Ia menjadi isu penting kepada keselamatan pengguna malah pengeluar juga kerugian besar ekoran tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab menjual barangan palsu atau tidak berdaftar.

Rentetan daripada isu tersebut, Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) yang mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam teknologi pengesahan dokumen telah memperkembangkan fokus mereka untuk menangani masalah penjualan dan pengedaran produk palsu.

Usaha PNMB itu diterajui oleh anak syarikatnya, PNMB InnoVentures Sdn. Bhd., yang mempunyai fokus dalam pembangunan teknologi pengesahan dan penjejakan produk dalam rantai bekalan.

PNMB InnoVentures telah membangunkan aplikasi identem yang boleh digunakan untuk mengesan ketulenan produk dengan hanya mengimbas kod bersiri unik pada kotak atau produk tersebut.

Menurut Pegawai Eksekutif PNMB InnoVentures Sdn. Bhd., Mohd. Hedzri P. Jaafar, pihaknya mengambil masa kira-kira setahun untuk membangunkan identem dan dilancarkan pada hujung tahun lalu.

“Teknologi ini sangat penting untuk membanteras penjualan produk tiruan di pasaran terutamanya bagi produk bernilai premium seperti produk kecantikan, kesihatan atau fesyen.

“Identem turut memberi manfaat kepada pemilik jenama atau pengeluar yang tidak terhad kepada pencegahan produk tiruan sahaja,” katanya ketika ditemui Infiniti di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Penggunaan fungsi penjejakan dan pengesanan aplikasi identem dapat membantu pengeluar untuk meneliti dan memahami pergerakan produk sepanjang rantai pembekalan secara lebih telus untuk pengurusan aktiviti pengeluaran serta pengedaran yang lebih cekap.

Jelas Mohd. Hedzri, apabila kod unik tersebut diimbas dengan menggunakan aplikasi identem ia akan memaparkan maklumat berkaitan produk seperti tempat pengeluaran, tarikh luput, status pendaftaran atau pensijilan halal serta cara penggunaan produk.

Terangnya lagi, selain memaparkan maklumat produk, identem juga membolehkan pengguna untuk memberikan maklum balas mengenai produk tersebut dan berkomunikasi dengan pemilik jenama.

Pemantauan

Oleh itu, pengeluar kini dapat memahami trend pembelian oleh pengguna dengan lebih mendalam dan menambah baik penghasilan produk tersebut pada masa akan datang.

“Aplikasi pintar tersebut tidak hanya memudahkan pengguna untuk mengenal pasti ketulenan produk malah turut membantu pengusaha mengetahui pergerakan produk seperti lokasi terkini ia berada.

“Pengeluar juga boleh mengetahui produk tersebut dijual di mana dan bilangan yang sudah terjual,” tutur anak kelahiran Tawau, Sabah itu.

Pengeluar cuma perlu membuat sedikit pelaburan untuk menggunakan aplikasi identem. Pengusaha akan mendapat nombor siri unik yang akan digunakan untuk menanda produk mereka sama ada menggunakan kaedah cetakan terus atau pelekat label.

Pihak PNMB InnoVentures menawarkan teknologi tersebut pada kos yang berpatutan dan manfaat-manfaat yang bakal dinikmati oleh pemilik jenama.

Begitupun, imbasan menggunakan aplikasi tersebut hanya boleh dilakukan pada produk yang dicetak menggunakan kod unik yang dijana oleh aplikasi identem.

Identem juga dapat membantu dalam aktiviti pemantauan serta penguatkuasaan oleh pihak berkuasa terutamanya untuk produk-produk terkawal seperti ubat-ubatan, peranti perubatan dan produk tembakau.

Menariknya, aplikasi tersebut bukan hanya dikhaskan untuk pengesahan dan penjejakan produk sahaja tetapi ia boleh digunakan secara meluas seperti pengesahan dokumen, pemantauan sumber asli terkawal serta hasil perladangan.

Aplikasi identem boleh dimuat turun oleh pengguna Android di Google Play Store, manakala di Apple App Store untuk pengguna iOS secara percuma.

Sementara itu, Ketua Bahagian Kreatif dan Reka Bentuk PNMB, M. Norshahrul Mat Nordin berkata, pihaknya yang bertanggungjawab untuk membuat rekaan dan cetakan bercirikan keselamatan pada bungkusan barangan itu.

Satu sistem aplikasi identem telah dimuatkan dalam rekaan tersebut dan berfungsi untuk membuat imbasan dan memaparkan maklumat ketulenan produk.

“Rekaan keselamatan pada kotak atau pembungkusan memerlukan ketelitian dan tugas yang rumit kerana jika tersilap akan menjejaskan maklumat yang bakal dipaparkan. Kami perlu menghasilkan rekaan keselamatan yang berlainan untuk setiap pelanggan mengikut cita rasa mereka,” ujarnya.

Tambahnya, setiap rekaan itu memerlukan masa selama tiga hari untuk disiapkan.

Terang M. Norshahrul, tidak semua syarikat boleh membuat cetakan seumpama itu kerana ia memerlukan Sijil Percetakan Keselamatan yang diperakui oleh kerajaan Malaysia dan PNMB merupakan salah satu pemegang sijil tersebut.

“Selain aplikasi tersebut, kami turut menghasilkan filem keselamatan untuk mengesan ketulenan pada kotak pembungkusan secara manual.

“Pengguna hanya perlu meletakkan filem keselamatan tersebut pada kotak dan rekaan dengan ciri-ciri unik serta sukar ditiru itu akan kelihatan untuk mengesahkan ia tulen,” katanya.