Penemuan terbaharu itu disiarkan dalam Jurnal Sains apabila sekumpulan penyelidik memasang kolar kepada enam beruang untuk merekodkan aktiviti haiwan itu selama 11 hari.

Mereka mendapati hidupan di Artik mengalami krisis makanan yang melampau.

Akibat perubahan iklim, kawasan ais di Artik telah mencair lantas memaksa beruang kutub untuk mengembara lebih jauh dan menggunakan tenaga yang banyak untuk menangkap mangsa.

Penyelidikan tiga tahun yang dijalankan oleh Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), Santa Cruz dan Universiti California mendapati pemangsa Artik bergerak lebih 1.6 kali ganda berbanding dahulu.

Peningkatan pergerakan untuk mencari makanan menyebabkan beruang kutub kekurangan kalori yang diperlukan oleh badannya.

Situasi sebenar

Menurut ketua penyelidik kajian itu, Anthony Pagano, pihaknya ingin memberi pemahaman kepada masyarakat mengenai situasi sebenar yang berlaku di Artik dan bagaimana ia memberi kesan kepada kehidupan beruang kutub.

“Kami mahu memahami mengenai mekanisme asas tentang aktiviti beruang tersebut ketika berada di atas ais dan keperluan tenaga yang diperlukan oleh haiwan ini.

“Seekor beruang kutub memerlukan 12,325 kalori sehari bagi mengekalkan tahap tenaganya iaitu dengan memakan seekor anjing laut dewasa bagi tempoh 10 hari,” jelasnya.

Tambahnya, sepanjang kajian tersebut, empat daripada sembilan beruang tidak mencapai tahap kalori yang ideal dan kehilangan berat badan sebanyak 20 kilogram.

Berdasarkan Dana Sedunia Alam Semula Jadi (WWF), beruang kutub menghabiskan 50 peratus daripada masanya untuk memburu tetapi kejayaan mendapatkan hasil buruan kurang daripada dua peratus.

“Saya tidak terkejut melihat kejadian ini.

“Beruang kutub sangat bergantung kepada anjing laut sebagai sumber makanan utama.

“Singa laut pula bergantung kepada lautan ais tetapi pemanasan global telah mencairkan ais sehingga mengganggu rantaian makanan di Artik,” tutur Pengarah Yayasan Born Free, Liz Greengrass.

Beruang kutub telah disenaraikan sebagai spesies terancam oleh Jabatan Hidupan Liar dan Perikanan Amerika Syarikat.

Mereka sering menjalankan program perlindungan dan kesedaran mengenai perubahan iklim.

“Jika tidak melakukan tindakan tegas terhadap pemanasan di Artik maka, nasib spesies ini pada masa hadapan akan kabur,” kata Pengarah Serantau Alaska, Agensi Hidupan Liar, Greg Siekaniec.

Laporan daripada Pusat Data Salji dan Ais Kebangsaan memberitahu, ais di Artik pada Disember lalu berada pada paras terendah kedua sejak tahun 1979.

Penyelidikan terbaharu USGS mendapati, populasi beruang kutub menunjukkan penurunan sebanyak 40 peratus sepanjang sedekad yang lalu.

Namun, masalah biasa yang sering dihadapi oleh penyelidik ialah sukar mengkaji tingkah laku beruang kutub dalam suasana pemanasan ais yang mencair.

“Kami kini mempunyai teknologi untuk mempelajari bagaimana mereka bergerak di atas ais, corak aktiviti dan keperluan tenaga.

“Sehubungan itu, kami memahami implikasi perubahan iklim ini terhadap ais,” kata Pagano.