“Fitrah menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mengenal pasti aktiviti jenayah sebagai langkah awal sebelum berlakunya sebarang aktiviti salah itu.

“Ia berasaskan teknologi pengecaman manusia Deep Learning, penghasilan strategi antijenayah (Game Theory) dan pengecaman aktiviti jenayah (Bayesian Network).

“Ketiga-tiga gabungan asas teknologi tersebut digunakan bagi meramal atau mengesan strategi penjenayah,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Deep Learning membantu membezakan manusia dengan objek lain seperti kereta atau haiwan.

Game Theory pula digunakan bagi mengesan kemungkinan strategi pelaku jenayah.

Selain itu, ia juga dapat memberi amaran kepada penjenayah bagi mengganggu atau menghalang tindakan pelaku daripada meneruskan kegiatan jenayah dengan memberi isyarat bahawa mereka sedang diperhatikan.

Teknologi Bayesian Network pula digunakan untuk membuat keputusan sama ada sesuatu aktiviti itu merupakan jenayah atau tidak.

Kongsi Azree Shahrel, Fitrah dibangunkan kerana kekurangan teknologi dan produk tempatan yang dapat memenuhi kehendak serta keperluan pasaran dalam negara.

Setakat ini, kebanyakan teknologi kecerdasan berteknologi tinggi adalah dari Amerika Syarikat dan China.

Justeru, pembangunan Fitrah dilihat dapat mengurangkan isu keselamatan dalam negara selain dapat mengurangkan pengaliran wang ke luar negara.

Menerusi teknologi berimpak tinggi, aktiviti jenayah dapat dicegah bagi membantu mengurangkan masalah sosial negara.

Penyelidikan sistem Fitrah bermula pada Mei 2016 dan ia mengambil masa selama hampir tiga tahun untuk dihasilkan.

Bagi mengesan strategi penjenayah, Azree Shahrel perlu ‘mengajar’ sistem tersebut sehingga lebih 1,000 imej situasi jenayah kecurian yang berbeza-beza.

Menariknya, Fitrah yang dikuasakan oleh AI itu boleh mempelajari pelbagai tingkah laku manusia yang berunsur jenayah dan membuat pengecaman kegiatan jenayah sehingga ketepatan 98 peratus.

Selain itu, ia berupaya membuat pengecaman pelbagai situasi dan mampu mengenal pasti sama ada sesuatu kejadian itu jenayah atau tidak pada waktu sebenar.

Amaran

Sistem Fitrah itu dijayakan dengan kolaborasi bersama syarikat pembangun perumahan, komuniti dan bandar pintar, Icon Future Home Sdn. Bhd.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Icon Future Home Sdn. Bhd., Najman Kamaruddin, Fitrah berbeza daripada sistem pemantauan keselamatan sedia ada di pasaran.

Selain memantau, Fitrah juga mampu bertindak serta- merta untuk menghalang aktiviti jenayah daripada berlaku.

“Fitrah memantau dengan menggunakan televisyen litar tertutup (CCTV)yang dihubungkan terus kepada server sistem.

“Jika sebarang aktiviti jenayah dikesan, penggera akan dibunyikan sebagai amaran kepada penjenayah untuk berhenti melakukan kegiatan tersebut.

“Uniknya, satu mesej bergambar dengan runut amaran akan dihantar serta- merta kepada pemilik premis untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya.

Mesej bergambar itu boleh dihantar kepada lebih 200 orang menerusi aplikasi WhatsApp dan Telegram.

Tindakan segera selanjutnya boleh diambil oleh pemilik premis, pengawal keselamatan dan juga rukun tetangga.

Teknologi tersebut disasarkan kepada pengguna yang memerlukan sistem pemantauan berterusan seperti pengusaha domestik, peruncit serta peniaga kecil dan sederhana.

Fitrah kini sudah sedia untuk dikomersialkan dan telah digunakan di Masjid Bandar Tun Hussein Onn, Cheras.

Nazir Masjid Bandar Tun Hussein Onn, Prof. Madya Dr. Mohd. Zaki Hamzah berkata, setelah menggunakan sistem Fitrah, keselamatan sekitar kawasan masjid menjadi lebih terpelihara berbanding sebelumnya.

“Alhamdulillah belum ada lagi sebarang kegiatan jenayah berlaku di kawasan ini.

“Dengan adanya Fitrah ini, kami dapat menjadikan aspek keselamatan pada tahap terbaik tanpa perlu bergantung kepada pihak pengawal keselamatan,” ujarnya.