepas tamat sesi persekolahan ataupun pada hujung minggu.

Aktif

SM St. Michael merupakan Sekolah Kluster Kecemerlangan Alam Sekitar.

Kelab tersebut aktif menjalankan program tanggungjawab sosial korporat seperti Enviro Walk iaitu berjalan sambil mengutip sampah di luar kawasan sekolah dan memasang paip air di kawasan kampung yang tidak mempunyai bekalan air paip dirawat.

Sebuah lagi sekolah yang dianugerahkan Green Flag ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Lok Yuk Inanam, Kota Kinabalu, Sabah.

Guru Koordinator, SK Lok Yuk Inanam, Siti Yuslaini Mohd. Samsuri, 43, berkata, semua pelajar sekolah itu yang terdiri daripada 348 orang pelajar terlibat dalam ESP.

“Sekolah ini turut melakukan pelbagai aktiviti berkaitan alam sekitar seperti penanaman hidroponik, membuat landskap taman daripada bahan terbuang, membela ikan dan kura-kura.

“Kami juga menjadikan Klinik Kesihatan Inanam sebagai klinik angkat dengan melakukan aktiviti gotong-royong membersihkan dan mencantikkan kawasan sekitarnya,” ulasnya yang berasal dari Pontian, Johor.

Ujar guru Pendidikan Islam itu, di sekolah tersebut mempunyai lapan buah taman antaranya taman herba, buah dan bunga.

Di samping itu, setiap bilik darjah mempunyai tiga sudut penting iaitu hasil kraf tangan pelajar, taman mini dan info alam sekitar.

Bukan hanya persekitaran sekolah yang indah tetapi tandasnya juga sangat bersih dan cantik sehingga SK Lok Yuk Inanam mendapat tempat kedua pertandingan Tandas Bersih bagi kategori Sekolah Rendah Pinggir Bandar pada tahun 2017 serta mendapat lima bintang bagi Pengauditan dan Star Rating Kebersihan Tandas Awam pada tahun 2017.

SK Lok Yuk Inanam turut mengadakan lawatan integrasi dengan sekolah ESP di luar negara seperti Australia, Indonesia dan Singapura.

“Lawatan sebegini memberi input dan idea kepada kami untuk meningkatkan kecemerlangan sekolah dan ESP.

Disiplin berganjaran

“Sebagai contoh, kami melaksanakan sistem disiplin berganjaran seperti dilakukan oleh sebuah sekolah di Australia.

“Disiplin berganjaran ini memberi merit bagi setiap kelakuan baik pelajar dalam pelbagai aspek dan hadiah akan diberikan berdasarkan jumlah kebaikan yang berjaya dikumpul,” jelasnya yang bertugas selama 16 tahun di SK Lok Yuk Inanam.

Seorang pelajar SK Lok Yuk Inanam, Daphne Jacelle Jackson, 12, berkata, ESP memberinya banyak maklumat mengenai alam sekitar dan berasa sangat menghargainya.

Akui Daphne, ESP banyak merubah pandangannya terhadap alam sekitar dan menyedari betapa pentingnya alam sekitar kepada kehidupan.

“Aktiviti yang paling menyeronokkan ialah ketika mengikuti projek kitar semula kerana barangan terpakai itu boleh dijadikan pelbagai produk menarik.

“Saya juga seronok berkongsi maklumat alam sekitar dengan orang lain dan dapat berjumpa ramai kawan yang terlibat dengan ESP,” ceritanya yang bercita-cita menjadi pramugari.