Lobi yang dilengkapi dengan sofa berwarna coklat umpama pasir pantai yang membuatkan para pengunjung terpesona dan terasa nyaman.

Pengunjung yang meminati laut dan pantai wajar menginap di sini kerana ia menawarkan suasana lautan.

“Hotel ini membuatkan saya berasa tenang berada di dalam bilik yang dilengkapi corak-corak binatang akuatik seperti ikan, kuda laut. Ia seakan-akan tidur di dalam laut.

“Bagi saya, Hotel Jen Puteri Harbour adalah sebuah lokasi penginapan wajib untuk pengunjung yang meminati hidupan laut. Ia menjanjikan keselesaan dan kesempurnaan percutian anda,” kata Ahmad Shafarudin Mohd. Shah, 27, seorang pengunjung hotel berkenaan yang berasal dari Muar.

Hotel Jen Puteri Harbour yang terletak di Iskandar Puteri itu sebelum ini dikenali sebagai Hotel Trader.

Ia dibuka pada tahun 2012 dan dijenamakan semula kepada Hotel Jen Puteri Harbour dua tahun kemudian.

Hotel ini hanya 10 minit memandu ke Legoland Malaysia Resort dan kira-kira 20 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

Shafarudin atau mesra dengan panggilan Din memberitahu, kedudukan bilik-bilik di Hotel Jen Puteri Harbour agak berbeza kerana ia ditempatkan pada tiga blok berlainan.

“Setiap blok ini disambung dengan jambatan bercermin dan pengunjung boleh melihat susun atur bangunan.

“Walaupun jarak dari lobi ke bilik agak jauh, saya seronok kerana dapat melihat Hello Kitty dan DC Comics Super Heroes Cafe ketika menuju ke bilik,” katanya.

Din juga teruja menyaksikan gabungan elemen semula jadi seperti kayu dan air untuk rekaan dalaman hotel berkenaan.

“Ini kerana terdapat beberapa kerusi dan perhiasan di beberapa bahagian hotel yang diperbuat daripada batang kayu sebenar dan direka kelihatan seperti arca. Ia sangat unik dan cantik,” jelasnya.

Sementara itu, Pengurus Komunikasi, Hotel Jen Puteri Harbour, Fazi Sharif berkata, resort tersebut menawarkan penginapan yang bersesuaian dengan pelbagai lapisan masyarakat.

Alam semula jadi

Jelasnya, setiap bilik di Hotel Jen Puteri Harbour menggunakan warna alam semula jadi bagi mewujudkan suasana seperti perkampungan nelayan.

“Terdapat 283 bilik seperti Deluxe, Premier, Executive Suite dan khusus untuk ahli kelab iaitu Club Room dan Club Harbour View Room.

“Kebiasaannya, Hotel Jen Puteri Harbour sering dikunjungi oleh keluarga atau berkumpulan kerana biliknya sangat luas dan bersambung,” katanya.

Selain itu, Fazi berkata, Hotel Jen Puteri Harbour turut menyediakan pelbagai kemudahan seperti bilik mesyuarat pelbagai saiz, kolam renang, dewan perkahwinan dan bilik kedap bunyi.

Setiap bilik mesyuarat tersebut menggunakan nama pulau-pulau di Malaysia antaranya Pulau Pangkor dan Pulau Rawa.

Ia bagi memberi maklumat tambahan kepada pelancong luar yang menginap di hotel itu.

Bilik-bilik mesyuarat dan Cafe Harbour juga mempunyai tempat mengecas telefon bagi keselesaan pengunjung.

Antara kemudahan lain termasuklah gimnasium, kolam renang dan spa.

“Bagi pengunjung yang ingin memanjakan diri, kami turut menyediakan kemudahan spa yang menawarkan urutan tradisional dan sauna.

“Spa yang ditawarkan mempunyai bilik bujang dan bilik pasangan. Sudah pasti sentuhan jari-jemari serta haruman aromaterapi dapat mengembalikan kesegaran tubuh,” ujar Fazi.

Hotel Jen Puteri Harbour juga menyediakan Kelab Lounge khusus untuk pengunjung yang inginkan privasi. Bilik ini dilengkapi bilik tidur, bilik mesyuarat, lobi untuk daftar masuk dan kafe persendirian.

Malah pengunjung juga dapat menyaksikan pemandangan keseluruhan Terminal Antarabangsa Feri, Puteri Harbour.

Menurut Fazi, Kelab Lounge menjadi pilihan orang kenamaan untuk berkumpul dan berbincang hal-hal perniagaan mereka.

Dalam pada itu, bagi mereka yang menginap di hotel bersama berkeluarga, bilik Hello Kitty antara pilihan utama pelanggan.

Bilik Hello Kitty di hotel tersebut merupakan yang pertama di rantau Asia Tenggara. Ia direka dengan kerjasama Sanrio iaitu sebuah syarikat dari Jepun yang menghasilkan watak fiksyen terbabit.

Ia memberikan pengalaman manis dan indah kepada peminat setia Hello Kitty.

Bilik yang bertemakan Hello Kitty ini direka berdasarkan tiga tema utama iaitu Sailor (Pelayar), Pink Series (Siri Merah Jambu) dan Hello Kitty in Oz yang penuh keajaiban.

Kepada yang inginkan suasana yang romantik, anda boleh memilih daripada salah satu bilik Pink Surprise, Hello Kitty and Tiny Chum, The Boudoir atau Ice Cream-dulgence untuk percutian yang penuh bunga-bungaan.

Makanan

“Kedudukan hotel yang terletak bersebelahan Sanrio Hello Kitty Town dan Hello Kitty Red Bow Cafe akan menjadikan Hotel Jen Puteri Harbour sebagai destinasi sempurna bagi peminat ikon pop global berkenaan.

“Bilik-bilik ini boleh didapati dalam kategori Deluxe dan Premier. Bilik Deluxe menawarkan pilihan sama ada katil kelamin atau berkembar dan Bilik Premier pula menampilkan dengan katil bertingkat sesuai bagi anda yang datang bercuti bersama anak kecil,” jelas Fazi.

Menyentuh tentang makanan pula, di pintu masuk Kafe Harbour terdapat dua patung beruang yang comel sedang menunggu para pengunjung di situ.

Kanak-kanak yang mempunyai ketinggian lebih rendah daripada patung beruang itu tidak akan dicaj untuk menikmati bufet makan tengah hari.

Hotel Jen Puteri Harbour menawarkan pelbagai sajian menarik kepada para pelanggan yang merangkumi pilihan masakan, Melayu, China, Barat, makanan laut pada waktu malam hari minggu dan hidangan istimewa mi kari Johor.

Sesuatu yang menjadi kelainan juga ialah resort tersebut mempunyai Hello Kitty Town dan Thomas Town yang menempatkan pelbagai ikon pop global berkenaan.

Hello Kitty Town tersebut merupakan yang pertama dibina di luar negara Jepun dengan anggaran kos RM1.5 juta.

Watak fiksyen terkenal di dunia itu boleh dikatakan menjadi destinasi wajib kepada pengunjung yang menginap di Hotel Jen Puteri Harbour kerana daripada jendela bilik-bilik hotel sudah menampakkan Hello Kitty Town.

Sementara itu seorang pengunjung hotel berkenaan, Ibnatie-Aziza Mat Roff memberitahu, pelanggan yang menginap di Hotel Jen Puteri Harbour amat bertuah kerana di sini terdapat pelbagai kemudahan termasuk pusat komersial dan tempat-tempat hiburan seperti Hello Kitty Town.

“Pengunjung boleh dikatakan tidak perlu pergi jauh untuk mencari tempat-tempat menarik kerana di sini sudah cukup.

“Hello Kitty Town sangat mengujakan kanak-kanak, dihiasi dengan lampu berwarna-warni, watak imaginasi setiap kartun dan dunia penuh khayalan membuatkan semua orang yang datang ibarat tinggal di dunia kartun,” ujarnya.