Sebenarnya, sisa terbuang itu boleh ditukar menjadi sesuatu yang berguna dan mempunyai nilai ekonomi seperti sisa pertanian atau biomas.

Malaysia mempunyai sejumlah besar biomas daripada sektor pertanian yang belum dimanfaatkan sepenuhnya.

Biomas sisa pertanian terdiri daripada sekam padi, batang kelapa, batang kelapa sawit dan pelepah kelapa sawit boleh menjadi sumber alternatif kayu pada masa hadapan.

Biomas ini berpotensi untuk dijadikan produk biokomposit seperti papan lapis, gentian, serpai selain produk perabot.

Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Datuk Dr. Jalaluddin Harun berkata, potensi industri gentian dan biokomposit dalam sektor perkayuan adalah tinggi.

Menurutnya, sehubungan dengan itu, MTIB telah menubuhkan Pusat Biokomposit dan Gentian (FIDEC) pada tahun 2008 sebagai satu pusat untuk membangunkan produk gentian dan biokomposit sehingga ke pengkomersialan industri.

“Di samping itu, pusat ini juga menyediakan kemudahan pemprosesan dan perkhidmatan pengujian kepada industri dan universiti yang berkaitan dengan produk kayu dan biokomposit.

“Antara peranan FIDEC adalah menjalankan penyelidikan dan menyelaras pembangunan industri gentian dan biokomposit di Malaysia,” katanya.

Tambahnya, selaras dengan itu FIDEC telah mengambil inisiatif dengan menyediakan beberapa kemudahan pemprosesan dan perkhidmatan pengujian yang diperlukan oleh industri kayu-kayan dan biokomposit.

Pada tahun 2013, satu lagi bangunan dengan lima makmal yang dikenali sebagai FIDEC 2 telah dibangunkan oleh MTIB bagi menyediakan perkhidmatan pengujian mekanikal, polimer, analitikal, kimia dan formaldehid.

Fasiliti baharu

Seterusnya MTIB mendapati terdapat keperluan untuk memperluaskan skop bagi pembangunan produk biokomposit yang berteknologi tinggi atau Advanced Green Composite serta pengujian fizikal dan mekanikal perabot.

“Sehubungan dengan itu, MTIB telah memohon dengan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) untuk membangunkan satu lagi kemudahan dan fasiliti baharu yang dikenali sebagai FIDEC 3.

“Di FIDEC 3, kami menyediakan kemudahan pemprosesan gentian dan perkhidmatan pengujian perabot dengan piawaian antarabangsa. Dengan kemudahan yang tersedia ini, pihak industri boleh membangunkan produk biokomposit yang berkualiti tinggi dan menjadi hab untuk aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkormesialan,” jelas Jalaluddin.

Jalaludin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pusat Biokomposit dan Gentian (FIDEC 3) di Banting, Selangor baru-baru ini.

Turut hadir merasmikan majlis itu Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong.

Pusat sehenti

Dalam pada itu, Jalaluddin berkata, secara keseluruhannya, FIDEC merupakan satu pusat sehenti untuk aktiviti pembangunan dan penyelidikan produk biokomposit berasaskan sisa pertanian semula jadi ke arah menghasilkan produk yang boleh dikormesialkan.

Menurutnya, melalui inovasi tersebut ia akan menggalakkan penggunaan bahan mentah alternatif untuk penghasilan produk kayu dan biokomposit yang mempunyai nilai tambah tinggi.

“MTIB mengalu-alukan pihak perindustrian perkayuan, biokomposit, perabot, pelajar, pereka dari dalam dan luar negara serta mana-mana institusi atau agensi awam dan swasta yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan dan kemudahan di FIDEC.

“Dengan tertubuhnya bangunan FIDEC 3 ini, ia meneguhkan peranan MTIB dalam membangunkan industri perkayuan,” katanya.

Produk biokomposit yang terdiri daripada papan lapis, serpai, gentian dan wood plastic composit (WPC) telah menyumbang sehingga 29 peratus daripada jumlah eksport kayu-kayan yang bernilai RM22.11 bilion pada tahun 2016.

Industri biokomposit telah berkembang menjadi satu sektor yang bernilai tinggi.

Pada tahun 2016, nilai eksport biokomposit berjumlah RM6.3 bilion membabitkan negara seperti Jepun, Amerika Syarikat, Eropah dan Singapura.

Prestasi eksport biokomposit yang merangkumi papan lapis, serpai dan gentian pada tahun 2017 untuk tempoh masa Januari hingga September amat memberangsangkan iaitu sebanyak RM4.57 bilion berbanding RM4.28 bilion untuk tempoh sama tahun lepas.

Potensi

Bekalan kayu semasa di negara ini adalah tidak mencukupi dan Malaysia cuba menggunakan bahan mentah alternatif lain dalam pengeluaran produk biokomposit bernilai tambah tinggi.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah FIDEC, Dr. Loh Yueh Feng berkata, di Malaysia, terdapat sejumlah besar bahan mentah biomas yang boleh dihasilkan daripada sisa pertanian.

Menurutnya, sebagai contoh untuk tanaman kelapa sawit ia boleh membekalkan 11 juta batang kelapa sawit, 27 juta tan pelepah dan 8.86 juta tan tandan kosong bagi kawasan penanaman semula seluas 84,000 hektar yang direkodkan pada tahun 2016.

“Semua bahan mentah ini mempunyai potensi yang amat besar untuk menghasilkan produk biokomposit dan kayu untuk pelbagai kegunaan terutamanya perabot.

“Pada tahun 2016, dicatatkan keluasan kawasan penanaman kelapa sawit ialah 5.7 juta hektar dan berjuta-juta meter padu biomas boleh dihasilkan daripadanya. Tempoh penanaman bagi kelapa sawit ialah selama 25 hingga 30 tahun dan sebelum ditebang untuk penanaman semula,” katanya.

FIDEC yang ditubuhkan oleh MTIB menjadi pusat sehenti untuk aktiviti pembangunan dan penyelidikan produk biokomposit berasaskan sisa pertanian semua jadi.