Rumah dan premis perniagaan rosak, kereta terbalik serta bot-bot dihanyutkan ke daratan menjelaskan tanda cuaca tropika yang teruk.

Walaupun kerosakan yang dialami menjejaskan mangsa yang terlibat namun kebanyakannya boleh dibaiki.

Bagaimanapun peristiwa cuaca ekstrem dan diburukkan dengan kesan pada perubahan iklim, yang meninggalkan kerosakan tidak dapat diperbaiki.

Keseluruhan tanah boleh beralih atau ditenggelami ombak serta tidak boleh dilihat lagi.

Data Bank Dunia menunjukkan 37 negara kehilangan kawasan daratan antara tahun 1961 hingga 2017.

Beberapa negara mengalami kehilangan tanah tetapi secara keseluruhan perubahannya agak kecil.

Menurut laporan Forum Ekonomi Dunia, punca kehilangan kawasan daratan termasuk peningkatan paras air laut dan hakisan pantai namun bencana semula jadi seringkali menjadi faktor terbesar dalam mengurangkan tanah.

Ketika ibu negara Thailand, Bangkok bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah rundingan perubahan iklim baru-baru ini, bandar raya dengan lebih daripada 10 juta penduduk itu diramal akan tenggelam dalam tempoh sekitar sedekad lagi.

Rundingan yang bermula pada 4 September lalu itu sebagai persiapan kepada sidang kemuncak iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Poland akhir tahun ini bagi menetapkan undang-undang bagi mengurangkan gas rumah hijau dan menyalurkan bantuan kepada negara-negara terancam.

Suhu dunia dijangka terus meningkat manakala corak cuaca luar biasa seperti siklon, hujan tidak menentu, banjir besar dan kemarau diramal menjadi lebih buruk pada masa hadapan.

Terjejas teruk

Bangkok yang dibangunkan di atas bekas tanah paya setinggi 1.5 meter dari paras laut dijangka menjadi kawasan bandar paling teruk terjejas akibat bahana perubahan iklim di Asia Tenggara selain Jakarta dan Manila.

“Hampir 40 peratus bandar raya Bangkok akan digenangi air seawal tahun 2030 susulan hujan ekstrem dan perubahan corak cuaca,” demikian menurut laporan Bank Dunia.

Ketika ini, ibu negara Thailand itu tenggelam pada kadar 1 atau 2 sentimeter setahun dan berisiko dilanda banjir besar pada masa hadapan, kata aktivis pertubuhan alam sekitar Greenpeace, Tara Buakamsri.

Paras air laut di perairan berdekatan, Teluk Siam pula meningkat sebanyak 4 milimeter setahun iaitu melebihi paras purata global.

“Sebahagian besar kota raya ini sudah pun berada di bawah paras laut,” ujar Tara lagi.

Pada tahun 2011, ketika hujan monsun mengakibatkan banjir terburuk dalam tempoh beberapa dekad, satu perlima daripada bandar itu ditenggelami air.

Bagaimanapun sebahagian besar kawasan Thailand tidak bernasib baik apabila merekodkan lebih 500 kematian akibat banjir menjelang penghujung musim hujan.

Menurut pakar-pakar, usaha perbandaran yang tidak terkawal dan hakisan pantai mengakibatkan bandar raya itu serta penduduknya berada dalam situasi kritikal.

Tahun lalu, banjir buruk di Thailand menenggelamkan banyak kawasan dan mengorbankan lebih 23 nyawa.

Mangsa

Dengan berat pencakar langit yang menyumbang kepada penurunan beransur-ansur di bandar itu ke dalam air, Bangkok telah menjadi mangsa pembangunan negaranya sendiri.

Keadaan semakin buruk apabila terusan yang digunakan untuk melintasi bandar itu kini telah digantikan oleh rangkaian jalan yang rumit, kata pakar iklim dari Universiti Chulalongkorn di Bangkok, Suppakorn Chinvanno.

“Ia telah menyumbang kepada sistem saliran semula jadi,” ujar Suppakorn sambil menambah bahawa laluan air itu menyebabkan bandar berkenaan dikenali sebagai Venice di Timur.

Ladang udang dan pembangunan akuakultur lain yang menggantikan hutan bakau yang melindungi kawasan daripada ribut juga telah menyebabkan hakisan yang besar pantai paling dekat dengan ibu kota tersebut.

“Ini bermakna Bangkok boleh ditenggelamkan oleh banjir dari laut di bahagian selatan serta banjir monsun dari utara.

“Pakar menjangkakan ribut yang lebih hebat di rantau ini pada tahun-tahun akan datang,” tambah Suppakorn.

Narong Raungsri, Pengarah Jabatan Pengairan dan Kumbahan Bangkok mengakui bahawa kelemahan bandar itu bermula dari terowong kecil hingga pembangunan pesat kawasan kejiranan.

“Apa yang biasa digunakan sebagai lembangan air kini tiada lagi,” kata Narong.

Hari ini, kerajaan berusaha untuk mengurangkan kesan perubahan iklim, membina rangkaian terowong sejauh 2,600 kilometer dengan stesen pam dan lapan terowong bawah tanah untuk menyalurkan air keluar jika berlaku bencana.

Universiti Chulalongkorn pada tahun 2017 juga membina sebuah taman seluas 4.45 hektar yang direka khas di tengah Bangkok untuk menyerap beberapa juta liter hujan supaya persekitaran sekitarnya tidak banjir.

Tetapi langkah itu mungkin tidak mencukupi.

“Kita memerlukan dasar pengurusan tanah yang jelas.

“Harga tanah yang tinggi di Bangkok menjadikan kepentingan ekonomi sebagai keutamaan,” kata Tara sambil menambah bahawa keperluan untuk peningkatan ruang hijau lebih besar daripada kepentingan pemaju.

Dalam pada itu, peningkatan paras air laut bagaimanapun berbeza mengikut tempat.

Di seluruh dunia, paras laut tempatan berbeza-beza disebabkan pengaruh suhu, graviti dan putaran bumi.

Faktor pengembangan air laut telah menyebabkan molekulnya mengambil lebih banyak ruang dan menyumbang kepada kenaikan paras air laut global apabila air memanas.

Aktiviti tektonik seperti gempa bumi Sumatera bermagnitud 9.1 pada 2004 juga boleh mengubah tanah dan paras air laut. Pada masa sama, pencairan ais juga penyebab peningkatan paras air laut.