Menyedari fenomena itu, Fujifilm memperkenalkan kamera X-A5 yang memberikan pengalaman menyeronokkan, versatil dan bermutu tinggi.

Kamera itu merupakan lanjutan daripada model X-A3 iaitu kamera digital tanpa cermin yang paling kecil dan ringan dalam rangkaian X Series.

Menggabungkan sensor 24.2 mega piksel baharu dan teknologi penghasilan semula warna tersendiri X Series, kamera X-A5 menawarkan pelbagai ciri baharu termasuk kanta zoom, rakaman filem 4K, skrin sentuh serta teknologi gandingan terkini bluetooth untuk pemindahan imej serta-merta.

Menampilkan reka bentuk retro dengan ciri-ciri kontemporari, kamera ini pasti menjadi teman sejati generasi swafoto.

Siri X-A5 terbaharu Fujifilm memenuhi keperluan peminat fotografi dan jurugambar profesional yang mendambakan kamera canggih, mudah dikendalikan, ringan, serba guna, padat dan boleh merakam imej bermutu tinggi.

Kamera itu lebih sempurna daripada telefon pintar kerana dilengkapi dengan pelbagai turas kreatif dan sambungan tanpa wayar untuk membolehkan pengguna mengambil, menambah baik serta memuat naik gambar mereka ke laman media sosial dalam tempoh beberapa saat.

Ia turut digabungkan dengan kanta baharu boleh lipat FUJINON XC15-45mm F3.5-5.6 OIS PZ dan hanya seberat 496 gram, sekali gus menjadikannya kombinasi kamera kanta zoom paling ringan dalam X Series.

Kamera itu mempunyai sensor berkuasa 24.2MP APS-C yang dilengkapi dengan sistem autofokus pengesanan fasa dan enjin pemprosesan imej serba baharu dengan kelajuan pemprosesan 1.5 kali lebih pantas daripada model terdahulu.

Digabungkan dengan kualiti imej luar biasa terkenal Fujifilm dan teknologi penghasilan semula warna, X-A5 direka cipta untuk gambar potret serba canggih serta sangat sesuai untuk menghasilkan swafoto yang sempurna.

Kamera X-A5 dilengkapi dengan monitor LCD belakang besar yang boleh berputar 180 darjah.

Apabila panel diputarkan 180 darjah, tombol arahan belakang bertukar secara automatik kepada fungsi zoom dan pelepasan pengatup untuk memastikan swafoto dapat diambil tanpa sebarang kesilapan.

Pilihan mod

Putaran 180 darjah monitor LCD belakang juga mengaktifkan fungsi Mata AF secara automatik untuk menghasilkan potret bermutu tinggi dengan fokus tajam pada mata subjek.

Mod penambahbaikan potret yang sememangnya popular membolehkan pengguna memaparkan warna kulit lebih cantik.

X-A5 menawarkan 11 pilihan mod simulasi filem unik Fujifilm bagi memudahkan usaha menambah baik karya seni dengan penghasilan semula iras warna mirip filem.

Selain daripada itu, X-A5 menyediakan fungsi video definisi tinggi berkelajuan tinggi yang membolehkan pengguna merakamkan video pada kelajuan empat kali ganda bagi paparan gerak perlahan.

Mod berbilang fokus menyusun imej berkualiti 4K secara automatik sambil mengubah kedalaman penetapan medan yang diperlukan dengan pintar.

Fungsi Ledakan 4K yang merakamkan 15 gambar sesaat dalam kualiti imej 4K turut disediakan.

Keupayaan video 4K baharu dan fungsi yang sedia ada membolehkan tahap kreativiti lebih tinggi dipersembahkan dalam karya seni.

Teknologi tenaga rendah bluetooth diterapkan ke dalam X-A5 untuk pemindahan gambar pegun, video pantas, mudah dan automatik kepada telefon pintar serta tablet yang digandingkan dengan aplikasi peranti pintar FUJIFILM Camera Remote.

Pengguna boleh merakamkan sehingga 450 gambar setiap kali bateri dicas, sekali gus menjadikan kamera ini sesuai untuk dibawa melancong dan mengambil gambar dalam perjalanan sepanjang hari.

Fujifilm X-A5 disediakan dalam tiga warna iaitu perak, coklat dan merah jambu

Setiap satu unit kamera tersebut dijual pada harga RM3,288 yang dilengkapi FUJINON XC15-45mm F3.5-5.6 OIS PZ.