Kebakaran terbesar dalam sejarah negeri itu berlaku di California Utara sehingga memusnahkan kira-kira 9,700 kediaman dan 57,060 hektar tanah.

Pada masa sama, di selatan California turut berlaku kebakaran yang dikenali sebagai Woolsey Fire dan telah mengorbankan dua orang di Malibu.

Woolsey Fire telah memusnahkan 39,659 hektar tanah dan merosakkan 500 bangunan. Sehingga kini, kebakaran itu masih berbaki 62 peratus.

Lebih 93,077 hektar tanah terbakar di California sejak 8 November lalu dan dalam masa 30 hari, anggota bomba bertempur memadamkan kebakaran tersebut.

Mangsa yang terjejas teruk akibat kebakaran besar itu kebanyakannya berasal dari bandar Paradise di Butte Country, utara California.

Ekoran bencana itu, bandar tersebut hampir terpadam daripada peta.

Paradise, sebuah bandar yang didiami kira-kira 26,000 penduduk di kaki pergunungan Sierra Nevada, popular dalam kalangan pesara dan kebanyakan individu yang dilaporkan hilang oleh pejabat syerif berusia lingkungan 70 hingga 90 tahun.

Camp Fire telah merosakkan 54,632 hektar tanah dan menyebabkan kira-kira 7,600 buah rumah serta 260 hartanah komersial musnah

Syerif Daerah Butte, Kory Honea berkata, sejak petang Khamis lalu, angka kematian akibat Camp Fire di utara California telah meningkat kepada 63 orang.

“Bilangan mereka yang hilang juga semakin meningkat akibat suasana huru-hara itu.

“Pegawai bertugas sukar menentukan bilangan yang hilang kerana ada antara mangsa itu sudah dipindahkan,” katanya.

Usaha mencari mangsa yang hilang bertambah sukar apabila perkhidmatan talian telefon bimbit tidak berfungsi.

Ujarnya lagi, ramai orang kehilangan tempat tinggal dan mereka tidak tahu pihak penyelamat sedang mencari mangsa kebakaran itu.

Bencana kebakaran tersebut telah merubah rupa bandar Paradise dan yang tinggal hanyalah debu serta serpihan kebakaran.

Kenal pasti

Honea menjemput semua orang yang kehilangan anggota keluarga datang ke pejabat Syerif di Oroville bagi mengumpul sampel asid deoksiribonukleik (DNA) bagi membantu mengenal pasti individu yang terkorban dalam kebakaran itu.

Seramai 9,400 anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran di seluruh negeri California.

Ketua Jabatan Bomba California, Ken Pimlott memberitahu, kebakaran Camp Fire masih berbaki 40 peratus.

“Kami akan terus bekerja keras memadan kebakaran sehingga ia kembali selamat.

“Pada masa sama, kami juga terpaksa menghadapi beberapa kebakaran lain seperti Woolsey Fire di Ventura County berhampiran Los Angeles dengan keluasan 40,468 hektar,” tuturnya.

Selain itu, pihak bomba juga memadam kebakaran Hill Fire di Ventura County seluas 1,833 hektar dan Morga Fire di Contra Costa County berhampiran San Francisco dengan keluasan lapan hektar.

Dalam pada itu, Pentadbir Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (Fema) Brock Long berkata, kerosakan di bandar Paradise merupakan salah satu bencana paling buruk yang pernah dilihatnya.

“Pasukan tentera membantu forensik dengan ditemani anjing bagi mengesan mayat yang menjadi mangsa bencana itu.

“Beberapa orang telah memfailkan tuntutan mahkamah kepada sebuah syarikat jana kuasa tempatan yang mendakwa Camp Fire bermula apabila talian penghantaran voltan tinggi gagal berfungsi dengan baik, lantas mencetuskan kebakaran,” jelasnya.

‘Musim kebakaran hutan’ di California bermula sejak musim panas lalu dan berlanjutan sehingga awal musim gugur tetapi ia dijangka akan berlaku sepanjang tahun.

Kelembapan yang rendah, angin yang hangat dan tanah kering selepas tidak menerima hujan memudahkan api merebak.