Mohamad Hanis Ismail kelihatan cukup bersedia dan tidak sabar lagi untuk menjelajah tempat-tempat menarik yang terdapat di sekitar Tasik Kenyir.

Lelaki kelahiran Alor Setar, Kedah itu bersama 23 orang pengamal media menjelajah Tasik Kenyir selama tiga hari dua malam menggunakan bot laju atau rumah bot baru-baru ini.

Ia bersempena program Ekspresi Media-Kenyir (EM-K) 2019 yang dianjurkan oleh Tourism Malaysia (TM) dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

“Saya sudah tidak sabar lagi untuk menjelajah tempat-tempat menarik di Tasik Kenyir. Saya sangat teruja menjadi salah seorang peserta EM-K 2019,” katanya ketika ditemu bual Horizon dalam program itu baru-baru ini.

Tasik Kenyir merupakan tasik buatan manusia kedua terbesar di Asia Tenggara. Tasik yang terletak bersempadan dengan Kelantan dan Pahang itu berkeluasan 209,199 hektar.

Antara aktiviti yang dilakukan para peserta EM-K 2019 adalah melawat Gua Bewah, Santuari Kelah, Taman Herba, Taman Orkid dan melihat pokok melunak terbesar di Malaysia.

Para peserta juga berpeluang berkayak dan memancing di sekitar Tasik Kenyir selain dibawa mandi-manda di Air Terjun Lasir. Di Air Terjun Saok pula, peserta dapat mencuba aktiviti menuruni cerun dengan tali (water abseiling) selain fly drop abseiling.

“Selain pemandangannya yang indah, kawasan tasik ini juga sangat menarik terutamanya aktiviti bermain bersama ikan kelah di Sungai Petang,” ujar Mohamad Hanis.

Dianggarkan terdapat kira-kira 340 pulau di Tasik Kenyir yang dahulunya merupakan bukit dan tanah tinggi. Tasik Kenyir juga kaya dengan flora dan fauna yang hidup secara liar.

Setiausaha Persatuan Pemandu Pelancong Terengganu, Mohd. Khairul Abu Bakar berkata, tarikan Tasik Kenyir bukan sekadar aktiviti berada di atas rumah bot dan memancing.

Jelasnya, di sekitar tasik berkenaan terdapat beberapa tempat menarik yang sesuai untuk lawatan atau aktiviti secara berkumpulan.

“Sejak sekian lama, stigma masyarakat terhadap Tasik Kenyir adalah sebagai port kepada kaki pancing memancing pelbagai spesies ikan air tawar.

“Sudah tiba masanya untuk mempromosikan beberapa tempat tarikan dan aktiviti yang ditawarkan di sekitar Tasik Kenyir kepada pelawat,” ujarnya yang juga petugas Ketengah.

Gua

Salah satu tempat tarikan menarik lain di Tasik Kenyir yang diteroka oleh pesertA EM-K 2019 adalah Gua Bewah.

Gua yang terletak kira-kira 60 kilometer (km) dari Pengkalan Gawi itu menempatkan tulang seorang remaja manusia purba yang dikenali sebagai Bewah Man.

“Gua ini menyimpan misteri yang masih belum dirungkai sepenuhnya. Ia juga mempunyai stalaktit dan stalagmit ratusan tahun yang menghasilkan corak sangat menakjubkan pada dinding gua,” terangnya.

Menurut Mohd. Khairul, para peserta EM-K 2019 turut dibawa ke Santuari Kelah, Sungai Petang untuk bermain dan bermesra bersama ikan kelah.

Katanya, sungai terletak 21km dari Pengkalan Gawi adalah zon larangan memancing untuk perlindungan, pemeliharaan dan pembiakan air tawar.

“Di sini, pengunjung boleh bermesra dan bermain dengan ikan-ikan ini. Mereka juga dibenarkan memberi makan kepada ikan,” katanya.

Tidak kurang menariknya adalah Taman Orkid dan Taman Herba. Di Taman Orkid pelawat dapat melihat pelbagai spesies orkid tempatan dan hibrid.

Antara spesies orkid jarang ditemui yang terdapat di sini ialah Dendrobium roslii.

“Turut diketengahkan kepada peserta adalah Taman Herba yang terletak di Pulau Sah Kecil. Di sini terdapat lebih daripada 230 jenis spesies herba termasuk tongkat Ali, kacip Fatimah dan misai kucing.

“Peserta turut diberi peluang merasai air rebusan herba dan membeli herba-herba ini untuk dibawa pulang sebagai cenderamata,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Korporat TM, Iskandar Mirza Mohd. Yusof berkata, program berkenaan adalah simbol kerjasama antara TM, pihak media, pengusaha pelancongan dan agensi pelancongan tempatan.

“Program ini diadakan bagi mengeratkan lagi hubungan kami dengan pengamal media tempatan dan menggalakkan mereka mempromosikan tarikan di Kenyir,” katanya.

Pada EM-K 2019, TM memilih untuk mengetengahkan konsep kembara dan bercerita (travel and storytelling) sepanjang lawatan berlangsung.

Menerusi konsep tersebut, pelbagai elemen menarik diketengahkan seperti peluang bersiar-siar, melihat produk baharu dan taklimat mengenai tempat menarik di Tasik Kenyir.

“Kami juga memberi peluang kepada wakil media dan pengusaha produk untuk berkongsi input merangkumi pengalaman, pengetahuan, kemahiran dan aktiviti yang berlangsung sepanjang program.

“Menerusi kaedah ini, kami berharap ia mampu menarik lebih ramai pelawat ke sini sekali gus dapat menjayakan kempen Melawat Malaysia 2020,” katanya.