Penghasilan produk-produk yang berinovasi tinggi sangat penting dalam merealisasikan matlamat tersebut.

Sehubungan itu, ia telah mendorong tiga orang penyelidik utama daripada Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur untuk menghasilkan produk mesra OKU dan warga emas yang dikenali sebagai Succi Wudu’ bagi memudahkan mereka mengambil wuduk.

Menurut ketua penyelidiknya, Prof. Madya Ir. Dr. Siti Zawiah Md. Dawal, projek tersebut telah bermula sejak 2015 apabila beliau dan ahli-ahli penyelidik yang lain terlibat dalam program Pembangunan Penyelidikan Bersepadu Bagi OKU dan Warga Emas (ORKID).

“Pada ketika itu kami memberi fokus penyelidikan bagi membangunkan fasiliti yang sesuai untuk digunakan oleh OKU dan warga emas seperti meja belajar bagi penghidap autisme serta meja kerja bagi penghidap cerebral palsy.

“Rentetan daripada projek-projek tersebut, maka ia memberi cetusan idea kepada kami untuk menghasilkan inovasi khas bagi memudahkan OKU dan warga emas mengambil wuduk,” katanya ketika ditemui Infiniti di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan UM.

Tambah beliau yang merupakan Pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, mereka mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk membangunkan Succi Wudu’ yang dibiayai sepenuhnya oleh geran penyelidikan UM bernilai RM200,000.

Succi Wudu’ memudahkan OKU atau warga emas untuk mengambil wuduk sambil duduk di atas kerusi atau kerusi roda yang membolehkan mereka membasuh tangan dan kaki dengan mudah.

Ia dibina bersesuaian dengan ketinggian manusia yang duduk. Bahagian atasnya sesuai untuk membasuh tangan atau bahagian atas tubuh, manakala bahagian bawahnya pula yang juga dilengkapi pancuran untuk membasuh kaki boleh dialihkan untuk dimasuki kerusi.

“Succi Wudu’ mudah dialihkan kerana dilengkapi roda malah sinkinya juga direka dengan ruang meletakkan tangan bagi membolehkan pengguna mengambil wuduk dengan selesa.

“Di samping itu, Succi Wudu’ juga direka dengan ruang khas untuk kerusi roda dan kerusi biasa,” jelasnya yang berasal dari Melaka.

Permintaan

Beliau yang berpengalaman 25 tahun sebagai pensyarah mekanikal menjelaskan, saiz Succi Wudu’ setinggi 122 sentimeter (sm) dan lebar kira-kira 60sm juga sesuai dengan keluasan pintu bagi memudahkan dibawa masuk dan dipasang di mana-mana sahaja.

Sementara itu, salah seorang penyelidik Succi Wudu’, Prof. Madya Dr. Wan Nor Liza Mahadi memberitahu, pihaknya telah melakukan ujian penggunaan produk itu di Pusat Latihan Perindustrian (PLPP) dan Pemulihan Orang Kelainan Upaya Bangi dan Pusat Rehabilitasi Perkeso.

“Hasil ujian tersebut sangat membanggakan, malah pengguna juga mengakui Succi Wudu’ memudahkan mereka berwuduk.

“Kebiasaan tempat berwuduk sangat licin dan kawasannya juga tidak sesuai untuk OKU berkerusi roda mahupun warga emas, maka dengan adanya Succi Wudu’ mudah alih ini akan membantu mereka bersuci dengan selesa,” tuturnya yang merupakan pensyarah daripada Jabatan Kejuruteraan Elektrik.

Anak kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu itu berkata, sebanyak satu unit Succi Wudu’ telah ditempatkan di Masjid Ar-Rahman, Kuala Lumpur, manakala satu lagi di PLPP hasil sumbangan wakaf Rinza Global Sdn. Bhd.

Dalam pada itu, seorang lagi penyelidik, Norhanim Zakaria berkata, cabaran utama dalam menghasilkan Succi Wudu’ ialah mereka perlu melakukan ujian berulang kali bagi memastikan bersesuaian dengan OKU dan warga emas.

“Selama tiga tahun kami menghasilkan beberapa prototaip dan melakukan penambahbaikan sehinggalah terhasilnya produk sekarang ini.

“Permintaan memang sangat banyak terutamanya di hospital dan tempat-tempat awam, malah negara-negara luar seperti Brunei, Singapura serta Jepun juga sangat berminat dengan produk kami,” terang anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Norhanim yang juga merupakan Pensyarah daripada Jabatan Ukur, Fakulti Alam Bina berkata, pihaknya kini dalam proses perbincangan dan mencari kaedah bersesuaian untuk pengeluaran besar-besaran bagi memenuhi permintaan di pasaran yang semakin meningkat.

Ujarnya lagi, badan korporat atau individu digalakkan untuk mewakafkan Succi Wudu’ bagi kegunaan di tempat awam.