Program anjuran kumpulan Renjer Konservasi Alam Malaysia (RKA) di bawah Pertubuhan Konservasi Alam Malaysia (Perkam) itu disertai dua orang pemandu arah, 15 orang murid dan enam orang guru yang mewakili RKA.

Sambutan Hari Gajah Sedunia peringkat kebangsaan itu dihadiri oleh peserta dari empat buah negeri iaitu Selangor, Perak, Pahang dan Kuala Lumpur.

Para peserta melalui kawasan kampung iaitu Kampung Lambak di Tanjung Malim, Perak dan bergerak melepasi sempadan Sungai Bernam merentasi ke negeri Selangor.

Menurut Presiden Perkam, Dr. S. Santharasekaran, peserta mengembara menyelusuri dusun, kebun getah dan hutan kecil untuk menuju ke puncak dengan merentasi gaung serta bukit berbatu.

“Hasil kerjasama daripada semua pihak, kami berjaya menawan puncak Bukit Asa pada pukul 12 tengah hari.

“Kembara mendaki dan menuruni bukit mengambil masa selama tiga jam lebih,” katanya.

Tambah beliau, dari puncak kelihatan pemandangan bandar Tanjong Malim dan kawasan perladangan di sekitarnya.

Antara aktiviti yang dipelajari oleh peserta sepanjang program ini adalah latihan ikhtiar hidup seperti mencari punca air bersih, mengesan jejak kaki haiwan, mengenal spesies pokok dan serangga serta mamalia kecil.

Kajian

Mereka juga menjalankan kajian mengenai akar pokok seperti kayu Liana atau juga disebut sebagai akar lundang dan mempelas yang mempunyai banyak kandungan air.

“Air dari akar kayu yang boleh diminum biasanya tiada warna, cair dan tidak berbau.

“Potong akar tersebut menyerong dan pisahkannya terus dari bahagian akar yang lain,” jelasnya.

Air yang menitis dari akar yang dipotong itu boleh terus diminum dan mempelas serta lundang merupakan antara jenis akar pokok yang boleh diminum.

Selain itu, rotan dan buluh juga mempunyai air yang banyak tersimpan di dalam ruasnya.

Tidak ketinggalan periuk kera turut menyimpan air, manakala lumut boleh diperah dan dikumpul airnya untuk diminum.

Santharasekaran turut berkongsi tip untuk makan buah hutan yang tidak beracun iaitu cari kesan-kesan sama ada buah tersebut telah dimakan oleh haiwan lain.

Selamat dimakan

Ujarnya, cara yang paling mudah untuk memastikan sama ada buah atau tumbuh-tumbuhan itu selamat dimakan adalah dengan tiga langkah berikut iaitu hidu, sapu dan kunyah.

Hidu sebahagian dari tumbuh-tumbuhan tersebut jika berbau keras atau busuk elak memakannya kerana ia mungkin beracun.

Sekiranya tidak berbau keras atau busuk, ambil sedikit air atau getah dari bahagian tumbuh-tumbuhan tersebut yang dihancurkan dan gosok pada bahagian lengan, tunggu selama 10 hingga 15 minit.

Jika terasa panas atau gatal-gatal jauhi tumbuh-tumbuhan ini kerana dikhuatiri mengandungi racun dan berbahaya jika dimakan.

Kunyah tumbuh-tumbuhan tersebut selama lima hingga 10 minit, jika terasa gatal atau panas dalam mulut ataupun berasa loya, tumbuh-tumbuhan tersebut hendaklah diluahkan kerana kemungkinan beracun.

Kesimpulannya, pengembaraan tersebut memberi kefahaman kepada pelajar betapa pentingnya memelihara hutan dan hidupannya.