Dia yang mengusahakan jenama Seriemas iaitu produk mandian berasaskan daun bidara sejak tahun 2015 pada awalnya menjual produk tersebut di spa kecantikannya.

Selain itu, Siti Yumni juga memasarkan produk itu secara online di Facebook dan blog.

“Pada tahun tersebut saya melihat perniagaan online mendapat sambutan yang sangat baik dan ramai jutawan lahir di situ.

“Oleh itu, saya mendapatkan khidmat Avana untuk memperkemaskan jualan secara online dengan membangunkan platform e-dagang khas untuk produk ini,” ceritanya yang berasal dari Bachok, Kelantan.

Tindakan bijak yang diambil oleh usahawan itu telah berjaya meluaskan pasaran produk Seriemas sehingga ke Brunei dan Singapura.

Produk tersebut juga turut dijual di rangkaian kedai al-Barakah di Singapura.

Berbicara mengenai perkhidmatan yang diberikan oleh Avana, Siti Yumni berkata, platform tersebut sangat mudah digunakan, apatah lagi menggabungkan semua laman sosial untuk memasarkan produk.

Pihak Avana juga sentiasa bersedia 24 jam sekiranya berlaku gangguan pada platform tersebut.

“Jika terdapat gangguan pada platform itu, kakitangan Avana akan membaikinya secepat mungkin, malah mereka juga senang dihubungi pada bila-bila masa sahaja,” tutur ibu kepada tiga orang cahaya mata itu.

Platform khas

Menurut Pengasas Avana, Luqman Adris, 35, syarikat tersebut ditubuhkan pada 2016 dengan visi untuk membantu usahawan kecil dan sederhana bagi mengembangkan perniagaan mereka menerusi platform e-dagang.

“Kami menyediakan platform khas untuk mereka memasarkan produk secara online dengan bajet mampu milik.

“Platform ini sangat mudah digunakan dan ia dihubungkan terus dengan laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram,” katanya ketika ditemui Kosmo! di ibu pejabat Avana di Pacific Place, Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Peniaga yang ingin mendapatkan khidmat Avana hanya perlu menyediakan gambar produk serta kedai atas talian dan mereka boleh mula beroperasi dalam masa 15 minit.

Terang Luqman, pihaknya menyedari ramai peniaga kecil yang memerlukan perkhidmatan tersebut tetapi tidak mempunyai bajet yang mencukupi untuk melabur kepada platform seperti itu.

Justeru, beliau dan pengasas bersama Avana, Soh Yien Yee, 30, menggunakan pengalaman serta kepakaran untuk membangunkan sistem e-dagang yang mesra pengguna dengan harga mampu milik bagi memudahkan proses jual beli secara online.

“Avana menyediakan tiga pakej platform e-dagang seperti pakej asas dengan harga serendah RM429 setahun khas untuk peniaga baharu yang hendak memulakan perniagaan.

“Selain itu, terdapat juga pakej pelan perniagaan dan VIP yang mempunyai ciri spesifik untuk melonjakkan lagi jualan peniaga,” tutur pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Aeroangkasa, University Of Michigan, Ann Arbor, Amerika Syarikat itu.

Sejak ditubuhkan dua tahun lalu, platform e-dagang Avana telah digunakan oleh lebih 35,000 usahawan kecil di dalam dan di luar negara.

Kelas digital

Pihak Avana juga menyediakan kelas digital secara percuma kepada usahawan yang menggunakan platform tersebut untuk mempelajari cara menggunakan e-dagang dan mempromosikan produk di laman sosial.

Di samping itu, syarikat itu juga giat menganjurkan bengkel perisian dengan pelajar-pelajar universiti, agensi kerajaan dan swasta.

Perkhidmatan e-dagang yang dibangunkan oleh syarikat itu telah digunakan oleh usahawan di luar negara seperti Hong Kong, Singapura, dan Indonesia.

Avana juga mempunyai pejabat operasi yang terletak di Bandung dan Jakarta, Indonesia.

Akui anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu, masih ramai yang beranggapan e-dagang terlalu teknikal, kompleks dan mahal.

Sedangkan ia merupakan trend teknologi yang semakin berkembang lantas menjadikan platform tersebut sebagai suatu keperluan untuk para peniaga.

“Avana memperkasakan sistem e-dagang supaya proses jualan menjadi lebih cepat, mudah dan sistematik.

“Peniaga yang mempunyai platform e-dagang sendiri dapat menjimatkan kos dan masa dengan memendekkan proses jualan,” tutur anak sulung daripada tiga beradik itu.

“Selain itu, platform e-dagang Avana memudahkan peniaga dari segi proses pengendalian stok dan invois secara automatik serta mempunyai pembayaran secara atas talian.

Sementara itu, Yien Yee berkata, sebanyak 70 peratus pelanggan yang menggunakan Avana terdiri daripada usahawan fesyen seperti tudung.

“Antara kelebihan mengendalikan platform e-dagang sendiri ialah usahawan bebas mengawal harga produk, margin keuntungan, promosi, memilih saluran jualan dan memantau data pelanggan.

“Bagi memudahkan urusan penghantaran barang, kami telah bekerjasama dengan Pos Laju untuk mengambil produk di tempat usahawan itu dan menghantar terus kepada pelanggan,” ujarnya anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Bagi menggalakkan usahawan menggunakan platform jualan atas talian, Avana mengambil inisiatif memperkenalkan aplikasi Avana Store Admin yang boleh dimuat turun secara percuma di Google Play Store mahupun App Store.

Menurut Yien Yee, pengguna boleh melakukan jualan online secara asas menggunakan aplikasi tersebut termasuklah berkongsi maklumat produk di semua media sosial.

Pembayaran bagi setiap produk itu boleh dilakukan atas talian.

Mengulas lanjut mengenai program e-dagang hasil kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Facebook sejak dua tahun lalu, Yien Yee memberitahu, ia menyasarkan penglibatan 2,000 usahawan untuk membantu mereka memasarkan produk ke luar negara menerusi laman sosial itu.

“Program latihan tersebut berlangsung selama tiga bulan dan setiap usahawan itu juga akan menerima insentif daripada MATRADE sebanyak RM5,000.

“Usahawan yang berminat mengikuti program itu boleh melayari laman web Avana di Avana.asia/export untuk membuat permohonan dan mendapatkan maklumat lanjut,” ulasnya lagi.

Bagi memperluaskan lagi penggunaan platform Avana, pihaknya merancang untuk membawa sistem e-dagang itu ke Asia Pasifik bagi membantu peniaga-peniaga kecil mengukuhkan jenama mereka di persada global.

Avana yang beroperasi sejak dua tahun lalu menyediakan platform e-dagang dengan harga mampu milik kepada usahawan kecil dan sederhana.