Titisan embun di hujung dedaun pohon mengindahkan lagi panorama semula jadi Taman Rimba Komuniti Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor yang terletak berhampiran Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE).

Taman Rimba berkeluasan 324 hektar ini memiliki trek laluan pendakian yang sangat bersih tanpa satu sampah pun kelihatan di sepanjang perjalanan.

Popular dalam kalangan pendaki dan pemain basikal lasak di sekitar Kuala Lumpur, kawasan hijau ini diselenggara sendiri oleh komuniti sekitar Kota Damansara.

Ia bagi memastikan kelangsungan ekologi di bandar masih terjaga dan tidak dimusnahkan secara total dek pembangunan rakus.

Mengambil inisiatif menyokong usaha memelihara alam sekitar, Compunation Technology Sdn. Bhd., syarikat pengedar tunggal telefon pintar tahan lasak, RugGear dengan kerjasama jenama biskut tenaga, Moolabar telah menganjurkan program Media Get Together.

Program melibatkan 40 orang terdiri daripada petugas media, penulis blog dan rakan vendor ini bertujuan memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan pengamal media melalui aktiviti mendaki.

Menariknya, pendakian yang bermatlamat hingga ke puncak Denai Tiga Puteri itu turut diisi dengan demonstrasi menguji ketahanan tiga produk telefon pintar tahan lasak RugGear.

Eksperimen

Pengurus M2B Compunation Technology Sdn. Bhd, Sullhrzmy Mohd. Ali, berkata, pihaknya memilih untuk bereksperimen di rimba kerana sifatnya yang dekat dengan ciri unik yang dimiliki tiga model 
Android terbaharunya, iaitu RG160, RG310 dan RG730.

“Produk RugGear amat berbeza dengan peranti pintar sedia ada di pasaran. Ia disasarkan khusus untuk organisasi atau syarikat yang memerlukan peranti tahan lasak terutamanya industri berat yang melibatkan persekitaran ekstrem.

“Sesuai dengan matlamat penciptaannya, ketiga-tiga peranti ini mempunyai sifat kalis air pada kedalaman sehingga dua meter selama 30 minit, kalis debu serta partikel mikro dan berupaya digunakan pada suhu ekstrem antara 20 hingga 60 darjah Celsius serta tahan hentakan,” katanya ketika ditemui pada program tersebut baru-baru ini.

Demonstrasi pertama bermula di sebatang sungai yang jernih dan mengalir tenang berhampiran trek Temuan. Kumpulan yang diketuai seorang pendaki profesional, Izmal Mukhriz menghentikan langkah bagi melihat peranti Android ini dibuktikan kalis air.

Model RG160 dimasukkan ke dalam air dan cuba dihubungi oleh petugas RugGear. Ternyata, telefon tersebut berfungsi dengan baik walaupun berada di dasar air.

Selain direndam, produk tersebut turut diuji dengan dimasukkan ke dalam selut, dipijak, dibaling, malah dilanggar oleh sekumpulan pemain basikal lasak yang kebetulan melalui kawasan tersebut.

Berharga antara RM799 hingga RM2,399, model peranti ini ternyata berbaloi untuk dimiliki terutama penggemar aktiviti lasak dan bekerja di lapangan ekstrem termasuklah tapak pembinaan, industri cari gali minyak dan kilang.

Sementara itu, seorang peserta yang juga jurugambar bebas, Faisul Abu Hassan berkata, ekspedisi kali ini harus dipuji dan dijadikan contoh oleh lebih banyak syarikat di luar sana.

“Kreativiti dalam memupuk budaya sihat sambil bekerja merupakan amalan yang jarang dititik berat oleh ramai pihak. Selama ini, pelancaran mahupun demonstrasi produk banyak dilakukan dalam bangunan.

“Menggunakan alam sekitar, kita bukan sahaja dapat beriadah, malah memperkenalkan Taman Rimba Komuniti Damansara sebagai kawasan yang sesuai untuk aktiviti bersama keluarga ketika pada hujung minggu,” ujarnya.

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin mendapatkan sebarang maklumat mengenai aktiviti ini boleh melayari pautan www.pelaridenai.com.