Salah satu penyelesaian berkenaan adalah dengan menjalankan perniagaan.

Namun, hakikatnya ramai yang takut untuk menceburi bidang perniagaan kerana mempunyai risiko yang perlu ditanggung sedangkan dalam apa jua pekerjaan di muka bumi ini, risikonya tetap ada.

Atas dasar berkenaan, banyak kelas perniagaan ditubuhkan bagi membantu mereka yang ingin berkecimpung dalam dunia perniagaan tanpa sempadan ini. Walaupun begitu, ramai juga yang mengeluh kerana terpaksa mengeluarkan belanja besar sehingga ribuan ringgit bagi memperoleh ilmu perniagaan.

Menurut pengasas komuniti #MisiBebasHutang, Muhd. Hafizuddin Yusoff, bagi meringankan beban para peniaga, dia bersama tiga rakan kongsi bermurah hati dengan menubuhkan sebuah komuniti alam maya yang dikenali #MisiBebasHutang melalui harga yang munasabah iaitu RM15 sahaja.

“Harga berkenaan perlu dibayar sekali sahaja untuk seumur hidup. Tiada syarat dikenakan asalkan peniaga mempunyai produk atau perkhidmatan yang diniagakan.

“Saya memilih perkongsian ilmu perniagaan secara dalam talian supaya peniaga tidak perlu mengeluarkan belanja terlalu banyak. Caranya juga mudah dan tidak membebankan. Peniaga-peniaga akan dijemput memasuki komuniti #MisiBebasHutang melalui Facebook.

“Di sini, mereka boleh melihat hampir 20 video yang telah saya hasilkan merangkumi pelbagai topik perniagaan. Dengan cara ini juga, ahli-ahli komuniti dapat melihat video berkenaan di mana-mana sahaja mereka berada,” ujar anak sulung daripada empat beradik yang pernah kerugian RM200,000 dalam perniagaan lima tahun lalu.

Tambah lelaki berpengalaman luas dalam bidang perniagaan itu, pihaknya memilih untuk mengadakan kelas secara dalam talian kerana mengetahui ramai peniaga yang tidak cukup masa untuk meluangkan waktu serta sering berada di luar kawasan.

Bantu

Katanya lagi, dia ingin menghimpunkan usahawan yang menjalankan perniagaan sama ada dalam atau luar talian internet di bawah satu komuniti bagi membincangkan segala kemusykilan yang timbul.

“Misi saya adalah untuk membantu mereka yang mempunyai produk atau perkhidmatan yang ingin diniagakan namun tidak tahu cara yang betul untuk mendapatkan jualan antara RM20,000 hingga RM1 juta sebulan atau lebih dan ini mudah diperoleh dengan hanya menggunakan strategi dan platform perniagaan yang betul.

“Malah, #MisiBebasHutang tidak tertumpu kepada mereka yang baru menjalankan perniagaan sahaja, ia boleh disertai oleh pelbagai golongan serta peringkat umur sama ada yang menjalankan bisnes sendiri mahupun secara ejen atau dropship,” ujarnya yang mempunyai pendidikan dalam Sistem Maklumat Perniagaan daripada Universiti Teknologi Petronas.

Tiga lagi rakan kongsinya ialah Nur Suffiza Ahmad Sofian, Muhamad Syamwill Mertadza dan Arif Husaini Abd. Khalil. Ketiga-tiga mereka mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing seperti Nur Suffiza merupakan pemilik produk pembersih alat solek dengan nilai jualan pernah mencecah RM1 juta dalam tempoh beberapa bulan sahaja.

Dalam pada itu, Muhd. Hafizuddin turut memberitahu, pada bulan Februari 2017, dia akan mengadakan satu kelas yang dinamakan Pecutan Terakhir Sebelum Raya bagi membentangkan strategi yang betul kepada usahawan yang ingin melonjakkan jualan berlipat kali ganda menjelang Aidilfitri.

“Segalanya berada di depan mata, mereka hanya perlu laksananya dengan betul. Strategi yang mantap diperlukan namun apa yang boleh saya ingatkan sifat sabar dan teliti perlu diambil kira dalam apa jua tugasan yang kita lakukan,” katanya menutup bicara.