Kebiasaannya, perjalanan ke Melaka mengambil masa sekitar dua jam pada hari biasa.

Pada hari itu, perjalanan Nur Syairah mengambil masa lebih tiga jam berikutan ia dilakukan pada cuti hujung minggu.

Kunjungannya ke negeri Hang Tuah itu adalah untuk menemani rakannya yang mendapat jemputan pelancaran pembukaan Encore Melaka Impression Series.

Sebaik sahaja sampai ke Encore Melaka, tanpa membuangkan masa dia dan rakannya terus memasuki ruang persembahan.

“Setelah saya dan ribuan pengunjung yang lain mendapatkan tempat, lampu di ruang persembahan ditutup.

“Tidak lama selepas itu, persembahan pertama yang menceritakan kisah pembukaan Kota Melaka oleh Parameswara pada tahun 1400. Pada ketika itu, saya berasa masa bagaikan berputar dan kami dibawa pada tahun 1400,” katanya.

Tambahnya, persembahan yang dipersembahkan di Enrore Melaka pada hari itu cukup mempesonakan dan ia banyak menceritakan tentang sejarah dan budaya di negeri Hang Tuah itu.

Persembahan pementasan teater yang gilang-gemilang oleh Yong Tai Berhad di Encore Melaka itu adalah bersempena sambutan ulang tahun ke-10 Melaka Kota Warisan Dunia Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Pementasan teater yang berlangsung selama 70 minit itu mempamerkan sejarah dan budaya Melaka yang pelbagai.

“Acara ini menjadi lebih istimewa kerana ia juga meraikan 10 tahun kemasukan nama Melaka ke dalam senarai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Ini adalah waktu yang istimewa untuk Melaka.

“Sekarang, para pelancong tempatan dan antarabangsa mempunyai lebih banyak sebab untuk tinggal lebih lama di bandar ini. Dengan persembahan teater ini juga, kami mahu mengangkat status Melaka sebagai destinasi pelancongan paling utama di Malaysia, sekali gus membantu pertumbuhan ekonomi dan industri pelancongannya,” jelas Pengerusi Yong Tai Berhad, Datuk Syed Norulzaman Syed Kamarulzaman.

Mempesonakan

Sementara itu, seni bina Encore Melaka juga begitu unik dan bahagian dinding di luar bangunan dihiasi dengan jubin porselin serta ribuan lampu LED yang memberi pemandangan yang begitu mempesonakan pada waktu malam.

Bagi ruangan dalaman pula, ia mampu menambat hati penonton dan merangsang deria penglihatan dengan pentasnya yang berputar 360 darjah dan ia mampu menempatkan lebih 2,000 penonton pada satu-satu masa.

Para tetamu dihiburkan dengan persembahan hebat enam kisah yang diinspirasikan daripada identiti masyarakat Melaka yang berbilang bangsa dan hidup dalam keadaan harmoni.

Persembahan teater itu diarahkan oleh penerbit terkenal dari China iaitu Wang Chaoge yang juga bertanggungjawab mengarahkan upacara pembukaan Sukan Olimpik Beijing pada tahun 2008.

Persembahan bermula dengan kisah putera raja dari Sumatera iaitu Parameswara yang datang ke Melaka sekitar tahun 1400.

Kisah tersebut turut menceritakan Melaka mendapat nama sempena pohon tempat Parameswara berteduh.

Pada ketika itu, satu perkara aneh berlaku apabila seekor kancil putih telah menendang anjing-anjing raja.

Melihatkan kejadian itu, Parameswara berasa kagum dan memerintahkan agar kawasan tersebut dibuka dan dinamakan sebagai Melaka.

Paparan visual

Untuk kisah kedua, ia menceritakan kedatangan Laksamana Cheng Ho ke negeri Melaka sekitar tahun 1405.

Kisah ini diiringi paparan visual luar biasa iaitu kapal-kapal belayar dan pukulan gendang penaik semangat.

Selain itu, kisah ketiga pula, penonton dipersembahkan dengan kelembutan tarian Baba dan Nyonya yang menjadi antara sebahagian sejarah di Melaka.

Pada babak terakhir, para pelakon dan penari turun ke ruang penonton dan menjadikan mereka semua sebahagian daripada pertunjukan malam itu.

Pementasan tersebut ditutup dengan 200 orang pelakon dan penari mengucapkan selamat jalan kepada semua penonton.

Dalam pada itu, Chaoge berkata, sebelum mengarahkan persembahan teater tersebut, dia telah menghabiskan masa beberapa tahun untuk memahami dan mengenali sejarah dan budaya negeri Melaka terlebih dahulu.

Jelasnya, dia melihat banyak pelancong terutamanya anak muda hanya mengambil gambar lokasi-lokasi bersejarah tanpa mengetahui kisah di sebaliknya.

“Oleh itu, saya merasakan melalui persembahan teater seperti ini pengunjung akan dapat mengetahui sedikit sebanyak kisah negeri ini melalui mata kasar,” jelasnya.

Tambahnya, dia sendiri memilih Melaka untuk menjadi salah satu lokasi persembahan kerana peninggalan sejarahnya yang unik dan tak lapuk dek zaman dan kotanya sentiasa menyambut pengunjung dengan penuh mesra.

Chaoge menambah, dia mahu menceritakan semua keunikan dan daya tarikan negeri Melaka dalam pementasan itu.

“Dengan integrasi penceritaan yang bagus dan teknologi pementasan yang inovatif akan mengubah persepsi penonton kepada pementasan teater.

“Saya berharap apabila pengunjung meninggalkan ruang teater ini, ia dapat menimbulkan rasa minat, cinta dan bangga akan kota yang penuh bersejarah dan budaya ini,” jelasnya.