Pelbagai jenis kemalangan yang berlaku di negara ini antaranya melibat kenderaan berat seperti lori, bas dan treler.

Kemalangan yang melibatkan kenderaan berat di jalan raya kebanyakan berpunca daripada blind spot ataupun titik buta bagi pemandu lori.

Kebiasaannya, jika sesebuah kenderaan berat bergerak, pengguna jalan raya boleh melihatnya dengan jelas.

Namun pemandu kenderaan berat belum tentu dapat melihat dengan jelas jika kenderaan berhampirannya berada di kawasan titik buta.

Bagi menambah baik sistem pengesanan titik buta sedia ada, sekumpulan pelajar Kelab Reka Cipta, Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur telah membangunkan Dual Response Blind Spot Warning System ataupun DR BLISS.

Muhammad Isyraf Imran Badrul Hisham yang merupakan salah seorang ahli kumpulan tersebut menjelaskan, DR BLISS adalah satu sistem yang memberi amaran kepada pemandu lori dan kenderaan lain.

Sistem itu katanya, mengeluarkan amaran dua hala yang memberi maklumat tentang lokasi kenderaan lain yang berada pada zon titik buta pemandu lori.

“Selain itu, tanda amaran dinamik yang menghasilkan kerlipan cahaya merah berfungsi untuk menarik perhatian pemandu kenderaan berhampiran agar menjauhkan diri dari zon bahaya dengan segera,” katanya.

Tambahnya, pemandu kenderaan berat akan menerima amaran kewujudan kenderaan lain di bahagian titik buta melalui satu aplikasi di tablet atau telefon pintar.

Amaran itu membolehkan kedua-dua pihak menyedari kewujudan masing-masing dan mereka boleh mengambil langkah sewajarnya bagi mengelakkan sesuatu yang tidak diingini berlaku.

Enam sensor

Isyraf Imran menjelaskan, sebanyak enam sensor akan diletakkan di bahagian titik buta.

Sensor tersebut akan mengesan kewujudan kenderaan lain yang berada di bahagian titik buta yang tidak dapat dilihat oleh pemandu kenderaan berat. Sensor ini mampu berfungsi dalam apa jua keadaan cuaca.

“Selain sensor kami turut meletakkan enam papan tanda amaran mengikut zon. Untuk bahagian belakang dan hadapan papan, tanda amaran berbentuk segi tiga, manakala bahagian sisi berbentuk empat segi,” jelasnya.

Papan tanda amaran itu bukan sahaja mengeluarkan kerlipan cahaya sebagai tanda amaran malahan ia juga akan mengeluarkan bunyi khas untuk membolehkan pemandu yang lain peka dengan situasi sedemikian.

Aplikasi yang dibangunkan di tablet atau telefon pintar itu juga mengeluarkan bunyi dan menunjukkan arah titik buta yang mengesan kewujudan kenderaan lain di kawasan itu.

Pingat emas

Turut terbabit membangunkan sistem tersebut ialah Amirul Ahmad Nazri, Muhammad Iqbal Afiq Mohammad, Muhammad Aiman Zabidi, Danish Eyzhanc Mustafidee, Putera Fareeze Aaziem Azman dan Muhammad Ayyub Sallehuddin Azman.

Inovasi yang dihasilkan mereka ini telah mendapat pingat emas di International Intellectual Property, Invention, Innovation and Technology Exposition (IPITEx 2018) yang berlangsung di Bangkok, Thailand baru-baru ini.

Isyraf Imran berkata, dia dan ahli kumpulan yang lain begitu gembira dan teruja apabila menerima pengiktirafan tersebut.

“Sebelum mendapat pengiktirafan, kami terlebih dahulu perlu meyakinkan juru-juri yang menilai inovasi yang dihasilkan ini. Untuk meyakinkan mereka bukan sesuatu yang mudah kerana ada soalan yang diajukan di luar jangkaan kami. Namun kami dapat meyakinkan mereka dengan sebaiknya.

Cabaran utama

“Pengiktirafan tersebut memberi satu semangat dan motivasi kepada kami untuk terus menambah baik sistem yang dibangunkan itu untuk dikomersialkan pada masa akan datang,” jelasnya.

Dalam pada itu, bagi Putera Fareeze, sebelum ke pertandingan tersebut mereka hanya ada masa lebih dua bulan untuk menghasilkan sistem DR BLISS yang sempurna.

“Sebelum ini, kami pernah menghasilkan model sistem ini dan ia tidak begitu sempurna. Oleh itu kami mengambil keputusan untuk menambah baik fungsinya.

“Selain bantuan daripada guru penasihat, kami melakukan rujukan di internet untuk menambah baik sistem yang dibangunkan,” katanya yang memberitahu cabaran utama yang dihadapi adalah untuk memprogramkan sistem tersebut.

Putera Fareeze berkata, kadangkala bila diprogramkan sistem itu menjadi tidak sempurna dan ia tidak dapat berfungsi dengan baik.

Pihaknya terpaksa melakukannya berkali-kali untuk mendapatkan hasil yang baik.

Dalam pada itu, guru penasihat kelab reka cipta sekolah tersebut, Mohd. Syazwan Mohd. Nor berkata, dia gembira kerana pelajarnya berjaya membangunkan sistem tersebut.

“Idea itu datang daripada saya sendiri dan saya mencabar mereka untuk membangunkannya. Mereka menyahut cabaran itu dengan jayanya sehingga dapat menghasilkan sistem DR BLISS ini.

“Walaupun mereka ini hanyalah pelajar sekolah mereka dapat melakukannya dengan baik sekali,” jelasnya.

Sekumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur berjaya menghasilkan sistem amaran titik buta bagi mengurangkan kadar kemalangan yang melibatkan kenderaan berat.