Selain itu, dia juga perlu membeli kupon parking bagi lokasi bawah kendalian pihak berkuasa tempatan berlainan. Lebih meresahkannya apabila mesin parking jalanan itu sering rosak.

Sejak dua tahun lalu, Zaair telah menggunakan aplikasi JomParking untuk membuat bayaran tersebut.

“Saya berasa sangat lega kerana segala urusan pembayaran tempat letak kereta tidak kira di jalanan dan dalam bangunan boleh dilakukan di hujung jari tanpa perlu bersusah payah menyediakan wang syiling ataupun kupon.

“Aplikasi ini juga mesra pengguna apabila ia juga boleh membuat tambahan masa meletak kenderaan hanya menekan butang tanpa perlu pergi ke kereta untuk berbuat demikian,” cerita bapa kepada tiga orang anak itu ketika ditemui Kosmo! di Ibu Pejabat Jompakir Sdn. Bhd., Cyberjaya, Selangor baru-baru ini.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Jompakir, Muhamad Nasir Habizar berkata, aplikasi tersebut merupakan satu keperluan yang sangat penting untuk membuat pembayaran tempat letak kereta.

“Penggunaan JomParking sangat menjimatkan masa serta mesra pengguna.

“Hanya menggunakan telefon pintar segala urusan pembayaran tempat letak kereta boleh dilakukan tanpa perlu menyediakan duit kecil, syiling mahupun kupon,” terangnya yang berasal dari Rantau, Negeri Sembilan.

Tambahnya, JomParking dihasilkan sepenuhnya oleh tenaga anak tempatan.

JomParking pada peringkat awal bawah kendalian Syarikat Appcable Sdn. Bhd. Ia kemudian diletakkan bawah anak syarikatnya yang dikenali sebagai Jompakir Sdn. Bhd., pada tahun 2017.

Cerita Muhamad Nasir, aplikasi tersebut mula dibangunkan sejak tahun 2008 apabila Terminal Bersepadu Selatan (TBS) melantik Syarikat Appcable dan syarikat dari Jepun untuk membangunkan aplikasi khas pembayaran parking di tempat itu.

Malangnya, sistem yang dibangunkan oleh syarikat Jepun itu tidak sesuai digunakan di negara ini, maka projek tersebut terpaksa dihentikan.

Muat turun

Bertitik tolak daripada situ, Syarikat Appcable bercita-cita untuk membangunkan produk sendiri dan menjalankan pelbagai penyelidikan dan pembangunan.

Bermula dengan lima orang kakitangan, kini Jompakir mempunyai 20 orang pekerja yang membantu membangunkan serta menambah baik penggunaan aplikasi tersebut.

Sehingga kini, JomParking telah dimuat turun oleh 200,000 pengguna dan diguna pakai di lima lokasi iaitu Kuala Lumpur, Kota Bharu, Johor, Cyberjaya dan Tawau.

Selain itu, ia turut beroperasi di TBS dan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

JomParking boleh digunakan untuk Parking Jalanan dan dalam bangunan.

Ujar Muhamad Nasir pihaknya kini dalam usaha meluaskan lagi penggunaan JomParking di seluruh negara.

“Kami turut merancang untuk meluaskan pasaran ke negara ASEAN seperti Brunei, Thailand dan Indonesia.

“Sebab itu kami mengikuti pelbagai program di luar negara bagi memperkenalkan aplikasi ini seperti di Innovex, Taiwan; Interaffie, Indonesia dan Smart City Expo World Congres, Barcelona, Sepanyol,” ujar bapa kepada empat orang cahaya mata itu.

Justeru, tidak hairanlah, JomParking menerima pelbagai pengiktirafan termasuk daripada Malaysia Rice Bowl Startup Award as Best Lot Start 2018, Ambank BizRace Top 35 2018 dan Anugerah Kecemerlangan Syarikat 2018.

Ketua Pembangunan Produk Jompakir, Muhammad Syahmi Ismail yang berasal dari Sik, Kedah pula memberitahu, JomParking boleh dimuat turun secara percuma oleh pengguna Android di Google Play Store, manakala di Apple App Store untuk pengguna iOS.

“Aplikasi tersebut menyediakan tiga produk iaitu JomParking untuk orang awam, JomForce bagi kegunaan penguatkuasa dan Jomvalet untuk perkhidmatan tempat letak kereta valet.

“Ia juga menyediakan tiga pilihan bahasa iaitu bahasa Melayu, Cina dan Inggeris,” ujarnya.

Menariknya, aplikasi itu juga memberi peringatan 15 minit sebelum masa tamat dan pengguna boleh membuat penambahan masa di telefon pintar tanpa perlu membayarnya secara manual.

Selain itu, JomParking juga memberitahu lokasi tempat letak kereta terdekat dan boleh ditambah nilai tanpa sebarang caj tambahan menerusi perbankan online, kad kredit dan debit serta e-wallet.