Hutan juga sering kali diumpamakan sebagai paru-paru bumi kerana kepentingannya dalam menyerap pencemaran gas karbon dioksida selain membekalkan oksigen kepada semua spesies kehidupan melalui kitaran proses fotosintesis.

Selain itu, hutan juga membekalkan sumber kayu balak yang bermutu tinggi, menjadi span semula jadi yang berfungsi menyimpan air serta menyerap impak hujan, bencana alam, sumber biodiversiti dan ekologi.

Namun, disebabkan oleh kerakusan manusia yang bersikap pentingkan diri sendiri, mereka sanggup menggadaikan harta negara untuk mengaut keuntungan semata-mata apabila telah mengadakan pelbagai jenis aktiviti penyahutanan seperti pembalakan dan pembukaan kawasan baharu secara berleluasa.

Penyahutanan atau deforestasi menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah aktiviti penebangan hutan di sesuatu kawasan di mana kawasan hutan tersebut telah ditukarkan kepada kawasan bukan hutan.

Kawasan hutan tersebut juga akan dimusnahkan dengan pelbagai cara dan tujuan mengikut kehendak peneroka.

Menurut Pensyarah Kanan di Jabatan Pengurusan Alam Sekitar, Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia, Dr. Mohd. Yusoff Ishak, aktiviti deforestasi berlaku apabila kerajaan negeri membenarkan kegiatan pembalakan dilaksanakan untuk mendapatkan dana dalam masa yang singkat.

Ujarnya, kerajaan negeri harus memikirkan strategi lain dan mempelbagaikan pendekatan dalam menjana pendapatan dan bukan sekadar berharap kepada aktiviti pembalakan mahupun pembukaan tanah yang hanya menguntungkan pihak tertentu. Lebih memburukkan lagi, aktiviti tersebut turut memberi impak jangka panjang kepada orang lain.

“Pihak kerajaan dan pembalak hanya akan mendapat keuntungan jangka pendek namun mereka harus tahu dan sedar mengenai impak jangka masa panjang kepada ekosistem persekitaran bahkan penduduk setempat yang pastinya terkesan dengan fenomena ini.

“Orang kampung terutamanya telah lama mengeluh kerana aduan terhadap kerajaan negeri hanya dipandang sebelah mata membuatkan orang kampung beralih kepada media sosial untuk memuat naik gambar dan aduan sebagai bukti kerakusan pihak terlibat,” katanya ketika dihubungi Infiniti baru-baru ini.

Tambahnya, tiada kebaikan yang diperoleh melalui kegiatan ini bahkan hanya memberi kesan buruk kepada bumi dan manusia.

“Peneroka dan syarikat yang diberi lesen akan mengaut keuntungan secara maksimum melalui kegiatan ini dan mereka akan mengoptimumkan penerokaan terhadap hasil hutan apabila menyedari tiada pengawasan yang ketat daripada pihak berkuasa.

“Mereka juga akan mengambil kesempatan sekiranya tiada pemantauan ketat pihak berkuasa dengan menebang pokok melebihi had dan kawasan yang diwartakan dengan alasan mereka tidak tahu had kawasan mereka walhal mereka arif mengenai keluasan had tanah mereka,” ujarnya.

Kesan

Bicaranya, kesan daripada kegiatan deforestasi dapat dilihat jelas di hutan Tanah Tinggi Lojing, Kelantan; hutan Tanah Tinggi Cameron Highlands, Pahang serta air terjun di hutan Bukit Hulu Terengganu apabila hutan-hutan di kawasan ini digondol bagi pelbagai tujuan seperti pertanian, pembangunan dan perlombongan.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya, Dr. Sarah Abdul Razak berkata, masalah deforestasi adalah sangat penting untuk diketengahkan di mata dunia kerana hutan hujan tropika di Malaysia sangat unik selain menyimpan sejumlah besar karbon dioksida untuk keseimbangan ekosistem.

Jelasnya, apabila hutan dimusnahkan, karbon dioksida akan dilepaskan ke atmosfera serta mempercepatkan pemanasan global.

“Deforestasi menyumbang dalam anggaran 10 peratus jumlah pengeluaran pelepasan haba global iaitu hampir sama dengan pengeluaran tahunan daripada 600 juta kereta.

“Dengan kawasan tanah hutan yang luas, kos buruh yang agak rendah dan pokok hutan yang tumbuh sepanjang tahun serta tidak bermusim, hutan hujan tropika merupakan kawasan yang disukai untuk pengeluaran komoditi industri berskala besar.

“Penghapusan kegiatan penebangan hutan tropika yang dipasarkan oleh komoditi boleh memainkan peranan yang besar dalam mengurangkan perubahan iklim,” ujarnya.

Tambah Sarah, terdapat maklumat mengenai pemusnahan hutan secara cepat di seluruh dunia.

Bagaimanapun katanya, tanpa kewujudan undang-undang atau peraturan bagi pemulihan hutan yang dimusnahkan, syarikat-syarikat balak dan pihak yang berkepentingan tidak akan membetulkan kemusnahan tersebut.

“Sehubungan itu, pihak berkenaan perlu mewujudkan satu platform untuk memberi penjelasan kepada masyarakat yang sering berhadapan dengan masalah tersebut,” ujarnya.