Antara hutan gambut popular di negara ini ialah Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) dengan keluasan sekitar 960 hektar yang terletak berhampiran Dengkil, Selangor.

Namun, pada awal tahun 2017, kira-kira 95 hektar hutan paya gambut telah musnah dijilat api kerana sifatnya yang mudah terbakar serta cuaca panas dan kering yang sering melanda Malaysia.

Selain mengurangkan sumber hutan dan kepelbagaian biologi, kebakaran tanah gambut juga menghasilkan pengeluaran gas rumah hijau dan asap yang memudaratkan kesihatan masyarakat setempat.

Selain itu, ia juga dikhuatiri boleh mengakibatkan penduduk berdekatan hilang sumber ekonomi.

Sukar dipadam

Pengarah Global Environment Centrel (GEC), Faizal Parish berkata, gambut merupakan himpunan tumbuhan separa reput atau bahan organik yang hanya terdapat di kawasan semula jadi yang dipanggil tanah gambut.

“Gambut terbentuk dalam keadaan basah iaitu aras air tinggi dan keadaan berasid akan memperlahankan kadar penguraian.

“Gambut mengandungi 90 peratus air dan 10 peratus lagi bahan organik. Apabila tanah gambut mengering, ia mudah mengakibatkan kerosakan dan kebakaran.

“Lebih malang, kebakaran gambut sukar dipadam kerana ia turut terbakar sehingga beberapa meter ke dalam tanah,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Demi memelihara dan memulihkan ekosistem yang sensitif itu, 200 sukarelawan termasuk 40 pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) (Asli) Busut Baru dan SK (Asli) Bukit Cheeding, masyarakat setempat, pertubuhan bukan kerajaan dan wakil korporat telah berganding bahu untuk menyelamatkan hutan paya gambut HSKLU.

Mereka bersama-sama menanam 600 pokok tenggek burung (Melicope lunu-ankenda) iaitu satu spesies perintis di sebidang tanah seluas satu hektar di Kompleks Hutan 6, HSKLU.

Kesedaran

Acara tersebut bukan sahaja memberikan kesedaran yang amat penting untuk mula berubah, tetapi turut menjadi platform yang baik untuk mendidik orang ramai tentang biodiversiti dan kelestarian pembangunan.

Inisiatif penanaman pokok itu adalah sebahagian daripada Pengurusan Air Hutan dan Pemulihan Hutan yang sedang dijalankan di Landskap Hutan Paya Gambut Kuala Langat Utara.

Ia bertumpu kepada pengurusan hidrologi gambut, pencegahan dan kawalan kebakaran, penyertaan Orang Asli dan masyarakat tempatan serta kerjasama sektor swasta untuk membantu pelaksanaan Pelan Pengurusan Kebakaran Hutan untuk Hutan Simpan Kuala Langat Utara dan Hutan Simpan Kuala Langat Selatan 2017-2021.

Pengarah Perhutanan Negeri, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Mohd. Puat Dahalan berpendapat, acara penanaman pokok itu dapat menyumbang kepada pemuliharaan dan pemulihan ekosistem hutan paya gambut Malaysia.

“Ia bukan sahaja unik tetapi juga penting kepada masyarakat Orang Asli yang tinggal di kawasan berhampiran kerana mereka bergantung kepada hutan untuk sumber harian.

“Hati saya cukup tersentuh apabila melihat komuniti tempatan, syarikat swasta dan juga pelajar-pelajar telah berganding bahu untuk membantu pihak berkuasa dalam menguruskan dan memelihara sebuah khazanah semula jadi kita,” katanya pada majlis pelancaran Sahabat Hutan Gambut Kuala Langat Utara di Selangor baru-baru ini.

Sahabat Hutan Paya Gambut Kuala Langat Utara, merupakan penubuhan komuniti pelindung paya gambut yang dibentuk dalam kalangan Orang Asli dari dua buah kampung iaitu Kampung Bukit Cheeding dan Kampung Pulau Kempas.

Timbalan Pengerusi Dan Ketua Pegawai Eksekutif, Boh Plantations, Caroline Russell berkata, beliau gembira melihat generasi muda tampil untuk menyokong pemuliharaan hutan paya gambut.

“Apabila rakyat Malaysia dan golongan belia menganggap alam sekitar ini sebagai milik dan tanggungjawab bersama, kita pasti dapat membantu menyelamatkan dan memelihara hutan paya gambut yang indah ini.

“Sepanjang tiga tahun ini, kami berbangga menjadi sebahagian daripada perubahan positif dalam alam sekitar yang tidak mungkin kita kecapi tanpa rakan kerjasama projek kami iaitu pihak berkuasa tempatan dan masyarakat setempat,” jelasnya.

Sebanyak 600 pokok tenggek burung ditanam oleh 200 sukarelawan bagi melestarikan hutan gambut di Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) berhampiran Dengkil, Selangor baru-baru ini.