Peranti tersebut bukan sekadar menjadi alat hubungan komunikasi semata-mata malahan penggunaannya dipelbagaikan untuk urusan kerja.

Kosmo! pada Julai lalu turut melaporkan satu kajian oleh organisasi penyelidikan pemasaran terbesar Jerman, GfK yang mendapati rakyat Malaysia membelanjakan lebih RM12 bilion dalam tempoh dua tahun lalu semata-mata untuk memiliki telefon pintar idaman.

Pada tahun 2016 sahaja, rakyat Malaysia telah menghabiskan sebanyak RM6.8 bilion untuk membeli telefon pintar popular seperti iPhone, Samsung, Huawei, Oppo, Vivo, LG, HTC dan Sony.

Ia merupakan satu peningkatan lebih 20 peratus berbanding jualan telefon pintar pada tahun 2015 ialah sebanyak RM5.4 bilion.

Justeru, jika mengalami kerosakan pasti pengguna telefon pintar berhadapan kos membaiki yang tinggi terutamanya bagi yang kategori mewah.

Dalam membantu pemilik telefon pintar meminimumkan kos membaiki telefon pintar, satu aplikasi yang dinamakan COVER telah dibangunkan.

COVER merupakan satu aplikasi inovatif berasaskan penetapan pelan untuk pengguna membaiki telefon pintar tanpa perlu berbelanja besar.

Aplikasi COVER merupakan cetusan idea Ketua Pegawai Eksekutif dan juga Pengasas COVER IT Sdn. Bhd. Muhamad Zaid Samsuri.

Jelasnya, dia telah mendapat ilham untuk membangunkan pelan membaik pulih peranti pintar melalui aplikasi mudah alih selepas telefon pintarnya mengalami kerosakan.

“Kos untuk membaiki telefon pintar boleh dikatakan agak tinggi. Dari situ saya mendapat ilham untuk membangunkan satu aplikasi pelan membaiki telefon pintar pada harga yang lebih rendah,” jelasnya.

Tambahnya, ia dapat membantu pengguna menjimatkan wang terutamanya dalam landskap ekonomi negara yang tidak menentu sekarang.

COVER merupakan aplikasi pertama di Malaysia yang menawarkan kemudahan untuk membaiki kerosakan telefon pintar pada harga yang menjimatkan.

“Apa yang pengguna perlu lakukan ialah memuat turun aplikasi ini ke telefon pintar mereka dan melanggan pelan membaik pulih bagi melindungi peranti pintar mereka.

“COVER menawarkan pelan membaik pulih selama enam bulan dengan harga hanya RM90 iaitu serendah 50 sen sehari,” jelas Muhamad Zaid.

Jenis kerosakan

Tambahnya, jika dalam tempoh bawah daripada 30 hari daripada tarikh pendaftaran, sebarang kerosakan akan dikenakan sedikit caj tambahan.

Namun selepas 30 hari dari tarikh pendaftaran pengguna tidak perlu membayar apa-apa lagi caj tambahan.

Bagi pengguna yang melanggan pelan COVER, mereka akan menikmati perlindungan untuk 10 jenis kerosakan telefon pintar.

Antara jenis kerosakan tersebut ialah skrin retak, kerosakan skrin sentuh, kerosakan kamera, kegagalan bateri berfungsi, kegagalan butang halaman utama berfungsi, kerosakan tempat pengecas, kerosakan pembesar suara, kerosakan mikrofon dan kerosakan butang bunyi.

Muhammad Zaid berkata, kerosakan skrin sentuh terutamanya memerlukan pengguna mengeluarkan sejumlah wang yang besar untuk membaikinya.

“Namun melalui pelan yang kami tawarkan mereka hanya perlu membayar sebanyak RM90.

Bantuan 24 jam

“Aplikasi ini menyediakan bantuan 24 jam sebaik sahaja pengguna melanggan pelan yang ditawarkan. Sekiranya mereka mengalami salah satu daripada 10 jenis kerosakan yang dilindungi, pelanggan hanya perlu memfailkan laporan atau mengemukakan pertanyaan melalui aplikasi COVER,” jelasnya.

Tambahnya, mereka kemudiannya akan dirujuk kepada ejen terdekat untuk membaiki kerosakan tersebut.

Masa yang diambil untuk membaiki telefon pintar juga tidak lama dan keutamaan akan diberi kepada mereka yang mengambil pelan perlindungan.

Setakat ini, COVER mempunyai 30 ejen di sekitar Lembah Klang yang akan bertanggungjawab membaiki kerosakan telefon pintar pelanggan.

Dalam pada itu, pelan perlindungan COVER juga tidak terhad kepada model-model telefon pintar tertentu.

Malahan, ia merangkumi perlindungan kepada telefon pintar jenama terkemuka seperti Samsung, Huawei, Apple, Vivo dan Lenovo.

Dalam pada itu, pengguna telefon pintar di Malaysia dianggarkan mencecah sehingga 17.8 juta.

Jumlah rakyat Malaysia yang menggunakan telefon pintar telah meningkat hampir lapan peratus berbanding tahun 2016 iaitu sebanyak 16.4 juta.

Seiring dengan pertumbuhan dalam sistem perhubungan, penggunaan telefon pintar kekal menjadi salah satu faktor yang menentukan kemajuan teknologi.

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh platform data pintar terkemuka bagi pemasaran dan perniagaan mudah alih, Vserv pada tahun 2016, rakyat Malaysia menghabiskan masa lebih dari tiga jam bersama telefon pintar dengan penggunaan data sebanyak 323 megabait.

Sementara itu, seorang pengguna telefon pintar, Syairah Sulaiman, 27, berkata, pelan perlindungan yang ditawarkan oleh COVER itu sesuatu yang menarik.

Menurutnya, dia pernah mengeluarkan sehingga ratusan ringgit bagi menukar skrin telefon pintarnya yang retak.

“Saya bukanlah seorang yang cermat dalam menggunakan telefon pintar dan kadangkala ia jatuh atas sebab kecuaian saya.

“Dengan adanya pelan ini, ia mampu mengurangkan kos untuk membaiki telefon pintar jika berlaku kerosakan,” jelasnya.

Tambanya, kadar yang dikenakan untuk pelan perlindungan itu juga amat berpatutan sekali.