Bagaimanapun, variasi Honda Jazz Hybrid Sport mungkin sedikit asing bagi kebanyakan pengguna yang biasa memandu kenderaan jenis petrol.

Bagaimana pun, persepsi negatif terhadap keupayaan jentera hibrid ini terutamanya pandangan yang beranggapan enjin bukan petrol ini tidak bertenaga lenyap sebaik sesiapa sahaja mula memandunya.

Ini dibuktikan menerusi pengalaman penulis sendiri yang diberi peluang memandu Honda Jazz Hybrid Sport selama empat hari bagi perjalanan sejauh kira-kira 680 kilometer dari ibu kota ke Batu Pahat, Johor baru-baru ini.

Honda Jazz Hybrid Sport menggunakan enjin 1.5L DOHC i-VTEC dengan transmisi 7-kelajuan i-DCD yang dipadukan motor berkuasa tinggi (HPM) dan mampu bergerak dalam mod kenderaan elektrik (EV). 

honda
Enjin 1.5L DOHC i-VTEC dengan transmisi 7-kelajuan i-DCD yang dipadukan motor berkuasa tinggi (HPM). 

Seperkara lagi, sistem hibrid pada model ini juga berbeza berbanding model sebelumnya yang menggunakan teknologi Bantuan Motor Bersepadu (Integrated Motor Assist-IMA).

Dalam bahasa mudah, ia merupakan kenderaan yang seronok dipandu kerana gabungan kuasa konvensional dan motor elektrik memberikan daya pecutan yang tidak mengecewakan. Lebih istimewa, enjin hibrid menawarkan penjimatan bahan api.

Ini dapat dirasai saat menghidupkan kenderaan atau berhenti di lampu isyarat, mod enjin motor elektrik ini menyebabkan kenderaan lebih senyap dan seolah-olah seperti enjin tidak dihidupkan.

Bersama tiga rakan lelaki, pemanduan kami ke Batu Pahat menggunakan 40 peratus laluan lebuh raya manakala 60 peratus jalan Persekutuan menyusuri dari Pagoh di Muar hingga ke bandar Batu Pahat. Dalam perjalanan pulang, kami turut singgah di bandar Melaka untuk makan angin. 

Jika menyentuh soal keselesaan, dua rakan bertubuh besar dengan berat masing-masing lebih 90 kilogram yang duduk di kerusi penumpang belakang langsung tidak mengeluh sepanjang perjalanan.

Honda Jazz Hybrid
Terdapat rasa janggal ketika mengendalikan Honda Jazz Hybrid berikutan pengendalian gearnya berbeza dengan kaedah gear automatik biasa.

 

Satu lagi ciri moden pada kereta ini adalah ciri Shift by Wire Gear untuk penukaran gear agar lebih lancar dan sporty. Bagi yang kali pertama memandu kereta ini, memang ada rasa janggal kerana pengendaliannya berbeza dengan kaedah gear automatik biasa atau berbentuk gated.

Paparan meter dengan info 3D yang memaparkan pelbagai maklumat seperti aliran tenaga, penjimatan bahan api, corak pemanduan dan paparan mod Eco juga nampak segar. Satu ciri tambahan pada kenderaan ini berbanding Honda Jazz petrol pula ialah mod Kawalan Kelajuan (Cruise Control) yang biasanya hanya dimiliki kenderaan enjin lebih besar. Mod Kawalan Kelajuan amat membantu terutama bagi pemanduan jauh di lebuh raya. 

Mengikut pada manual kenderaan ini pula, Honda Jazz Hybrid Sport menawarkan tujahan maksimum hasil gabungan enjin dan motor elektrik yang mencecah 137PS iaitu bersamaan dengan enjin bersesaran 1.8L.

Ia ditawarkan pada harga RM87,500 termasuk insurans serta boleh didapati dalam warna perak, kelabu dan putih mutiara.

Jaminan untuk Honda Jazz Hybrid Sport adalah selama lima tahun dengan perbatuan tanpa had selain jaminan lapan tahun untuk bateri Lithium-Ion (hibrid).

Sebagai perbandingan, Honda Jazz Hybrid Sport mampu menawarkan penjimatan bahan api yang maksimum dengan perkiraan boleh dipandu sehingga 25 kilometer (km ) bagi setiap liter petrol manakala Honda Jazz 1.5L petrol pula 17.2km setiap liter.

Berdasarkan ciri-ciri yang disebutkan tadi, maka tidak hairankan mengapa Honda Jazz Hybrid Sport diumumkan sebagai ‘Kereta Terbaik Tahun 2017’ pada majlis Anugerah Kereta Terbaik Tahunan Malaysia 2017. Seperkara lagi, Honda Jazz Hybrid Sport ini juga tidak wajar dilabel sebagai kereta untuk perempuan, sebaliknya sesuai untuk semua jenis pemandu. - K! ONLINE